Wu Qiaoxi |
Penutupan secara senyap hampir separuh daripada Institut Confucius di Australia menambah senarai panjang penutupan di seluruh negara Barat, yang sejak lama menuduh organisasi yang dibiayai kerajaan China ini bertindak sebagai cabang propaganda untuk Beijing.
Enam daripada 13 Institut Confucius negara tersebut -- termasuk yang berada di Universiti Melbourne -- telah memilih untuk tidak memperbaharui kontrak, menurut laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC) pada 1 April.
Sebab rasmi yang diberikan untuk penutupan termasuk pandemik COVID-19 dan pengembangan program bahasa China dalaman. Seperti yang dinyatakan oleh satu universiti, "tiada keperluan tambahan untuk memperbaharui" perjanjian tersebut.
Namun, pensyarah kanan Universiti Flinders, Jeffrey Gil memberitahu ABC bahawa hubungan Australia-China yang semakin buruk dan ketakutan akan campur tangan asing berkemungkinan mempengaruhi keputusan tersebut.
"Terdapat kebimbangan yang telah lama wujud mengenai Institut Confucius di Australia, yang semakin meningkat dengan kemerosotan hubungan Australia-China dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Institut Confucius juga telah ditutup di Amerika Syarikat dan di beberapa negara Eropah," kata Gil, yang mengajar ESOL (Bahasa Inggeris untuk Penutur Bahasa Lain).
"Bersama-sama, faktor sedemikian menjadikan Institut Confucius kurang diingini dan kurang berdaya maju di Australia," menurut Gil, sambil menambah bahawa kebimbangan kerajaan mengenai campur tangan asing "berkemungkinan menjadi salah satu faktor" dalam keputusan universiti untuk tidak memperbaharui kontrak.
Kritikan semakin meningkat
Institut Confucius, yang dibiayai oleh kerajaan China dan ditempatkan di universiti asing untuk mempromosikan bahasa dan budaya China, telah menghadapi kritikan yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Berbeza dengan institut budaya Barat seperti British Council, Institut Confucius diintegrasikan secara langsung ke dalam kampus universiti, dengan China menyediakan pembiayaan, guru, dan bahan pengajaran -- membolehkan integrasi cepat ke dalam akademia tempatan.
Seiring dengan pertumbuhan pesat bilangan Institut Confucius sejak dua dekad lepas, kebimbangan mengenai agenda politik mereka juga turut meningkat. Para pengkritik telah menuduh institut-institut ini mempromosikan ideologi Parti Komunis China, menyekat perbincangan terbuka dan bahkan memantau pelajar China di luar negara.
Dalam temu bual BBC pada tajhun 2014, Xu Lin, yang telah menjadi pengarah jeneral ibu pejabat Institut Confucius sejak 2004, menjelaskan tujuan institut tersebut dengan terang.
"Tujuan Institut Confucius adalah untuk mengeksport nilai-nilai Parti Komunis China [CCP] ke institusi akademik luar negara," jelas beliau pada waktu itu.
Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan ini dalam laporan 2019. "Institut Confucius adalah lanjutan daripada kerajaan China yang menyekat topik dan perspektif tertentu dalam bahan kursus atas alasan politik, serta menggunakan amalan pengambilan pekerja yang mempertimbangkan kesetiaan politik," katanya.
Pada tahun 2020, China telah menyusun semula Institut Confucius di bawah model kebajikan persendirian dalam usaha untuk mengurangkan status rasmi mereka, walaupun kontroversi terus berlarutan.
Laporan Ketelusan UK-China 2023 mendapati bahawa kakitangan Institut Confucius telah diambil bekerja "berdasarkan keupayaan mereka untuk menguatkuasakan 'disiplin CCP' di UK" dan "diwajibkan untuk melemahkan kebebasan bersuara dan melakukan gangguan atas arahan."
Penarikan balik global
Banyak kerajaan Barat telah mengambil langkah untuk mengehadkan atau menghapuskan Institut Confucius di negara mereka..
Australia melarang penubuhan Institut Confucius baharu pada tahun 2022.
ABC dimaklumkan oleh seorang sumber kerajaan Australia bahawa pegawai kanan telah menyatakan dengan “jelas sekali” kepada universiti bahawa Institut Confucius ialah satu “masalah” yang “perlu dikendalikan dengan teliti.”
Amerika Syarikat turut mengambil tindakan tegas. Akta Kebenaran Pertahanan Negara 2019 melarang Jabatan Pertahanan daripada membiayai universiti yang menempatkan Institut Confucius, sekali gus mendorong penutupan lebih 100 program tersebut. Kini, hanya lima yang masih beroperasi.
Kanada, Sweden, Switzerland dan Jerman telah mengikuti langkah tersebut, menutup banyak institut mereka.
Sehingga akhir tahun 2023, sebanyak 498 Institut Confucius beroperasi di lebih 160 negara. Namun, apabila kehadirannya semakin berkurangan di Eropah dan Amerika Utara, China kini menumpukan semula perhatian kepada Asia Tenggara.
Kini terdapat 42 Institut Confucius di negara-negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), meningkat sebanyak sembilan sejak tahun 2021. Thailand menjadi tuan rumah kepada jumlah tertinggi, iaitu sebanyak 16 buah Institut.
Ian Chong, pakar politik dari Universiti Nasional Singapura, berkongsi pendapat dalam temu bual dengan Nikkei Asia pada Mei lalu tentang sebab Asia Tenggara lebih menerima Institut Confucius.
Banyak negara di rantau ini, katanya, masih enggan mencabar China.
Mereka "sama ada kekal bersifat autoritarian atau hanya menuju ke arah pendemokrasian sejak 20 tahun yang lalu atau lebih," jelas Chong. "Oleh itu, terdapat kurang kebiasaan [dengan] dan komitmen terhadap kebebasan akademik, serta [kurang kesedaran] sebarang cabaran yang mungkin dikemukakan oleh Institut Confucius terhadap kebebasan akademik."