Keselamatan

Amaran terhadap hasrat China ke atas Taiwan, NATO usaha hubungan Indo-Pasifik yang lebih erat

NATO memberi peringatan terhadap hasrat China ke atas Taiwan, memberi amaran tentang ancaman bersama China-Rusia yang boleh memecah belahkan pertahanan Barat merentasi dua benua.

Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin China Xi Jinping berjabat tangan selepas majlis menandatangani perjanjian di Moscow pada 8 Mei. Setiausaha Agung NATO Mark Rutte pada Julai memberi amaran bahawa sebarang serangan China ke atas Taiwan kemungkinan besar didalangi dengan Rusia bertujuan menjejaskan kestabilan Eropah dan membahagikan tumpuan Barat. [Kirill Kudryavtsev/AFP]
Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin China Xi Jinping berjabat tangan selepas majlis menandatangani perjanjian di Moscow pada 8 Mei. Setiausaha Agung NATO Mark Rutte pada Julai memberi amaran bahawa sebarang serangan China ke atas Taiwan kemungkinan besar didalangi dengan Rusia bertujuan menjejaskan kestabilan Eropah dan membahagikan tumpuan Barat. [Kirill Kudryavtsev/AFP]

Oleh Chen Meihua |

Setiausaha Agung NATO Mark Rutte pada bulan ini mengeluarkan amaran keras bahawa tentera China telah bergerak melangkaui demonstrasi kekerasan semata-mata dan dengan cepat beralih ke arah kesediaan untuk pertempuran sebenar, dengan hasratnya untuk mengambil alih Taiwan semakin jelas.

Bercakap di Berlin pada 9 Julai selepas bertemu dengan Canselor Jerman Friedrich Merz, Rutte menegaskan bahawa sebarang tindakan ketenteraan China mungkin mendapat kerjasama daripada Rusia dalam usaha untuk menjejaskan kestabilan Eropah dan mengekang keupayaan Barat untuk bertindak balas di Indo-Pasifik, lapor Euronews.

Keselamatan di kawasan transatlantik dan Indo-Pasifik kini saling berkait, menjadikannya mustahil untuk mengabaikan isu Taiwan apabila melihat risiko strategik Eropah sendiri, katanya.

China sedang memodenkan dan mengembangkan tenteranya pada kelajuan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan unjuran tentera lautnya berkembang kepada 435 buah kapal dan senjata nuklearnya melebihi 1,000 biji kepala peledak yang beroperasi menjelang 2030, tambah Rutte.

Setiausaha Agung NATO Mark Rutte menghadiri sidang akhbar bersama dengan Canselor Jerman Friedrich Merz (tidak ditunjuk) di Berlin pada 9 Julai. [Odd Andersen/AFP]
Setiausaha Agung NATO Mark Rutte menghadiri sidang akhbar bersama dengan Canselor Jerman Friedrich Merz (tidak ditunjuk) di Berlin pada 9 Julai. [Odd Andersen/AFP]
Bekas Setiausaha Pertahanan UK Gavin Williamson bercakap di Taipei pada 4 Julai, menggelar Taiwan sebagai negara yang berdaulat dan demokratik dengan 'tiada kekaburan' dan menggesa negara-negara lain untuk menormalkan hubungan dengannya bagi menyokong nilai demokrasi yang dikongsi bersama. [Chen Meihua]
Bekas Setiausaha Pertahanan UK Gavin Williamson bercakap di Taipei pada 4 Julai, menggelar Taiwan sebagai negara yang berdaulat dan demokratik dengan 'tiada kekaburan' dan menggesa negara-negara lain untuk menormalkan hubungan dengannya bagi menyokong nilai demokrasi yang dikongsi bersama. [Chen Meihua]

"Mereka yang menentang kebebasan dan demokrasi sedang mengukuhkan pertahanan -- bersedia untuk konfrontasi jangka panjang dan cuba menguasai dan memecahbelahkan kita," kata Rutte sambil menambah bahawa jika China menyerang Taiwan, ia mungkin akan meminta Rusia melancarkan medan perang kedua di Eropah untuk mengalih perhatian NATO.

Dalam suatu temu bual pada awal Julai dengan The New York Times, beliau membuat hipotesis bahawa Presiden China Xi Jinping mungkin akan memanggil rakan sejawatan dari Rusia Vladimir Putin dan berkata, "Hei, saya akan melakukan ini, dan saya perlukan anda untuk membuat mereka sibuk di Eropah dengan menyerang wilayah NATO."

Walaupun China dan Rusia belum membentuk pakatan ketenteraan rasmi, keputusan Beijing untuk menyerang Taiwan boleh memberikan Moscow peluang untuk menggugat kestabilan Eropah, kata pemerhati.

Kenyataan Rutte menunjukkan NATO semakin melihat "koordinasi China-Rusia" sebagai ancaman sejagat, Wen-Ti Sung, seorang felo di Hab Global China Majlis Atlantik, memberitahu Focus.

"Putin mungkin cuba membantu China menyekat pasukan NATO supaya mereka tidak dapat bertindak balas sepenuhnya terhadap Indo-Pasifik," kata Sung.

Sekiranya konflik meletus di Selat Taiwan, Amerika Syarikat dan anggota NATO yang lain sudah semestinya perlu mengalihkan sumber ke Indo-Pasifik, mewujudkan situasi meruncing di Eropah yang boleh dieksploitasi oleh Rusia, menurut Alexander Huang, profesor madya di Institut Siswazah Hal Ehwal Antarabangsa dan Kajian Strategik Universiti Tamkang.

Bagaimanapun, kepentingan strategik China dan Rusia tidak selari sepenuhnya, katanya.

"Dari perspektif Barat, China dan Rusia adalah 'rakan rapat tanpa had,' tetapi kepentingan sebenar mereka sering berbeza," katanya kepada Focus, sambil menambah bahawa pakatan ketenteraan penuh masih kurang berkemungkinan berlaku.

Penglibatan yang bertambah

Perhatian Eropah terhadap keselamatan Taiwan semakin meningkat.

Setiausaha Luar Negeri UK David Lammy pada 25 Jun mengesahkan di parlimen bahawa Tentera Laut Diraja akan meneruskan operasi kebebasan pelayaran di kedua-dua Laut China Selatan dan Selat Taiwan, menekankan komitmen Britain terhadap kestabilan serantau.

Kapal peronda HMS Spey pada 18 Jun melintasi Selat Taiwan dalam laluan sedemikian adalah yang terkini.

Sementara itu, pada 4 Julai, Ahli Parlimen Britain, Gavin Williamson, bekas setiausaha pertahanan, melawat Taiwan dan menyertai meja bulat dengan Kelab Wartawan Asing Taiwan.

Seluruh dunia demokrasi harus bekerjasama erat dengan Taiwan untuk mewujudkan pencegahan," kata Williamson.

Dia mengkritik sikap lampau Barat yang teragak-agak menyokong Taiwan kerana bimbang akan memprovokasi Beijing.

"Kami perlu melakukan segala yang kami mampu untuk membantah," katanya, menyeru peningkatan jualan senjata dan kerjasama rantaian bekalan dengan Taiwan dan agar kerajaan UK menormalkan hubungan dengan Taipei.

Eropah pula sedang mengalami transformasi ketenteraan dalaman.

Di sidang kemuncak NATO pada 25 Jun, negara-negara anggota berjanji untuk meningkatkan kos perbelanjaan berkaitan pertahanan dan keselamatan kepada 5% daripada KDNK menjelang 2035 dalam menghadapi ancaman dan cabaran keselamatan yang lebih kuat.

Negara-negara Eropah semakin sedar bahawa keselamatan Eurasia saling behubung kait, dengan perang di Ukraine dan ketegangan yang meningkat di Selat Taiwan saling menguatkan antara satu sama lain, kata Sung dari Atlantic Council.

Kesedaran ini telah mendorong Eropah untuk melabur lebih dalam penyelidikan dan penglibatan dasar berkaitan Taiwan, katanya.

Berikutan perang di Ukraine, banyak badan pemikir Barat telah mula menumpukan usaha yang serius dalam isu berkaitan Taiwan, tambah Sung. Pertukaran ahli-ahli akademik dan lawatan rasmi antara Eropah dan Taiwan telah meningkat dengan ketara, mencerminkan pengiktirafan nilai strategik Taiwan dalam papan catur Eurasia yang lebih luas.

NATO akan terus mempererat hubungan dengan rakan-rakan kongsi Indo-Pasifik sambil memperkukuh daya tahan ketenteraan negara-negara anggota sebagai tindak balas kepada gesaan AS untuk berkongsi beban yang lebih besar, ramal Sung.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *