Oleh Focus and AFP |
Setahun selepas protes besar-besaran yang berjaya menyebabkan pemimpin Bangladesh yang lama berkhidmat Sheikh Hasina diasingkan, negara itu telah melakukan penjajaran semula geopolitik secara drastik yang mana penganalisis memberi amaran ia boleh menjerat Dhaka dalam persaingan kuasa besar yang berbahaya.
Perubahan itu, yang diterajui oleh pemimpin interim dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel Muhammad Yunus, tampak jelas pada Mac apabila beliau memecah tradisi dan memilih Beijing, dan bukannya Delhi, untuk lawatan rasmi negara pertamanya. Di sana, Yunus memperoleh $2.1 bilion dalam bentuk pinjaman, pelaburan dan geran, seperti yang dilaporkan oleh Dhaka Tribune pada bulan Mac.
Lawatan itu juga memberikan Beijing hadiah: satu urus niaga bernilai $400 juta untuk memodenkan Pelabuhan Mongla Bangladesh, yang memberikan China satu lagi kedudukan strategik berhampiran koridor timur laut India -- kawasan yang dilihat New Delhi sebagai penting untuk keselamatan negaranya.
Secara simbolik dan strategik, lawatan itu menandakan perubahan arah Dhaka dalam hubungan yang rumit dan perlu diseimbangkan antara dengan India dan China selama berdekad-dekad, berikutan hubungan yang kian merosot dengan New Delhi.
![Presiden China Xi Jinping berjabat tangan dengan pemimpin interim Bangladesh Muhammad Yunus di Beijing pada 28 Mac. [Ding Haitao/Xinhua melalui AFP]](/gc9/images/2025/07/09/51112-afp__20250328__xxjpbee007215_20250328_pepfn0a001__v1__highres__chinabeijingxijinping-370_237.webp)
"Hubungan India-Bangladesh mungkin tidak pernah mengalami ketegangan sebegitu sebelum ini," kata Praveen Donthi daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa kepada AFP pada 7 Julai.
Terdapat kemarahan yang membara di Dhaka terhadap nasib bekas perdana menteri Hasina yang dalam pelarian, yang meloloskan diri daripada pemberontakan yang diketuai pelajar dengan helikopter pada Ogos lalu dan terbang ke New Delhi ketika beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu istananya.
Yunus berkata kemarahan antara golongan am di Bangladesh yang majoritinya Muslim telah "dipindahkan ke India" kerana kerajaan nasionalis Hindu New Delhi menawarkan perlindungan kepada Hasina.
Hasina, 77, telah mengingkari perintah ekstradisi untuk menghadiri perbicaraan kes jenayah kemanusiaannya. Mahkamah Bangladesh sudah pun mensabitkannya hukuman penjara enam bulan tanpa kehadirannya kerana menghina mahkamah.
New Delhi semenjak itu menolak permintaan Dhaka untuk ekstradisinya.
'Peringkat baharu'
Kerajaan interim Bangladesh berkata ia masih menumpukan usaha untuk membina konsensus demokrasi; walau bagaimanapun, peralihan dasar luarnya telah bergerak pantas ke hadapan.
Semasa lawatannya ke Beijing, Yunus mengisytiharkan bahawa hubungan dengan China telah memasuki "peringkat baharu," menurut media negara China Xinhua News Agency.
Malah beliau mencadangkan Bangladesh boleh menjadi "lanjutan kepada ekonomi China" dan pintu masuk maritim bagi negeri timur laut India yang"terkurung daratan" -- satu komen yang dilihat sebagai provokatif di India.
Sementara itu pentadbiran Yunus secara terbuka menentang kemerdekaan Taiwan pada Mac, yang secara kali pertama kerajaan Bangladesh berbuat demikian.
China "berminat" untuk bekerjasama dengan kerajaan yang dipilih seterusnya dengan "ikhlas, keteguhan hati, cinta dan kasih sayang," kata Mirza Fakhrul Islam Alamgir, seorang tokoh kanan dalam Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang mungkin menjadi calon utama dalam pilihan raya tahun depan, kata AFP dalam artikelnya pada 7 Julai.
Bangladesh dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah pun meluaskan hubungan ketenteraan dan diplomatik dengan Beijing.
Menurut badan pemikir Sweden SIPRI, China membekalkan 72% senjata kepada Bangladesh antara 2019 dan 2023, termasuk kapal selam yang kini ditempatkan di pangkalan tentera laut BNS Sheikh Hasina binaan China -- kini dinamakan semula sebagai BNS Pekua.
Dirasmikan pada 2023, pangkalan itu boleh memuatkan enam kapal selam dan lapan kapal perang secara serentak.
Menambah kegusaran serantau, penjajaran baharu Dhaka telah diperluaskan kepada rakan kongsi keselamatan melangkaui China.
Pada bulan Jun, pegawai-pegawai dari Bangladesh dan saingan besar India iaitu Pakistan mengadakan perbincangan tiga hala dengan rakan sekerja dari tuan rumah China, di mana kementerian luar negeri Beijing mengumumkan program kerjasama baharu dalam perdagangan, industri, pendidikan dan pertanian.
'Pasir jerlus yang berbahaya'
Namun langkah tergesa-gesa ke arah China membawa risiko, kata penganalisis.
"Bangladesh, dalam usaha geopolitiknya yang tergesa-gesa, mungkin baru sahaja menukar keadaan daripada berada di atas tali tegang yang halus dengan berada dalam pasir jerlus yang berbahaya," tulis Wahiduzzaman Noor dan Samantha Wong dalam The New Atlanticist pada Mei, menekankan risiko strategik pergantungan Dhaka terhadap China.
Walaupun Bangladesh mendapat keuntungan daripada pelaburan China, banyak projek Inisiatif Jalur and Jalan (BRI) telah mendapat kritikan atas sebab kos yang melambung dan kekurangan ketelusan.
BRI ialah projek infrastruktur global yang dibiayai oleh China bertujuan untuk memudahkan eksport bahan mentah negara miskin ke China.
China kini merupakan pemiutang negara kedua terbesar Bangladesh selepas Jepun, dengan jumlah pembayaran sejak 1975 mencecah $7.5 bilion, lapor The Daily Star pada Januari.
Sementara itu, New Delhi telah mengetatkan peraturan perdagangan yang menjejaskan eksport Bangladesh dan telah meningkatkan aktiviti ketenteraan berhampiran sempadan.
Hubungan kekal dingin: pertemuan pada bulan April yang telah lama tertangguh antara Yunus dan Perdana Menteri India Narendra Modi menunjukkan sedikit tanda-tanda perdamaian.
Walaupun jangkauan Yunus ke China mungkin meningkatkan profil antarabangsa Bangladesh, pengkritik memberi amaran bahawa kerajaan sementara -- beroperasi tanpa parlimen yang dipilih -- tidak mempunyai mandat untuk perubahan dasar luar yang menyeluruh.
Bangladesh kini berdepan pilihan yang penting: terus mempererat hubungannya dengan China dan berisiko untuk mengalami pengasingan serantau, atau menentukur semula dasar luarnya untuk mengekalkan postur strategik yang lebih seimbang.