Keselamatan

Pendakwa raya dakwa kapten dari China atas sabotaj kabel Taiwan

Taiwan mendakwa seorang kapten kapal China atas tuduhan mensabotaj kabel dasar laut, sementara seorang amiral tertinggi AS memberi amaran bahawa serangan seperti itu menandakan ancaman zon kelabu yang semakin meningkat dari Beijing.

Anggota pengawal pantai Taiwan menaiki kapal kargo berbendera Togo Hong Tai 58 pada 25 Februari. [File/Taiwanese Coast Guard Administration]
Anggota pengawal pantai Taiwan menaiki kapal kargo berbendera Togo Hong Tai 58 pada 25 Februari. [File/Taiwanese Coast Guard Administration]

Oleh AFP dan Focus |

TAIPEI -- Dalam perkembangan undang-undang yang penting, pendakwa raya Taiwanese buat pertama kalinya mendakwa seorang kapten kapal dari China kerana sengaja merosakkan kabel telekomunikasi bawah laut yang menghubungkan Taiwan ke pulau-pulau terpencil Penghu.

Dakwaan itu, yang diumumkan oleh Pejabat Pendakwa Raya Daerah Tainan pada 11 April, menunjukkan ketegangan yang semakin memuncak di Selat Taiwan dan menyerlahkan peningkatan penggunaan taktik zon kelabu -- satu set aktiviti yang berlaku antara keamanan dan peperangan -- oleh Beijing.

Kapten tersebut, yang dikenal pasti dengan nama keluarga Wang, telah dituduh memusnahkan kemudahan berkaitan kabel bawah laut yang melanggar Akta Pengurusan Telekomunikasi Taiwan.

Pendakwaan pertama

Kapal Wang, kapal Hong Tai 58 , sebuah kapal kargo berdaftar di Togo dengan pembiayaan dari China dan dikendalikan sepenuhnya oleh kru warga China, telah ditahan di Taiwan sejak akhir Februari susulan insiden yang menjejaskan komunikasi antara Taiwan dan Penghu. Sekiranya disabitkan kesalahan, Wang boleh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun

Kementerian Luar China enggan mengulas mengenai kes Wang namun tetap menegaskan bahawa Taiwan adalah "sebahagian yang tidak terpisahkann daripada wilayah China," menurut laporan AFP.

Siasatan pendakwa raya mendapati Wang dipercayai telah mengarahkan anak kapal supaya menurunkan cakar sauh ke dasar laut dalam kawasan larangan yang ditandakan dalam carta elektronik kapal.

Wang kemudiannya menggerakkan kapal dalam corak zig-zag dengan tujuan untuk merosakkan kabel bawah laut.

Pendakwa raya memaklumkan bahawa Wang menunjukkan "sikap buruk," enggan mengaku bersalah dan menolak untuk mendedahkan pemilik sebenar kapal. Tujuh anak kapal lain tidak akan didakwa, namun akan dihantar pulang.

Kes ini merupakan pendakwaan pertama yang direkodkan di Taiwan terhadap seorang kapten China berhubung insiden pemotongan kabel dasar laut, dan berlaku ketika peningkatan insiden kerosakan kabel domestik dan antarabangsa Taiwan semakin menjadi perhatian.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kabel dasar laut yang menghubungkan Taiwan dan Matsu mengalami purata 5.1 insiden kerosakan setahun, jauh melebihi purata global iaitu antara 0.1 hingga 0.2 insiden setahun bagi setiap kabel, menurut laporan Yuan Kawalan Taiwan.

Kebimbangan di Washington Terus Meningkat

Pengawal pantai Taiwan kini memantau 52 kapal milik China yang menggunakan bendera negara ketiga seperti Togo, Cameroon dan Tanzania. Daripada jumlah tersebut, 15 buah kapal telah diklasifikasikan sebagai “ancaman”.

Kapal seperti Hong Tai 58 beroperasi dalam perairan Taiwan untuk tempoh yang panjang, menyukarkan kawalan dan tindakan penguatkuasaan, menurut pihak berkuasa.

Insiden yang melibatkan Hong Tai 58 turut berlaku serentak dengan kebimbangan yang semakin meningkat di Washington berhubung peningkatan ketenteraan dan operasi hibrid oleh China berhampiran Taiwan.

“Tekanan ketenteraan oleh Tentera Pembebasan Rakyat terhadap Taiwan meningkat sebanyak 300 peratus pada tahun 2024,” kata Laksamana Samuel Paparo, Komander Pemerintahan Indo-Pasifik Amerika Syarikat, ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat AS pada 10 April.

Menurut beliau, "Tindakan China berhampiran Taiwan bukan sekadar latihan, sebaliknya persiapan nyata.

Beliau turut memberi amaran bahawa peperangan membabitkan Taiwan boleh mencetuskan persoalan serius berhubung penyebaran senjata nuklear serta pelancaran tanpa amaran dalam kalangan negara kuasa besar."

Dari sudut ekonomi, konflik sedemikian dijangka menyebabkan kerugian sebanyak 25 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Asia. Amerika Syarikat pula dijangka mengalami kemerosotan antara 10 hingga 12 peratus, dengan potensi sehingga 500,000 kematian berkaitan tekanan mental dan keputusasaan. Paparo tidak memberikan jangka masa bagi unjuran tersebut.

Dalam sesi soal jawab bersama Senator Jacky Rosen, Paparo turut menyentuh aktiviti sabotaj kabel internet yang sering dikaitkan dengan operasi “zon kelabu” oleh China.

Beliau mencadangkan dua langkah respons: pertama, meningkatkan risikan bagi memastikan pasukan berada di lokasi yang disasarkan terlebih dahulu sebagai langkah pencegahan. Kedua, membina rangkaian alternatif yang lebih tahan gangguan — termasuk "pelaburan dalam satelit orbit rendah dan orbit pertengahan."

Kabel jadi sasaran strategik

Kabel dasar laut kini menjadi titik pertikaian dalam strategi tekanan oleh China terhadap Taiwan. Negara itu mengurus 14 kabel antarabangsa dan 10 kabel domestik yang menjadi tulang belakang komunikasi digital yang merangkumi trafik internet, panggilan telefon dan transaksi kewangan multinasional.

Pendakwaan terhadap Wang merupakan langkah perundangan yang bersifat simbolik bagi Taipei, yang berusaha memastikan pihak berkaitan dengan Beijing dipertanggungjawabkan atas aktiviti zon kelabu yang berada di bawah ambang peperangan tetapi tetap membawa kesan gangguan dan kerosakan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah syarikat permulaan satelit AS akan melancarkan satelit komunikasi MicroGEO pertama yang didedikasikan untuk Taiwan. Satelit ini akan lebih sukar untuk dimusnahkan berbanding kabel dasar laut.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan ketahanan demokrasi yang diperintah sendiri ini terhadap kemungkinan cubaan China untuk mengenakan penutupan maklumat sekiranya berlakunya pencerobohan, menurut Bloomberg.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *