Keselamatan

Forum Pertahanan Honolulu serlahkan desakan pencegahan pakatan di Indo-Pasifik

Perkongsian yang lebih erat, operasi maklumat dan pangkalan industri yang lebih responsif diperlukan untuk meningkatkan kos peperangan, kata penceramah di Forum Pertahanan Honolulu pada bulan Januari lalu.

Laksamana Samuel J. Paparo, kanan, komander Komando Indo-Pasifik AS, bercakap ketika dalam panel di Forum Pertahanan Honolulu di Hawai padai 13 Januari. [John Bellino/Tentera Laut AS]
Laksamana Samuel J. Paparo, kanan, komander Komando Indo-Pasifik AS, bercakap ketika dalam panel di Forum Pertahanan Honolulu di Hawai padai 13 Januari. [John Bellino/Tentera Laut AS]

Oleh Focus |

Negara-negara Indo-Pasifik perlu mengukuhkan pakatan dan meningkatkan pencegahan ketika persaingan strategik semakin sengit dan paksaan semakin berhubung kait dengan alat-alat ketenteraan, ekonomi dan maklumat, kata pemimpin tentera dan eksekutif industri pertahanan di Hawaii.

Forum Pertahanan Honolulu, yang dianjurkan oleh Pacific Forum International, menarik lebih 400 orang pemimpin tentera, diplomat, pengeluar senjata dan pelabur dari 11–13 Januari. Agenda itu menekankan "peluasan dan penambahbaikan pencegahan yang boleh dipercayai" dan memperoleh "kelebihan operasi melalui maklumat, AI [kecerdasan buatan] dan data," dengan sesi-sesi mengenai pengembangan, ancaman hibrid yang merangkumi ruang dan siber, dan langkah-langkah untuk meningkatkan kebolehramalan bagi pangkalan industri pertahanan, kata Komando Indo-Pasifik AS (INDOPACOM).

Laksamana Samuel J. Paparo, komander INDOPACOM, merangka operasi gabungan sebagai kelebihan penentu rantau ini dan menggesa rakan kongsi untuk terus menyepadukan keupayaan mereka. "Perikatan dan perkongsian merupakan asas kepada kekuatan strategik kami," kata Paparo.

Kesediaan segera adalah penting

Namun, pencegahan bergantung pada tahap kesediaan pada masa ini, bukan sahaja pada perancangan jangka panjang, memandangkan beberapa ramalan menunjukkan tahun 2027 sebagai garis masa awal untuk kemungkinan percubaan China merampas Taiwan, kata Paparo. "Kita perlu bersiap sedia sekarang, kita perlu bersiap sedia pada tahun 2027, kita perlu bersiap sedia pada tahun 2028," katanya, menurut Defense One, sambil menyatakan bahawa operasi maklumat perlu disepadukan dalam "setiap rancangan, setiap pelaburan dan setiap operasi."

Dari kiri, Lt. Jeneral Stephen Jost, Laksamana Samuel J. Paparo, Menteri Pertahanan Jepun Shinjirō Koizumi, Duta Besar AS ke Jepun George Glass dan Jeneral Jepun Hiroaki Uchikura bergambar di Pearl Harbor di Hawaii pada 12 Januari. [John Bellino/Tentera Laut AS]
Dari kiri, Lt. Jeneral Stephen Jost, Laksamana Samuel J. Paparo, Menteri Pertahanan Jepun Shinjirō Koizumi, Duta Besar AS ke Jepun George Glass dan Jeneral Jepun Hiroaki Uchikura bergambar di Pearl Harbor di Hawaii pada 12 Januari. [John Bellino/Tentera Laut AS]

Sementara itu, taktik "zon kelabu" -- tindakan bukan peperangan -- menyukarkan kita membezakan antara krisis dengan persaingan biasa, kata penceramah. Salah satu ancaman terbesar di rantau itu ialah "persenjataan dalam setiap aspek: ekonomi, teknologi, sumber, maklumat dan ruang siber," kata Menteri Pertahanan Jepun Shinjirō Koizumi, menurut Honolulu Star-Advertiser.

Kekaburan itu sendiri merupakan senjata strategik, kata Koizumi, sambil menambahkan bahawa sempadan "antara masa aman dan luar jangka, antara tentera dan bukan tentera, antara kebenaran dan berita palsu ... tidak lagi kelihatan dengan jelas," menurut Star-Advertiser.

Tindakan balas sepatutnya melibatkan pembinaan rangkaian serantau dan bukan peningkatan nasional secara kendiri, katanya. Beliau menggesa negara-negara menyambung usaha pertahanan mereka "seperti sawang" untuk meningkatkan "kesalinghubungan" dan "menjana sinergi" di seluruh Indo-Pasifik.

Penyepaduan hubungan tersebut akan "meningkatkan daya tahan serantau" terhadap krisis, termasuk bencana, dan akan membolehkan rantau itu "bertindak secara kolektif" walaupun sesetengah negara sedang menghadapi gangguan atau paksaan, katanya

China sering dianggap sebagai ancaman

Di forum itu, kebanyakan sesi dalam rekod tidak menamakan musuh tertentu, tetapi pengaruh dan tingkah laku China merupakan titik rujukan yang berterusan.

Presiden Palau Surangel Whipps Jr. memberikan pernyataan yang lebih jelas, dan menyatakan kerjasama dengan Amerika Syarikat untuk "bekerjasama dalam perkongsian risikan dan membina keupayaan keselamatan siber di samping mewujudkan peluang untuk kerjasama dari segi ekonomi," lapor Hawaii News Now.

Whipps merujuk kepada isu yang telah dibangkitkan secara umum oleh kerajaan beliau, termasuk dakwaan aktiviti perikanan dan pengaruh yang haram. Pencegahan memerlukan kehadiran berterusan dan daya tahan masyarakat di samping kuasa ketenteraan tradisional, katanya. "Pencegahan menuntut kehadiran -- di langit kita, di laut kita, dalam rangkaian kita -- dan kita perlu membina komuniti berdaya tahan yang kebal dan, paling penting, menjalin kemakmuran bersama melalui keamanan," katanya.

Kebimbangan tentang paksaan tidak terhad kepada Kepulauan Pasifik. Filipina sedang "menghadapi cabaran besar daripada perluasan China," kata Jeneral Romeo Brawner, ketua turus Angkatan Tentera Filipina. Beliau membuat rujukan kepada tuntutan saingan di Laut China Selatan dan di Zon Ekonomi Eksklusif Manila.

Tentera sedang mengutamakan pakatan, termasuk memluaskan aktiviti bersama dan rondaan maritim dengan Amerika Syarikat di Laut China Selatan untuk memperkukuh kebebasan pelayaran dan menolak tekanan untuk mengawal perairan yang dituntut oleh Filipina, katanya.

Keperluan industri dan teknologi

Selari dengan strategi, forum itu menekankan keperluan industri dan teknologi bagi pencegahan, ketika para pegawai dan syarikat menyatakan bahawa kadar kelajuan pengeluaran dan daya tahan rantaian bekalan merupakan faktor yang semakin penting kepada operasi.

Pentagon sedang mengharapkan "kesudahan yang berbeza secara radikal" untuk menyamai rentak konflik moden, kata Mike Cadenazzi, penolong setiausaha perang AS yang memberikan tumpuan kepada dasar pangkalan perindustrian, menurut Defense One.

Persaingan serantau kini memberikan kesan kepada ekosistem inovasi yang lebih luas dan rantaian bekalan pertahanan, Komander INDOPACOM Paparo memberitahu hadirin termasuk pelabur dan eksekutif teknologi.

Sifat kerja yang berkembang di Indo-Pasifik penting "kepada setiap pemimpin dalam bilik ini dan seterusnya, kepada setiap pelabur, jurutera, penyelidik, usahawan," katanya, menurut Star-Advertiser

Forum itu menekankan desakan untuk "meningkatkan kebolehramalan untuk pangkalan industri pertahanan," kata INDOPACOM.

Satu pangkalan industri yang boleh bergantung pada kebolehramalan adalah penting dalam usaha untuk mencapai objektif AS yang diterangkan oleh Paparo: mengunjurkan kuasa sedemikian di Indo-Pasifik sehingga "bakal musuh kita tidak membuat pertimbangan untuk berperang."

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link