Diplomasi

Diplomasi segi tiga China: Luaskan pengaruh melalui multilateralisme

China sedang beralih kepada rangka kerja kerjasama pelbagai hala untuk mengembangkan pengaruh diplomatik dan serantaunya.

Perdana Menteri China Li Qiang (kelapan dari kanan) menyertai pemimpin-pemimpin dari ASEAN dan Negara-negara Teluk untuk bergambar berkumpulan di Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur 27 Mei. [Jam Sta Rosa/AFP]
Perdana Menteri China Li Qiang (kelapan dari kanan) menyertai pemimpin-pemimpin dari ASEAN dan Negara-negara Teluk untuk bergambar berkumpulan di Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur 27 Mei. [Jam Sta Rosa/AFP]

Oleh Chen Meihua |

Di tengah-tengah pengunduran AS daripada bantuan asing, Beijing telah meningkatkan usaha untuk menyantuni jirannya dan meluaskan pengaruh dengan menyepadukan inisiatif pembangunan dengan diplomasi pelbagai hala.

Pada bulan Jun, China dan Singapura mencapai persetujuan untuk mewujudkan "Program Latihan Negara Ketiga" untuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan pegawai-pegawai Timor-Leste sebagai sebahagian daripada "Perkongsian Berorientasikan Masa Depan yang Menyeluruh dan Berkualiti Tinggi."

Pada bulan yang sama, China menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak China-Pakistan-Bangladesh yang pertama, di mana ketiga-tiga pihak bersetuju untuk mewujudkan mekanisme kerjasama tiga hala yang merangkumi perdagangan, perubahan iklim dan infrastruktur.

Peningkatan penekanan China dalam kerjasama segi tiga -- suatu perkongsian pembangunan antara sekurang-kurangnya tiga aktor: dua atau lebih negara membangun dan satu negara maju atau organisasi pelbagai hala -- mencerminkan penentukuran semula dan inovasi strategik, lapor Diplomat pada Julai.

Presiden China Xi Jinping dan pemimpin-pemimpin lain menghadiri pembukaan Forum Jalur and Jalan ketiga di Beijing 18 Oktober 2023. [Wang Ye/Xinhua melalui AFP]
Presiden China Xi Jinping dan pemimpin-pemimpin lain menghadiri pembukaan Forum Jalur and Jalan ketiga di Beijing 18 Oktober 2023. [Wang Ye/Xinhua melalui AFP]

Berlatarbelakangkan persaingan China-AS, objektif teras China adalah, pertama, mengukuhkan "hubungan dengan kuasa serantau dengan menyepadukan agenda-agenda pembangunan di samping memanfaatkan pengaruh ekonomi," dan kedua, meningkatkan "imej China sebagai pendukung multilateralisme, dengan itu membentuk semula institusi global yang memihak kepadanya," menurut laporan itu.

Usaha pelbagai hala

Pada bulan April, Beijing telah mengadakan Persidangan Pusat Dalam Kerja Berkaitan Dengan Negara-Negara Jiran, satu mesyuarat tertumpu kepada dasar luar Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang jarang diadakan, dan dipengerusikan oleh Presiden Xi Jinping.

Perhimpunan itu menandakan dorongan baharu untuk mengumpulkan rakan-rakan kongsi serantau dan menyatukan geopolitik halaman belakang China.

Sebulan kemudian, Jabatan Antarabangsa PKC menganjurkan dialog dengan parti-parti politik dari Timur Laut Asia dan Asia Tenggara.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan diplomasi pelbagai hala dan bersama-sama menggalakkan kestabilan dan pembangunan serantau dengan meningkatkan kepercayaan bersama yang strategik, memperdalam kerjasama dan mencari titik persamaan sambil mengetepikan perbezaan dan memupuk sinergi di kalangan parti politik serantau.

Kerjasama segi tiga China tidak terhad hanya kepada setiap set tiga negara.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China-Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk yang diadakan di Kuala Lumpur, Perdana Menteri China Li Qiang berkata bahawa platform pertukaran itu "boleh dikatakan sebagai tindakan perintis utama dalam kerjasama ekonomi serantau" dan kerjasama antara tiga pihak eponim itu boleh mewujudkan "sfera ekonomi yang bertenaga."

Kerjasama China dengan Negara-negara Teluk dan wilayah-wilayah lain "dibina berasaskan semangat Inisiatif Jalur and Jalan [BRI]," Kristy Tsun-Tzu Hsu, pengarah Pusat Kajian ASEAN Taiwan di Institusi Penyelidikan Ekonomi Chung-Hua, memberitahu Focus.

BRI ialah projek China untuk membina infrastruktur global yang akan memudahkan eksport bahan mentah negara-negara miskin ke China.

China sedang sibuk mencipta platform baharu melalui kerjasama tiga hala yang memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada negara-negara yang tidak mahu membentuk pakatan rasmi, kata Hsu.

Kepentingan China

Dalam hal mengenai kerjasama China dengan Singapura dan Timor-Leste, Hsu menyatakan bahawa China sudah mempunyai pengaruh yang besar di Timor-Leste.

Kini ia menawarkan kursus-kursus pembinaan kapasiti dan latihan untuk membantu Timor-Leste menyertai ASEAN akhir tahun ini, China dijangka akan mengukuhkan pengaruhnya di rantau ini, katanya.

"China agak aktif dalam mencari peluang kerjasama untuk menyatukan kepentingannya," kata Ian Chong, seorang saintis politik di Universiti Nasional Singapura, kepada Focus.

Kerjasama jenis ini mungkin membantu China meluaskan pengaruhnya, tetapi tidak semua usaha sedemikian akan memberi kesan sama, katanya.

Organisasi BRICS, yang diketuai oleh China, menimbulkan cabaran kepada Amerika Syarikat dengan meluaskan pengaruh China melalui mekanisme "Plus" China yang fleksibel, kata Hsu.

BRICS ialah blok perdagangan multinasional yang dinamakan untuk ahli-ahli awal Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Sebagai contoh, BRICS telah menambah keahliannya kepada 10 negara dengan membenarkan anggota ASEAN seperti Malaysia dan Vietnam untuk turut serta di bawah model Plus.

Model ini "menyediakan mod penyertaan baharu untuk negara-negara atau syarikat-syarikat yang enggan menyertai secara langsung tetapi masih mahu mengejar pasaran," kata Hsu.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *