Keselamatan

Rekod pencerobohan maritim China di perairan Senkaku yang dipertikaikan timbulkan ketegangan

Kehadiran kapal Pengawal Pantai China selama 92 jam yang telah memecahkan rekod berhampiran Kepulauan Senkaku telah meningkatkan ketegangan antara Tokyo dan Beijing.

Gambar aerial ini yang diambil pada 15 September 2010, menunjukkan pulau-pulau yang dipertikaikan dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China di Laut China Timur. [Jiji Press/AFP]
Gambar aerial ini yang diambil pada 15 September 2010, menunjukkan pulau-pulau yang dipertikaikan dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China di Laut China Timur. [Jiji Press/AFP]

Oleh Focus |

Dalam suatu tempoh pada bulan Mac, iaitu selama 92 jam dan lapan minit, empat buah kapal Pengawal Pantai China kekal di dalam perairan Jepun berhampiran Kepulauan Senkaku yang dipertikaikan, menandakan pencerobohan yang paling lama sejak Tokyo menasionalisasi pulau-pulau itu pada tahun 2012.

Pencerobohan tersebut bermula pada awal 21 Mac apabila dua buah kapal China yang bersenjata memasuki kawasan itu sekitar jam 2 pagi, dilaporkan mengejar perahu-perahu nelayan Jepun. Dua buah lagi kapal China bersenjata mengikuti keesokan harinya.

Lewat malam pada 24 Mac, Pengawal Pantai Jepun mengumumkan ia telah memaksa kapal-kapal Pengawal Pantai China beredar sekitar jam 10.04 malam.

Insiden maritim ini berlaku secara kebetulan dengan ketibaan Menteri Luar Negeri China Wang Yi di Tokyo untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Tiga Hala China-Jepun-Korea Selatan ke-11.

Menteri Luar Negeri Jepun Takeshi Iwaya menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti kapal-kapal China berhampiran Senkakus, dengan menyatakan bahawa tindakan sedemikian "jelas semakin meningkat." Dia menyampaikan kebimbangan ini kepada Wang semasa pertemuan mereka di Tokyo pada 22 Mac.

Seorang penggubal undang-undang pembangkang Jepun yang menyoal Iwaya pada sidang parlimen menyifatkan kehadiran kapal-kapal China itu sebagai "amat tidak sesuai," lapor Kyodo News pada 25 Mac.

Sebagai tindak balas kepada insiden itu, jurucakap Pengawal Pantai China, Liu Dejun mendakwa bahawa Kepulauan Diaoyu dan pulau-pulau gabungan mereka adalah wilayah China.

“Kami menggesa pihak Jepun menghentikan segera semua aktiviti haram di perairan ini,” kata Liu dalam satu kenyataan.

Taktik 'Zon Kelabu'

Rekod sebelumnya bagi pencerobohan China di kawasan itu, yang berlaku pada tahun 2023, adalah 80 jam dan 36 minit.

Kebuntuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah mencetuskan semula ketegangan antara China dan Jepun, menyerlahkan pertikaian wilayah mereka.

Kepulauan Senkaku, yang dikenali sebagai Kepulauan Diaoyu di China, adalah sekumpulan pulau kecil yang tidak berpenghuni yang terletak kira-kira 170km timur laut Taiwan di Laut China Timur.

Ia ditadbir oleh Jepun tetapi dituntut oleh China dan Taiwan. Berbeza dengan atol karang yang kecil dan rendah yang dipertikaikan di Laut China Selatan, Diaoyu/Senkakus muncul dari laut sebagai satu siri puncak di banjaran gunung bawah air.

Bagi Jepun, Kepulauan Senkaku bukan sahaja mewakili kedaulatan wilayah tetapi juga zon maritim strategik yang penting untuk keselamatan negara dan kepentingan ekonomi.

China, sebaliknya, melihat tuntutannya sebagai sebahagian daripada naratif sejarah yang lebih luas yang terikat dengan kebangkitannya sebagai kuasa serantau.

China menggunakan strategi dwi justifikasi sejarah dan taktik "zon kelabu" untuk menegaskan tuntutan wilayahnya ke atas Laut China Timur dan Laut China Selatan, menjadikan pertikaian sebagai perkara kedaulatan yang tidak boleh dirunding sambil mengelakkan konflik ketenteraan secara langsung.

"Pemimpin-peminpin di Beijing mendapati pakej taktikal ini berfungsi dengan baik terhadap setiap jiran-jiran maritim China" termasuk Jepun, kata Isaac B. Kardon, seorang felo kanan untuk pengajian China di Carnegie Endowment for International Peace, semasa perjumpaan kongres AS pada 2024.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *