OIeh AFP dan Focus |
BEIJING -- Presiden China Xi Jinping menerima kunjungan pemimpin parti pembangkang Taiwan Cheng Li-wun di Beijing pada 9 April, dengan memberitahu delegasinya bahawa beliau mempunyai "keyakinan penuh" bahawa warga Taiwan dan China akan bersatu.
Pengerusi Parti Kuomintang (KMT) Cheng ialah pemimpin pertama KMT yang melawat China dalam tempoh sedekad. Lawatan beliau telah mencetuskan perbahasan di Taiwan, di mana para pengkritik menuduhnya terlalu memihak kepada Beijing.
China telah memutuskan hubungan peringkat tinggi dengan Taiwan pada tahun 2016 selepas Tsai Ing-wen dari Parti Demokratik Progresif (DPP) memenangi jawatan presiden dan menolak tuntutan Beijing bahawa pulau yang mempunyai pemeritahan sendiri itu adalah sebahagian daripada wilayahnya.
KMT mengetuai gabungan parti pembangkang yang menguasai parlimen. Ia menyokong hubungan yang lebih erat dengan China.
![Pemimpin Parti Kuomintang Taiwan Cheng Li-wun dan Setiausaha Agung Parti Komunis China Xi Jinping dilihat semasa rundingan di Beijing pada 10 April, dalam lawatan pertama oleh pemimpin pembangkang Taiwan ke China dalam tempoh sedekad. [Li Xiang/Xinhua melalui AFP]](/gc9/images/2026/04/10/55541-2-370_237.webp)
Retorik penyatuan
Semasa perbincangan beliau dengan Cheng, Xi telah meramalkan bahawa "aliran perdana bagi rakan senegara di kedua-dua belah selat menjadi semakin akrab, semakin dekat dan bersatu tidak akan berubah. ... Kami mempunyai keyakinan penuh dalam hal ini."
Beijing "tidak bertoleransi dengan sama sekali" kemerdekaan Taiwan, kata Xi, menurut Reuters.
China mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan telah mengancam untuk merampasnya. China menghantar jet-jet pejuang dan kapal-kapal perang ke kawasan berdekatan dengan pulau tersebut hampir setiap hari dan sering menjalankan latihan tentera secara besar-besaran.
"Kedua-dua pihak harus ... mencari penyelesaian sistemik untuk mencegah dan menghindari perang, supaya Selat Taiwan boleh menjadi model untuk penyelesaian konflik yang aman di dunia," kata Cheng.
Yang menariknya, Cheng langsung tidak menyebut tentang "Republik China" atau "Taiwan" semasa pertemuan beliau dengan Xi.
Dalam membalas kenyataan, Lee Kun-cheng, seorang jurucakap untuk DPP, berkata China mesti mengiktiraf Republik China (Taiwan) dan menghormati sistem demokratiknya. Beliau menyeru agar dialog yang aman dijalankan berbanding pemaksaan, menambah bahawa rundingan politik tanpa pemantauan awam bukanlah "perundingan demokratik."
Para penggubal undang-undang Taiwan telah bertelingkah mengenai rancangan kerajaan untuk membelanjakan 1.25 trilion TWD ($39 bilion) bagi pembelian pertahanan selama lapan tahun, yang telah disekat oleh parlimen yang dikuasai pembangkang selama berbulan-bulan.
Perbelanjaan pertahanan
Lawatan Cheng berlaku sebulan sebelum Presiden AS Donald Trump dijadualkan melawat Beijing untuk sidang kemuncak dengan Xi.
Parti pemerintah Taiwan DPP menggesa pembangkang KMT untuk mempercepat semakan rang undang-undang pemerolehan pertahanan yang disekat. Gesaan tersebut dibuat selepas para penggubal undang-undang KMT memboikot rundingan rentas parti pada 9 April, dengan Menteri Pertahanan Wellington Koo memberi amaran mengenai ketidakseimbangan tentera yang semakin luas di seluruh Selat Taiwan.
Cheng menyokong rancangan KMT yang lebih kecil untuk memperuntukkan 380 bilion TWD ($12 bilion) bagi senjata AS dengan pilihan untuk perolehan tambahan.
Walaupun ahli-ahli KMT kerap terbang ke China untuk pertukaran dengan pegawai-pegawai di sana, pemimpin terakhir parti itu yang melawat ialah Hung Hsiu-chu pada tahun 2016.
Hubungan rentas Selat telah bertambah buruk terutamanya sejak pemilihan pengganti Tsai, Lai Ching-te, yang dianggap oleh Beijing sebagai seorang pemisah.
Lai berkata dalam hantaran Facebook pada 10 April bahawa "Ancaman tentera ... China di sekeliling Selat Taiwan dan rantai pulau telah menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau secara teruk."
Cheng tiba di Shanghai pada lewat petang 7 April. Beliau juga telah mengunjungi Nanjing untuk melawat makam pemimpin revolusi Sun Yat-sen, salah seorang daripada segelintir tokoh sejarah China yang dihormati d kedua-duai Beijing dan Taipei.
![Cheng Li-wun, pemimpin pembangkang Taiwan pertama yang melawat Beijing dalam tempoh sedekad, berjabat tangan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis China Xi Jinping di Beijing pada 10 April. [China Central Television]](/gc9/images/2026/04/10/55540-1-370_237.webp)