Oleh AFP dan Focus |
Kapal pengangkut pesawat ketiga China, Fujian, telah berkhidmat secara rasmi, lapor media negara pada November.
Peristiwa tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha Presiden Xi Jinping memodekan tentera dan mencabar Amerika Syarikat serta sekutunya di Indo-Pasifik.
Kapal pengangkut pesawat terkini dilengkapi sistem pelancaran pesawat elektromagnet (EMALS) -- teknologi yang sebelumnya hanya dimiliki USS Gerald R. Ford.
Sistem pelancaran termaju membenarkan China mengerahkan jet membawa muatan lebih besar dan bahan api lebih banyak berbanding sebelumnya.
![Presiden China Xi Jinping (tengah, barisan hadapan) menyampaikan panji-panji Tentera Pembebasan Rakyat kepada pegawai-pegawai Fujian semasa upacara pelancaran rasmi di Sanya, Hainan, pada 5 November. [Li Gang/Xinhua melalui AFP]](/gc9/images/2025/11/10/52725-afp__20251107__xxjpbee000208_20251107_pepfn0a001__v1__highres__chinahainansanyaxijin-370_237.webp)
Cita-cita tentera laut Xi
Agensi berita negara Xinhua melaporkan pada 7 November bahawa Xi telah "memutuskan sendiri" supaya Fujian -- yang memakai nama wilayah berhadapan Taiwan -- menggunakan EMALS.
Beijing tidak menolak penggunaan kekerasan untuk merampas Taiwan sebuah pulau demokratik yang didakwanya sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Beijing turut menuntut lebih 80% Laut China Selatan sebagai wilayahnya.
Penganalisis berpendapat China masih ketinggalan daripada Amerika Syarikat yang mempunyai 11 kapal pengangkut pesawat beroperasi, dari segi kehebatan ketenteraan keseluruhan.
Namun Beijing telah memperuntukkan berbilion dolar untuk pembinaan ketenteraan sejak beberapa tahun kebelakangan, satu trend yang merisaukan beberapa kerajaan di Asia Timur walaupun China mengisytiharkan niat aman.
Tentera laut khususnya mengalami pengembangan besar-besaran ketika pemimpin berusaha meluaskan jangkauan China di Pasifik dan mencabar pakatan pimpinan AS.
Pelancaran rasmi Fujian berlangsung di pelabuhan tentera laut di wilayah pulau selatan China, Hainan pada 5 November, lapor Xinhua, menyifatkan suasana sebagai "megah dan penuh semangat."
"Selepas upacara, Xi Jinping menaiki Fujian... dan mengetahui perkembangan keupayaan tempur sistem kapal pengangkut pesawat serta pembinaan dan aplikasi sistem pelontar elektromagnet," lapor agensi tersebut.
Selepas menjalani ujian laut sejak beberapa bulan kebelakangan, Fujian kini menyertai dua kapal pengangkut China yang lain dalam operasi aktif, Liaoning dan Shandong.
Liaoning binaan Soviet merupakan yang tertua, dilancarkan secara rasmi pada 2012, manakala Shandong mula beroperasi pada 2019.
Kapal pengangkut paling hebat China setakat ini
Kapal pengangkut ketiga China "mengikut banyak ukuran lebih berkebolehan daripada Liaoning dan Shandong," kata Collin Koh, penganalisis hal ehwal tentera laut serantau di Universiti Teknologi Nanyang Singapura kepada AFP.
"Secara keseluruhan, berbanding dua kapal pengangkut terdahulu yang dalam konfigurasi lompatan ski, Fujian mempunyai ketahanan tempur dan kuasa serangan lebih besar," ujar Koh.
Penganalisis ketenteraan China, Zhang Xuefeng menyatakan di Televisyen Pusat China bahawa Fujian boleh mewujudkan garis anti-akses menjangkau lebih 1,000km merentasi Pasifik barat, menghalang pasukan AS daripada mara ke timur menuju Selat Taiwan dan "memainkan peranan penting" dalam sebarang kempen masa depan untuk "penyatuan semula tanah air."
Fujian sudah beberapa kali menjadi tumpuan menjelang pelancaran rasminya.
Pegawai pertahanan China mengesahkan pada bulan September bahawa Fujian telah belayar melalui Selat Taiwan yang sensitif bagi menjalankan "percubaan penyelidikan saintifik dan misi latihan" di Laut China Selatan.
Penganalisis berpendapat transit tersebut berkemungkinan bertujuan menghantar isyarat kuat kepada pihak lawan yang bakal dihadapi.
Kementerian pertahanan Jepun dan Taiwan menyatakan ketika itu mereka mengesan pergerakan Fujian, yang membawa kapal tersebut dalam lingkungan kira-kira 200km dari Kepulauan Senkaku yang dipertikaikan, dikenali dalam bahasa Cina sebagai Kepulauan Diaoyu.
China mengeluarkan video pada September menunjukkan pelepasan dan pendaratan pesawat di atas Fujian, termasuk pesawat pejuang siluman generasi kelima J-35 serta pesawat amaran awal dan kawalan bawaan udara J-15T dan KJ-600.
Media negara memuji pelepasan dan pendaratan pesawat berkenaan sebagai "kejayaan baharu" dalam pembangunan kapal pengangkut China dan "pencapaian utama" dalam pemodenan tentera laut.
Kesediaan penuh setahun lagi
Pelancaran rasmi Fujian menandakan peralihan China kepada struktur tiga kapal pengangkut.
China kini boleh mengekalkan satu kapal pengangkut beroperasi sepanjang tahun, manakala dua lagi bergilir-gilir menjalani latihan dan penyelenggaraan.
Kumpulan kapal pengangkut dijangka mengekalkan kehadiran berterusan sekitar Taiwan dan di Laut China Selatan, mengenakan tekanan strategik berterusan ke atas Taiwan dan negara jiran.
Walau bagaimanapun, Fujian berkemungkinan memerlukan "sekurang-kurangnya setahun lagi sebelum mencapai keupayaan operasi penuh," kata Ben Lewis, pengasas platform data sumber terbuka PLATracker, menurut Reuters.
![Kapal pengangkut pesawat baharu China, Fujian, berlabuh di Hainan sempena upacara pelancaran rasmi pada 5 November, menandakan langkah penting dalam pemodenan tentera laut Beijing. [Kementerian Pertahanan China]](/gc9/images/2025/11/10/52724-china-carrier-370_237.webp)