Keupayaan

Jepun atur kedudukan peluru berpandu jarak jauh yang pertama di bawah strategi serangan balas

Pergerakan tersebut memperkukuh perkembangan pertahanan Tokyo dan menjangkau capaian keupayaan serangan jarak jauhnya yang baharu di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meningkat.

Sebuah pelancar untuk peluru berpandu antikapal berpangkalan darat Type-25 jarak jauh Jepun dipamerkan di Kengun Garrison Angkatan Tentera Pertahanan Diri Darat di Kumamoto pada 17 Mac, menjelang pengaturan kedudukan domestik pertamanya. [JIJI Press/AFP]
Sebuah pelancar untuk peluru berpandu antikapal berpangkalan darat Type-25 jarak jauh Jepun dipamerkan di Kengun Garrison Angkatan Tentera Pertahanan Diri Darat di Kumamoto pada 17 Mac, menjelang pengaturan kedudukan domestik pertamanya. [JIJI Press/AFP]

Oleh Focus dan AFP |

TOKYO -- Jepun telah mengerahkan peluru berpandu jarak jauh yang berkebolehan untuk membedil pangkalan musuh buat kali pertama, menandakan langkah penting dalam perolehan keupayaan serangan balasnya apabila Tokyo melaraskan semula postur pertahanannya.

Pada 31 Mac, Kementerian Pertahanan mengumumkan penempatan peluru berpandu antikapal berpangkalan darat Type 25 (dulunya Type-12 yang telah dinaiktaraf) ke Kengun Garrison di Kumamoto dan peluru berpandu luncur kelajuan tinggi Type 25 ke Fuji Garrison di Shizuoka.

"Keupayaan pertahanan jarak jauh membolehkan kami untuk menyerang balas ancaman pasukan tentera musuh yang cuba menakluki negara kami sambil menjamin keselamatan anggota kami," kata Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi.

"Ini merupakan inisiatif kepentingan yang paling utama bagi memperkukuh pencegahan dan keupayaan tindak balas Jepun, semasa negara menghadapi persekitaran keselamatan yang serius dan rumit sejak tamat Perang Dunia Kedua," beliau memberitahu sidang media pada 31 Mac.

Pengaturan kedudukan tersebut menonjolkan penyimpangan daripada tafsiran perlembagaan pencinta damai lama Jepun, yang telah mengehadkan pihak tentera kepada peranan pertahanan sahaja. Mereka memperkenalkan keupayaan yang direka untuk menyerang sasaran musuh jika perlu.

Julat sistem peluru berpandu Type 25 ialah kira-kira 1,000km, meletakkan beberapa bahagian tanah besar China dalam jangkauan -- Shanghai terletak kira-kira 900km dari Kumamoto. Dari pangkalan Kyushu, liputan sistem juga menjangkau ke sebahagian besar Korea Utara dan sebahagian Laut China Timur, termasuk perairan timur laut Taiwan.

Pengenalan tersebut timbul ketika pasukan tentera China memperhebat operasi di sekeliling pulau-pulau barat daya Jepun berhampiran Taiwan dan memperluas aktiviti lebih mendalam ke Pasifik. China dianggarkan boleh menempatkan lebih kurang 2,000 peluru berpandu yang dilancarkan daripada tanah dengan julat antara 1,000 dan 5,500km, jauh melebihi inventori Jepun dan AS di rantau tersebut.

Peralihan pertahanan

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Jepun telah mempercepat pemodenan ketenteraan ketika China, Rusia dan Korea Utara memperluas keupayaan mereka. Pada tahun 2022, Tokyo telah meluluskan peralihan strategik yang membolehkan keupayaan serangan balas, ditakrifkan sebagai kemampuan untuk menyasarkan tempat pelancaran peluru berpandu musuh dan aset genting lain.

Satu kertas putih pihak pertahanan pada tahun lepas mengatakan kebergantungan semata-mata pada sistem pertahanan peluru berpandu adalah tidak mencukupi terhadap ancaman yang semakin maju. Kertas tersebut menyebut keperluan untuk pilihan serangan jarak jauh.

Pengaturan kedudukan semasa adalah sebahagian daripada perkembangan yang lebih luas, berperingkat. Pada tahun fiskal 2026, unit peluru berpandu luncur kelajuan tinggi tambahan akan tiba di Hokkaido dan Miyazaki, dengan rancangan untuk memperluas julat mereka ke 2,000km.

Menjelang tahun fiskal 2027, varian Type 25 yang dilancarkan di laut dan udara akan beroperasi lebih awal. Ini termasuk pengaturan kedudukan di kapal pembinasa yang telah dibaiki di Yokosuka dan integrasi dengan pesawat di Pangkalan Udara Hyakuri.

Sementara itu, pihak maritim dan tentera udara Jepun sedang mempercepat keupayaan serangan jarak jauh. Angkatan Tentera Pertahanan Diri Maritim telah menaiktaraf kapal pembinasa Aegis untuk membawa peluru berpandu jelajah Tomahawk buatan AS, dengan pengaturan kedudukan operasi dijangka sekitar bulan September berikutan ujian di luar negera, lapor NHK.

Angkatan Tentera Pertahanan Diri Udara memperkenalkan Peluru Berpandu Serangan Bersama buatan Norway dan bersedia untuk menyepadukannya dengan armada F-35A.

Pengaturan kedudukan tersebut timbul kerana ketegangan antara Jepun dan China yang telah bertambah buruk di tengah-tengah pertikaian untuk menuntut Kepulauan Senkaku di Laut China Timur serta kebimbangan yang semakin bertambah di Tokyo mengenai Taiwan, yang mana Beijing mendakwa sebagai wilayahnya.

Pengaturan kedudukan ini mencerminkan pelarasan semula strategik berikutan semakan pertahanan 2022 Jepun. Kementerian Pertahanan telah mempercepat garis masa asalnya selama setahun, mempercepat penempatan bateri jarak jauh di pulau-pulau barat daya sebagai tindak balas langsung terhadap aktiviti pihak tentera China.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link