Keselamatan

Jepun tandakan China sebagai ancaman keselamatan terbesar dalam kertas pertahanan 2025

Tindakan ketenteraan China yang semakin kerap menimbulkan ancaman strategik yang 'tidak pernah berlaku dahulu', kata dokumen tersebut.

Muka depan Kertas Putih Pertahanan Jepun 2025, diterbitkan pada 15 Julai, menampilkan anggota-anggota Angkatan Pertahanan Diri Jepun (JSDF). Dokumen tahunan tersebut menggariskan penilaian Jepun terhadap ancaman serantau dan keutamaan pertahanannya yang berkembang. [Kementerian Pertahanan Jepun]
Muka depan Kertas Putih Pertahanan Jepun 2025, diterbitkan pada 15 Julai, menampilkan anggota-anggota Angkatan Pertahanan Diri Jepun (JSDF). Dokumen tahunan tersebut menggariskan penilaian Jepun terhadap ancaman serantau dan keutamaan pertahanannya yang berkembang. [Kementerian Pertahanan Jepun]

Oleh Focus |

Aktiviti ketenteraan China yang bertambah kerap merupakan suatu "cabaran strategik yang tidak pernah berlaku dahulu dan yang terbesar" kepada keselamatan Jepun dan ke atas pengaturan antarabangsa yang lebih luas, menurut kertas putih pertahanan Jepun 2025 yang baru diterbitkan.

Dokumen itu, yang diterbitkan pada 15 Julai, menyebut tentang pencerobohan pertama pesawat pejuang China yang telah disahkan ke ruang udara Jepun, di samping pelonjakan dalam tindak-tanduk ketenteraan serantau oleh Beijing.

"Aktiviti ketenteraan agresif China berpotensi menimbulkan kesan serius terhadap keselamatan negara kita," kata Menteri Pertahanan Jen Nakatani semasa sidang akhbar yang mengumumkan dokumen itu.

Kertas putih itu menekankan beberapa insiden penting yang menguatkan kebimbangan Jepun.

Anggota-anggota JSDF berkawad dalam formasi di Kem Angkatan Pertahanan Diri Darat Asaka pada 9 November yang lalu ketika Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (tidak kelihatan) memeriksa perbarisan tentera untuk ulang tahun ke-70 JSDF. [David Mareuil/Pool/AFP]
Anggota-anggota JSDF berkawad dalam formasi di Kem Angkatan Pertahanan Diri Darat Asaka pada 9 November yang lalu ketika Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (tidak kelihatan) memeriksa perbarisan tentera untuk ulang tahun ke-70 JSDF. [David Mareuil/Pool/AFP]

Terutamanya, ia merujuk kepada pencerobohan Ogos lalu oleh pesawat peninjau tentera China ke ruang udara Jepun di luar wilayah Nagasaki -- menandakan pencerobohan seumpamanya bagi kali pertama yang telah disahkan.

Dalam bulan yang berikutnya, kapal induk pesawat udara China Liaoning dan dua kapal yang lain belayar melalui kawasan antara pulau Yonaguni dan Iriomote Okinawa.

Di sebalik insiden-insiden ini, dokumen tersebut memperincikan corak berterusan aktiviti China yang semakin meningkat berhampiran wilayah Jepun.

Pada tahun 2023 sahaja, kapal-kapal pengawal pantai China dikesan berhampiran Kepulauan Senkaku yang ditadbir Jepun (dikenali sebagai Diaoyu di China) untuk rekod selama 355 hari.

Kertas tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap peranan pengawal pantai China yang semakin berkembang. Sebagai sebahagian daripada Anggota Polis Bersenjata Rakyat, agensi itu menjadi semakin besar dan lebih lengkap bersenjata, dan memainkan peranan yang lebih penting dalam strategi maritim China.

Kebimbangan Taiwan

Kebimbangan Jepun berlanjutan ke Selat Taiwan, di mana China telah meningkatkan aktiviti ketenteraan dan kerap menjalankan latihan.

"China sedang cuba untuk menormalkan aktiviti PLA [Tentera Pembebasan Rakyat] di sekitar Taiwan dan menjadikannya sebagai fait accompli, dan pada masa yang sama berusaha untuk meningkatkan keupayaan tempurnya," tulis kertas itu, sementara memberi amaran bahawa keseimbangan ketenteraan merentasi Selat Taiwan sedang berubah dengan cepat memihak kepada China.

Laporan itu menekankan kebimbangan Jepun yang semakin meningkat terhadap strategi "zon kelabu" Beijing -- tindakan ketenteraan yang tidak mencapai tahap konflik terbuka tetapi direka untuk mengubah status quo.

Ia menyatakan bahawa "pencegahan dan sekatan ketenteraan secara amnya dilihat sebagai pilihan utama China terhadap Taiwan," dan bahawa dalam senario sekatan yang mungkin berlaku, "pengawal pantai China mungkin dikerahkan di barisan hadapan untuk menjalankan operasi zon kelabu."

Kertas putih itu mengaitkan tekanan ketenteraan China ke atas Taiwan dengan objektif politik yang lebih luas, termasuk usaha untuk mengasingkan pentadbiran Presiden Lai Ching-te dan menghalang kerjasama keselamatan AS-Taiwan yang mendalam.

Sementara itu, China sedang mempercepatkan aktiviti dan mempromosikan ketenteraan di Laut China Selatan berdasarkan tuntutan-tuntutan yang dianggap tidak selari dengan undang-undang maritim antarabangsa, menurut laporan itu.

"Ini adalah perubahan unilateral secara paksaan yang bertujuan untuk mewujudkan fait accompli, yang dipandang serius oleh Jepun" lapornya, sambil menekankan bahawa isu ini adalah "kebimbangan yang sah ... untuk seluruh komuniti antarabangsa."

Peluasan pertahanan

Kertas putih itu menekankan lagi mengenai latihan-latihan ketenteraan bersama China-Rusia dan menyatakan bahawa penempatan senjata canggih Rusia di Timur Jauh serta pencerobohan ruang udara yang berulang telah mengukuhkan tekanan strategik ke atas Jepun.

Laporan itu mendedahkan tentang hubungan ketenteraan Rusia-Korea Utara yang semakin berkembang dan kemungkinan pemindahan teknologi berkaitan peluru berpandu.

Ia memberi amaran bahawa tindak-tanduk Korea Utara menimbulkan "ancaman yang lebih teruk dan ketara" kepada keselamatan negara Jepun, dengan memetik kemajuan dalam teknologi peluru berpandu, termasuk sistem hipersonik.

Sebagai tindak balas terhadap keselamatan persekitaran yang semakin merosot ini, Jepun meneruskan peluasan pertahanannya untuk bertahun-tahun.

Kertas putih itu mendokumenkan pelaburan dalam pertahanan peluru berpandu, sistem tanpa pemandu, dan Perintah Operasi Bersama yang baru ditubuhkan untuk meningkatkan penyelarasan operasi.

Ia menekankan usaha untuk memodenkan infrastruktur asas dan keadaan kakitangan.

Jepun sedang memperdalam pakatannya dengan Amerika Syarikat di bawah rangka kerja "Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka".

"Arah aliran dalam dasar keselamatan Amerika Syarikat akan memberi impak yang besar kepada persekitaran keselamatan di rantau Indo-Pasifik," tulis dokumen itu, dengan mengetengahkan dialog-dialog peringkat sidang kemuncak dan peringkat menteri baru-baru ini dan menekankan keperluan untuk memantau perkembangan dengan teliti.

Walaupun ia bukan peta jalan yang strategik, kertas putih itu berfungsi sebagai penilaian tahunan Jepun tentang postur pertahanannya.

Dengan memberi amaran bahawa aturan antarabangsa sedang memasuki "era krisis yang baharu," ia menekankan keperluan yang mendesak bagi Jepun untuk menguatkan keupayaan pertahanannya secara asas dan mengukuhkan kerjasama bukan sahaja dengan sekutunya tetapi dengan rangkaian rakan kongsi yang lebih luas untuk menghadapi ancaman serantau yang semakin meningkat.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *