Oleh Wu Qiaoxi |
TAIPEI -- Kapal perang AS melalui Selat Taiwan pada bulan Februari ketika China terus meningkatkan tekanan ketenteraan di sekitar Taiwan.
Kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke USS Ralph Johnson dan kapal kajian oseanografi USNS Bowditch telah belayar melalui selat tersebut pada 10-12 Februari, menurut laporan USNI News yang memetik kenyataan rasmi daripada Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat (INDOPACOM).
Kementerian Pertahanan Kebangsaan Taiwan (MND) mengesahkan laluan kapal perang AS melalui Selat Taiwan dari utara ke selatan sejak 10 Februari, sambil menambah bahawa pihak mereka memantau "pelbagai pergerakan PLA [Tentera Pembebasan Rakyat]."
"Kapal-kapal transit di antara Laut China Timur dan Laut China Selatan melalui Selat Taiwan dan telah berbuat demikian selama bertahun-tahun," kata INDOPACOM dalam kenyataannya.

"Transit berlaku melalui koridor di Selat Taiwan yang berada di luar perairan pantai wilayah mana-mana negara"
"Dalam koridor ini semua negara menikmati kebebasan untuk pelayaran laut lepas, penerbangan, dan penggunaan laut lain yang sah di sisi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan kebebasan ini," tambahnya.
Kerajaan China secara konsisten menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mencapai penyatuan.
Sejak Presiden Taiwan Lai Ching-te mengambil alih jawatan pada Mei lalu, China telah menjalankan pelbagai latihan ketenteraan berskala besar di sekitar Selat Taiwan.
Pencerobohan China
Transit terkini berlaku ketika aktiviti ketenteraan China meningkat di selat tersebut.
Dari 10 hingga 12 Februari, PLA telah menghantar sejumlah 62 penerbangan pesawat ketenteraan dalam tempoh 48 jam di sekitar Selat Taiwan, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Kebangsaan (MND) Taiwan.
Daripada 62 penerbangan pesawat tersebut, 45 telah melintasi garis tengah selat dan memasuki ruang udara utara, barat daya dan timur Taiwan, menurut MND.
Tentera Taiwan juga mengesan lapan kapal tentera laut PLA dan sebuah kapal kerajaan China beroperasi berhampiran Selat Taiwan dalam tempoh yang sama.
Menurut Kapten Kanan Li Xi, jurucakap Komando Teater Timur PLA, pihak ketenteraan China sedang menjalankan "rondaan dan pengawasan rutin" di Selat Taiwan dengan tujuan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Pada 12 Februari, CCTV China menyiarkan rakaman Friget Huai Bei PLA yang sedang menjalankan rondaan kesediaan tempur di sekitar Taiwan.
Siaran tersebut menggambarkannya sebagai "latihan ketenteraan situasi sebenar yang dijalankan oleh Friget Huai Bei semasa Perayaan Tanglung."