Oleh AFP dan Focus |
BEIJING -- Kapal selam China menjalankan ujian penembakan peluru berpandu "strategik" membawa kepala ledak palsu ke Lautan Pasifik pada 6 Julai, kata Beijing, telah menerima kecaman segera dari negara-negara di rantau itu.
New Zealand menggambarkan ujian tersebut sebagai melibatkan "peluru berpandu balistik jarak jauh," yang berkeupayaan nuklear tetapi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri China tidak mengesahkan sama ada pihak tentera mereka telah menggunakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).
Ujian tersebut muncul dua tahun selepas Rocket Force China yang elit menembak satu ICBM ke laut berhampiran Polinesia Perancis, pelancaran peluru berpandu sedemikian yang pertamanya ke atas perairan antarabangsa dalam tempoh lebih daripada 40 tahun.
Kapal selam nuklear melancarkan "peluru berpandu strategik membawa kepala peledak simulasi latihan" pada pukul 12.01 tengah hari waktu tempatan, kata kenyataan tentera laut China itu, sambil menambah bahawa ia telah "mendarat dengan tepat di kawasan laut yang ditentukan."
![Peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam antara benua JL-3 dipaparkan semasa perarakan ketenteraan sempena ulang tahun ke-80 sejak tamat Perang Dunia Kedua di Beijing pada 3 September lalu. China mungkin telah menggunakan peluru berpandu JL-3 dalam ujian Pasifik pada 6 Julai, kata para penganalisis. [Pedro Pardo/AFP]](/gc9/images/2026/07/07/56907-afp__20250903__738u9fd__v1__highres__chinadefenceanniversarywwiiparade-370_237.webp)
Alex Luck, penganalisis tentera laut yang menumpukan kepada pemodenan ketenteraan China, memberitahu AFP bahawa peluru berpandu tersebut mungkin JL-3 ICBM yang dilancarkan dari kapal selam, varian jarak jauh JL-2 milik China.
China mempamerkan JL-3 di perarakan ketenteraan di Beijing pada September lalu.
Walau bagaimanapun, Luck mengatakan ia adalah "sama munasabah" bahawa China telah menguji JL-2.
Menurut jurucakap tentera laut China Wang Xuemeng dalam satu kenyataan yang dikongsikan di WeChat bahawa pelancaran ujian itu adalah "pengaturan rutin latihan ketenteraan tahunan China," dan "negara-negara berkaitan dimaklumkan lebih awal."
Ujian tersebut dijalankan dua jam selepas China memaklumkan negara-negara Pasifik mengenai pelancaran tersebut, kata New Zealand.
Pemerkasaan nuklear
Amerika Syarikat telah menyuarakan amaran mengenai ujian tersebut, menyifatkannya sebahagian daripada pemodenan pesat ketenteraan China.
"Pada masa apabila Amerika Syarikat sedang bekerja lebih bertungkus-lumus daripada sebelum ini untuk mencegah pertambahan nuklear, China melakukan sebaliknya," kata jurucakap Jabatan Negara Tommy Pigott dalam satu kenyataan. "Perkembangan senjata nuklear Beijing yang pesat dan kabur merupakan kebimbangan besar terhadap rantau dan dunia.
"Kami terus menggesa China untuk terlibat dalam perbincangan kawalan senjata bermakna," tambah beliau.
Peluru berpandu tersebut menunjukkan China mempunyai pilihan semakin meningkat selain penembakan dari darat, kata Lyle Morris, felo kanan di Asia Society Policy Institute.
"Menguji pada tahap ini ialah perkembangan besar dan akan menunjukkan bahawa China sedang beralih ke arah keupayaan penghalang nuklear berasaskan laut dengan jarak yang lebih jauh dan jauh lebih berdaya tahan," kata beliau.
China mengadakan pertunjukan kekuatan ketenteraannya yang jarang pada hari yang sama Australia dan Fiji memeterai pakatan pertahanan utama. Kedua-dua negara memperkukuh hubungan mereka ketika Canberra berusaha untuk mengakali Beijing di Pasifik Selatan yang penting dari segi strategik.
Pada masa yang sama, China telah berusaha untuk meningkatkan pengaruhnya di Pasifik, menghujani kepulauan itu dengan hospital dan stadium baharu serta jalan raya yang baru diturap.
Tindak balas negatif serantau
"Pasifik ialah Lautan Keamanan dan kami amat bimbang terhadap pengujian senjata yang berkeupayaan nuklear China ke Pasifik Selatan," kata Menteri Luar Negeri New Zealand Winston Peters dalam satu kenyataan, menambah bahawa pelancaran tersebut "bercanggah dengan kestabilan serantau."
Australia menyifatkan pelancaran tersebut "menggugat kestabilan." Ia dibuat "dalam konteks pemerkasaan pesat ketenteraan oleh China, iaitu kekurangan ketelusan dan jaminan dari segi niat yang dijangka oleh rantau ini," kata Menteri Luar Negeri Penny Wong, menurut Australian Broadcasting Corporation.
Jepun berkata mereka telah "melahirkan kebimbangan yang serius," dan Taiwan mengekalkan bahawa China "sengaja menunjukkan kekuatan ketenteraannya, meningkatkan ketegangan di rantau tersebut."
Filipina, yang telah berulang kali bertelagah dengan China mengenai tuntutan wilayah di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, mengecam ujian tersebut sebagai satu "pertunjukan kuasa ketenteraan yang melulu."
"Pelancaran ini … ialah tindakan terancang cemuhan dan provokasi terhadap pihak yang menolak fahaman perluasan kuasa yang menyalahi undang-undang dan kelakuan paksaan China," kata jabatan pertahanan negara itu dalam satu kenyataan.
Rusia, rakan sekutu China, mempertahankan ujian penembakan Beijing sebagai "hak kedaulatannya."
Apabila ditanya tentang reaksi itu, Kementerian Luar Negeri China berkata pelancaran itu "bukan dihalakan kepada mana-mana negara atau sasaran khusus."
"Diharapkan negara-negara berkaitan tidak akan menafsirkan perkara ini secara berlebihan," kata jurucakap kementerian Mao Ning kepada wartawan.
Pemerkasaan ketenteraan China
Beijing telah meningkatkan pembangunan nuklearnya dan meningkatkan perbelanjaan ketenteraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Pentagon, China menyimpan lebih daripada 500 kepala peledak nuklear boleh berfungsi setakat Mei 2023 dan berkemungkinan memiliki lebih daripada 1,000 menjelang 2030.
Beijing menjalankan ujian penembakan peluru berpandu pada hari yang sama yang ia memulakan latihan tentera laut bersama tahunan dengan Rusia di luar Qingdao, pelabuhan tentera dan tempat peranginan tepi laut di timur China.
"Kapal perang yang menyertai akan meneruskan ke laut berhampiran Qingdao menjalankan latihan di kawasan seperti pengintipan bersama, pertahanan udara dan peluru berpandu, serta latihan penggunaan senjata sebenar," kata agensi berita Xinhua.
Lebih pengujian China dijangka
Peters dari New Zealand berkata selepas pelancaran itu kerajaannya bimbang "ini nampaknya corak yang sering berulang."
Dalam ujian ICBM pada tahun 2024 berhampiran Polinesia Perancis, China nampaknya telah menggunakan salah satu daripada peluru berpandu Dong Feng-31 canggih, kata para penganalisis pada masa itu. Ia mampu menghantar kepala ledak nuklear. Ia mendarat ke sebahagian daripada lautan yang telah lama ditetapkan sebagai zon bebas nuklear di bawah perjanjian antarabangsa.
Armada kapal selam China telah menjalani "usaha yang ketara untuk pemodenan dan perluasan," kata Luck. "Selaras dengan trend ini kami sepatutnya boleh menjangkakan peningkatan ketara dalam pengujian peluru berpandu."
![Tentera China mengeluarkan rakaman video ujian pelancaran peluru berpandu balistik berkeupayaan nuklear tanpa senjata dari sebuah kapal selam ke Lautan Pasifik pada 6 Julai 2026. Beijing memaklumkan bahawa peluru berpandu itu membawa kepala peledak simulasi. [Tangkapan skrin daripada China Central Television]](/gc9/images/2026/07/07/56944-missile-370_237.webp)