Oleh AFP |
TAIPEI -- Tentera Taiwan akan mensimulasikan kemungkinan senario pencerobohan China pada tahun 2027 semasa latihan perang tahunan pulau itu, kata Kementerian Pertahanan pada 19 Mac, ketika Beijing mengekalkan tekanan ketenteraan ke atas Taipei.
China menegaskan bahawa Taiwan yang diperintah sendiri itu merupakan sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam untuk merampas pulau itu secara paksa.
Pegawai di Amerika Syarikat -- penyokong kuat Taipei dan pembekal senjata terbesar -- telah menyatakan sebelum ini bahawa 2027 berkemungkinan menjadi tahun pencerobohan China ke atas Taiwan.
Latihan Han Kuang Taiwan, yang menurut kementerian akan diadakan dari 9 hingga 18 Julai, dijalankan setiap tahun di seluruh Taiwan untuk mensimulasikan pertahanan pulau itu daripada serangan China.
Dalam laporan yang dikemukakan ke parlimen pada 19 Mac, kementerian itu berkata senario tahun ini akan berdasarkan kepada pencerobohan "zon kelabu" oleh China dan "kemungkinan tindakan pencerobohan tentera Komunis China ke atas Taiwan pada tahun 2027."
"Komander di semua peringkat operasi dan taktikal akan merancang senario dan situasi dari perspektif praktikal berdasarkan kemungkinan tindakan musuh," kata laporan itu.
Matlamatnya adalah untuk "mengesahkan keupayaan tentera di semua peringkat untuk melaksanakan rancangan, dengan itu membina pasukan tentera yang boleh bertindak balas dengan cepat dan mengekalkan 'kesediaan tempur yang tinggi,'" kata laporan itu.
Latihan Han Kuang diadakan dalam dua peringkat setiap tahun.
Kementerian Pertahanan melanjutkan latihan tahun ini untuk meningkatkan keupayaan operasi, memanjangkan bahagian simulasi komputer dari lapan kepada 14 hari pada bulan Mei dan mengembangkan latihan tembakan langsung dari lima kepada 10 hari pada bulan Julai.
'Tanda amaran awal'
Beijing kerap mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan kapal pengawal pantai berhampiran Taiwan, dan telah mengadakan beberapa latihan ketenteraan utama di sekitar pulau itu pada tahun lalu.
Penganalisis telah menggelar tindakan ini sebagai taktik "zon kelabu" yang belum mencapai tindakan perang dan berfungsi untuk meletihkan angkatan tentera pulau itu.
Menteri Pertahanan Wellington Koo memberi amaran pada 19 Mac bahawa masa yang diambil China untuk beralih daripada latihan kepada pertempuran adalah "tidak semestinya lama seperti yang kita fikirkan dahulu."
"Kami mempunyai beberapa tanda amaran awal utama yang perlu kami pantau," kata Koo kepada pemberita, tanpa mengulas lanjut.
Koo membuat kenyataan itu ketika tentera Taiwan mengadakan "Latihan Tindak Balas Pantas" selama lima hari, yang mana menurut Kementerian Pertahanan bertujuan untuk meningkatkan "kesediaan dan keupayaan tindak balas."
"Ini adalah sebahagian daripada latihan tempur yang realistik, mempertajam keupayaan komander untuk membuat keputusan dan keupayaan unit," kata Koo.
Latihan itu belaku serentak dengan lebih 50 pesawat China mengambil bahagian dalam rondaan "tempur bersama" di sekitar Taiwan pada 17 Mac, menurut data Kementerian Pertahanan.
Ini berlaku beberapa hari selepas Presiden Taiwan Lai Ching-te menggelar China "angkatan musuh asing."
Kementerian Luar Negeri Beijing berkata tindakan itu adalah tindak balas terhadap sokongan AS terhadap Taiwan dan amaran kepada "pasukan pemisah kemerdekaan Taiwan."