Oleh Zarak Khan |
India telah meluluskan penstrukturan semula formasi tentera barisan hadapan yang bertujuan mempercepatkan penempatan dan mengukuhkan kedudukannya berdepan China di sepanjang sempadan Himalaya yang dipertikaikan. Pelan itu merangkumi penubuhan Kumpulan Pertempuran Bersepadu (IBG) yang lebih kecil dan pantas untuk operasi segera.
"Sebilangan besar surat kelulusan kerajaan bagi perubahan organisasi telah diluluskan sepanjang 14–15 bulan yang lalu, termasuk IBG Kor [XVII] yang bersifat perintis dan penubuhan briged penerbangan," kata Ketua Angkatan Tentera, Jeneral Upendra Dwivedi kepada para wartawan di sidang akhbar tahunannya pada 13 Januari.
Kerajaan telah meluluskan penukaran Kor Serangan Gunung XVII yang telah lama tertangguh, iaitu unit yang diwujudkan khusus untuk operasi menentang China, kepada IBG yang berdikari, kata Dwivedi.
Kor XVII sepatutnya mempunyai kira-kira 90,000 anggota tentera.
![Askar-askar dan kereta-kereta kebal dari Komando Barat Daya tentera India mengambil bahagian dalam latihan untuk menguji kesiapsiagaan operasi dan pengesahan kejuruteraan tempur pada bulan Disember. [Tentera India/X]](/gc9/images/2026/01/27/53624-focus_photo_2-370_237.webp)
India jelas sedang mengubah pendirian ketenteraannya ke arah strategi pencegahan yang lebih tangkas dan tertumpu kepada China selepas bertahun-tahun berlakunya kebuntuan dan pertempuran di sepanjang Garisan Kawalan Sebenar (LAC), iaitu sempadan de facto yang memisahkan kedua-dua kuasa Asia itu.
Penempatan pantas
Di bawah pelan ini, tentera akan mewujudkan "unit tempur bersaiz briged yang berdikari dan tangkas" yang direka untuk penempatan pantas dan pertempuran berintensiti tinggi di kawasan pergunungan, lapor Indian Express pada 12 Januari dengan mengungkap kata-kata para pegawai kanan.
Setiap IBG akan menempatkan lebih daripada 5,000 anggota, dengan keupayaan melancarkan operasi dalam tempoh 48 jam selepas digerakkan, menurut laporan media India.
IBG pertama dijangka dibentuk daripada Kor XVII berpengkalan di Panagarh, iaitu kor serangan gunung India yang dikhaskan untuk medan hadapan China.
New Delhi menubuhkan Kor XVII pada 2014 dan berniat menjadikannya sebagai pasukan untuk menangani kemungkinan operasi menyerang di sepanjang sempadan China, tetapi kelewatan pembiayaan dan penstrukturan telah menjejaskan kemajuan kor itu selama bertahun-tahun.
Model IBG direka untuk mempercepatkan proses mobilisasi tentera India yang terkenal perlahan, kata penganalisis dan perancang ketenteraan.
Model itu berpunca daripada sesuatu yang dikenali sebagai Doktrin Permulaan Sejuk tentera India, iaitu satu strategi yang digubal selepas kebuntuan ketenteraan 2001–2002 dengan Pakistan untuk membolehkan operasi konvensional yang pantas dan terhad sebelum pihak lawan dapat digerakkan sepenuhnya atau meningkatkan konflik, menurut kumpulan pemikir pertahanan.
Tentera merancang dua jenis IBG pantas yang berbeza, yang diolah khusus untuk medan hadapan China dan satu lagi berorientasikan Pakistan, menurut laporan Observer Research Foundation, sebuah kumpulan pemikir berpusat di New Delhi, pada Ogos lalu.
“IBG ialah unit yang padat dan berdikari yang mengintegrasikan infantri, perisai, artileri dan aset penerbangan di bawah satu markas,” menurut satu analisis dalam Financial Express pada 2024.
Keupayaan untuk segera bergerak ke kawasan pertempuran sempadan atau eskalasi konflik merupakan keutamaan bagi IBG, kata laporan itu.
Faktor China
Penstrukturan semula India secara meluas dilihat sebagai respons kepada Markas Teater Barat (WTC) Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China, yang menyelia angkatan tentera China berhadapan India dan digambarkan oleh penganalisis sebagai yang “paling luas” antara lima markas ketenteraan China.
Walaupun WTC ditugaskan mengekalkan kestabilan di wilayah bergolak Xinjiang dan Tibet, dari segi luaran ia menumpukan perhatian pada sempadan China-India, menurut Organization for Research on Asia and China, sebuah kumpulan pemikir berpangkalan di New Delhi yang memfokuskan kepada China.
WTC telah mempermudah operasi bersama antara Angkatan Darat, Angkatan Udara dan Angkatan Tentera Roket PLA, dengan memberi tumpuan kepada “kesiapsiagaan menghadapi senario konflik berpotensi” di sektor pertikaian berketinggian tinggi di sepanjang LAC, termasuk Aksai Chin dan Arunachal Pradesh, kata kumpulan pemikir itu.
Dalam tempoh sedekad yang lalu, Beijing telah beralih daripada “divisyen lama kepada Briged Senjata Gabungan yang lebih kecil dan lebih serba boleh,” lapor Indian Express pada 12 Januari.
Titik ketegangan sempadan
Ketegangan antara dua jiran bersenjata nuklear itu kekal tinggi sejak konfrontasi berdarah di Lembah Galwan pada 2020 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 anggota tentera India dan sekurang-kurangnya empat orang di pihak China berdasarkan pendedahan kemudian oleh Beijing -- kematian pertama dalam pertempuran di sepanjang sempadan yang dipertikaikan itu sejak 1975.
Walaupun satu perjanjian sempadan yang dicapai pada Oktober 2024 membantu meredakan ketegangan di beberapa titik ketegangan, kedua-dua pihak terus mengukuhkan kedudukan hadapan mereka dengan puluhan ribu anggota tentera serta aset armor, artileri dan udara, sekali gus mengubah sebahagian besar kawasan sempadan menjadi antara zon berketinggian tinggi yang paling dimiliterkan di dunia.
"Selepas pertempuran Galwan, India telah beralih daripada pendirian defensif tradisionalnya kepada usaha mengamankan sempadan melalui doktrin ketenteraan yang lebih tegas," kata Krishna Kapoor, ahli akademik berpengkalan di New Delhi yang mengkaji hubungan China-India, kepada Focus.
Konsep IBG mencerminkan perubahan yang lebih luas terhadap reka bentuk angkatan tentera berasaskan keupayaan dan operasi pelbagai domain sebagai respons terhadap ancaman yang dirasai daripada PLA, katanya.
Pertempuran Galwan juga "mendorong India lebih dekat dengan Amerika Syarikat dan rakan-rakan Barat lain” melalui kerangka Indo-Pasifik seperti Dialog Keselamatan Kuadrilateral (Quad) yang melibatkan Australia, India, Jepun dan Amerika Syarikat, yang bertujuan mengekang pengaruh serantau China yang semakin meningkat, tambahnya.
![Anggota tentera India berkawad dalam perbarisan Hari Tentera di Jaipur pada 16 Januari. India telah meluluskan penstrukturan semula besar-besaran unit tentera barisan hadapan bagi mengukuhkan kedudukannya di sepanjang sempadan dengan China. [Tentera India/X]](/gc9/images/2026/01/27/53623-focus_photo_1-370_237.webp)