Keupayaan

Jepun tingkatkan pertahanan dengan ujian misil domestik pertama di tengah-tengah ketegangan China

Setelah lama terikat dengan prinsip pasifisme pasca perang, Jepun kini semakin memperkukuh keupayaan pertahanannya untuk mencegah apa yang dilihatnya sebagai pendesakan ketenteraan China yang kian meningkat.

Jepun menjalankan ujian misil darat ke kapal domestik pertamanya di Hokkaido pada 24 Jun. [AFP]
Jepun menjalankan ujian misil darat ke kapal domestik pertamanya di Hokkaido pada 24 Jun. [AFP]

Oleh Wu Qiaoxi |

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan Beijing, Jepun mengambil langkah-langkah utama untuk memperkukuh pertahanan tanah airnya, termasuk menjalankan ujian misil darat ke kapal domestiknya yang pertama.

Angkatan Darat Pertahanan Diri Jepun (JGSDF) pada 24 Jun melepaskan tembakan misil permukaan darat-ke-kapal Jenis 88 dari kawasan latihan Shizunai di utara Hokkaido.

Kira-kira 300 askar dari Briged Artileri Pertama mengambil bahagian dalam latihan itu, yang menyasarkan sebuah kapal yang tidak lagi digunakan kira-kira 40km dari pantai selatan Hokkaido, menurut media tempatan.

Ujian itu menandakan kali pertama pelancaran misil sebegitu berlaku dalam wilayah Jepun, memandangkan bahawa latihan-latihan tembakan langsung sebelum ini berlaku di Amerika Syarikat atau Australia atas sebab kekangan ruang dan kebimbangan keselamatan.

Anggota Tentera Barat bagi Angkatan Darat Pertahanan Diri Jepun (JGSDF) bergambar dengan sebuah pesawat udara V-22 Osprey, yang pertama tiba di pangkalan udara baharu di Saga, pada 9 Julai. [JGSDF Western Army/x.com]
Anggota Tentera Barat bagi Angkatan Darat Pertahanan Diri Jepun (JGSDF) bergambar dengan sebuah pesawat udara V-22 Osprey, yang pertama tiba di pangkalan udara baharu di Saga, pada 9 Julai. [JGSDF Western Army/x.com]
Pesawat-pesawat pejuang F-35B Lightning berbaris di dek penerbangan HMS Prince of Wales pada waktu matahari terbit semasa Latihan Tindak Balas Nordic NATO 24 pada Disember 2024. Kapal induk pesawat udara itu, yang kini ditempatkan di Indo-Pasifik sebagai sebahagian daripada Operasi Highmast dengan pesawat-pesawat F-35B Lightningnya, dijangka menjalani latihan-latihan ketenteraan bersama dengan Jepun di perairan berhampiran China. [Kementerian Pertahanan UK]
Pesawat-pesawat pejuang F-35B Lightning berbaris di dek penerbangan HMS Prince of Wales pada waktu matahari terbit semasa Latihan Tindak Balas Nordic NATO 24 pada Disember 2024. Kapal induk pesawat udara itu, yang kini ditempatkan di Indo-Pasifik sebagai sebahagian daripada Operasi Highmast dengan pesawat-pesawat F-35B Lightningnya, dijangka menjalani latihan-latihan ketenteraan bersama dengan Jepun di perairan berhampiran China. [Kementerian Pertahanan UK]

Dengan jarak kira-kira 100km, misil Jenis 88 tersebut adalah komponen utama pertahanan antikapal Jepun.

Tembakan secara langsung tersebut adalah bukti "usaha Jepun untuk membangun dan memperoleh keupayaan serangan ketepatan jarak jauh sedang mengalami kemajuan yang mantap, mempertingkatkan pencegahan Jepun terhadap China," kata Masafumi Iida, pengarah kajian keselamatan di Institut Kajian Pertahanan Nasional, kepada South China Morning Post (SCMP) pada akhir Jun.

Jepun sedang berusaha untuk menaik taraf senjata misilnya, membangunkan versi jarak lanjutan misil permukaan darat-ke-kapal Jenis 12, dengan unjuran jangkauan sehingga 1,000km.

Grant Newsham, seorang felo kanan di Forum Jepun untuk Kajian Strategik, menggelar pelancaran itu sebagai "suatu usaha yang berhemat" kerana "Jepun telah bangun" dan mengambil pertahanannya dengan lebih serius di tengah-tengah pencerobohan China, seperti yang dilaporkan oleh SCMP.

Ketegangan yang semakin meningkat

Perlembagaan Jepun mengehadkan angkatan tenteranya kepada pertahanan, tetapi sejak meluluskan Strategi Pertahanan Nasional 2022, Tokyo telah menggelar China sebagai "cabaran strategik terbesar" dan menekankan hubungan AS yang lebih erat.

Ketegangan ketenteraan antara Jepun dan China telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Beijing meningkatkan kehadiran maritim dan udaranya di seluruh Asia Timur.

Pada bulan Jun, kapal-kapal induk pesawat udara China, Liaoning dan Shandong, menjalankan operasi Pasifik serentak buat kali pertamanya, berulang kali di perairan berhampiran kepulauan selatan Jepun.

Semasa latihan-latihan ketenteraan tersebut, sebuah pesawat pejuang J-15 China yang berlepas dari Shandong terbang dalam jarak 45 meter dari pesawat peninjau Jepun, hampir mengakibatkan suatu pertembungan yang berbahaya.

Pada 9 Julai, sebuah pesawat pengebom China JH-7 juga terbang hanya sejauh 30 meter dari sebuah pesawat pengawasan Jepun yang lain, lapor Kyodo News.

Ketegangan di Laut China Timur masih kekal tinggi.

Kerajaan Jepun mengumumkan pada 10 Julai bahawa kapal-kapal pengawal pantai China telah dikesan di perairan sekitar Kepulauan Senkaku yang dipertikaikan (dikenali sebagai Diaoyu di China) selama 234 hari berturut-turut -- satu rekod baharu sejak Tokyo memiliknegarakan pulau-pulau tersebut pada tahun 2012.

Tokyo telah menuduh Beijing memasang struktur baharu di bahagian garis tengah sebelah China di Laut China Timur, di kawasan yang disyaki mempunyai simpanan minyak dan gas yang dikongsi bersama.

Penggubal-penggubal undang-undang Jepun, bimbang tentang pembangunan unilateral, dan terbang menerusi kawasan tersebut dengan pesawat tentera pada 29 Jun untuk memeriksa kemudahan di sana. Mereka kemudiannya menekankan kepentingan untuk "memastikan sumber Jepun tidak dieksploitasi oleh China."

China sedang "cuba mengubah status quo di Laut China Timur dan Laut China Selatan dengan kekerasan," Perdana Menteri Shigeru Ishiba, memberi amaran semasa berucap di mesyuarat peringkat tinggi JSDF pada akhir Jun.

“Kita mesti memperkukuh pencegahan untuk menghalang peluasan pencerobohan ke wilayah kita,” kata beliau semasa berjanji akan memajukan reformasi pertahanan di bawah Strategi Keselamatan Negara.

'Pencegahan yang lebih kuat'

Dalam satu lagi langkah yang besar untuk mengukuhkan pertahanan di barat daya, Jepun mula mengerahkan armadanya iaitu 17 buah pesawat udara V-22 Ospreys ke pangkalan tetap yang baru dibuka di Saga pada 9 Julai.

Pesawat tersebut telah ditempatkan sementara di Wilayah Chiba sejak lima tahun yang lalu. Penempatan semula itu menyokong strategi Jepun untuk menentang pengembangan maritim China dan mengikat rantaian pulau Nansei -- kawasan yang penting secara strategik disebabkan kedudukannya yang berhampiran Taiwan.

Ospreys tersebut akan bekerjasama rapat dengan Briged Kerahan Pantas Amfibia Jepun untuk meningkatkan mobiliti dan tindak balas terhadap krisis.

Pengerahan itu "akan menjadi pencegahan yang lebih kuat bukan sahaja kepada China tetapi juga kepada negara-negara lain," kata seorang pegawai kanan JSDF kepada Mainichi Shimbun.

Jepun sedang memperdalam kerjasama ketenteraan antarabangsanya.

Kapal induk pesawat udara British HMS Prince of Wales dijangka mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan Jepun di perairan berhampiran China pada Ogos dan September.

Pemerhati-pemerhati sedang memerhati dengan teliti sama ada pesawat-pesawat pejuang F-35B British akan mendarat terus di atas kapal pembinasa helikopter Jepun Kaga, satu langkah yang akan menandakan tahap perkembangan baharu dalam saling kebolehkendalian antara sekutu di Indo-Pasifik, seperti yang dilaporkan oleh The Japan Times pada awal Julai.

Daripada ujian misil domestik yang pertama kepada peluasan pengerahan di barat daya, Jepun sedang melangkaui pasifisme pasca perang dan mengambil kedudukan pertahanan yang lebih proaktif sebagai tindak balas kepada hasrat serantau China yang semakin berkembang.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *