Oleh AFP |
CANBERRA -- Australia dan Vanuatu telah menandatangani perjanjian ekonomi dan keselamatan yang menghalang sebarang pembinaan pangkalan tentera asing di negara Pasifik tatkala Canberra berusaha untuk mengekang pengaruh keselamatan China yang semakin berkembang di Pasifik Selatan.
Perjanjian ini ditandatangani pada 29 Jun di Canberra oleh Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Perdana Menteri Vanuatu Jotham Napat.
Melalui perjanjian ini, Australia akan memperuntukkan AUD 500 juta ($345 juta) sebagai sokongan kepada Vanuatu, yang pemiutang luaran terbesarnya ialah China. Perjanjian ini menghentikan kuasa ketenteraan asing daripada menubuhkan pangkalan di negara itu.
"Perjanjian ini akan memberikan kepastian kepada Australia bahawa tiada pangkalan tentera asing akan ditubuhkan," kata Albanese selepas menandatangani perjanjian ini di Canberra dengan Napat.
![Perdana Menteri Australia Anthony Albanese (Kanan) dan Perdana Menteri Vanuatu Jotham Napat menandatangani perjanjian ekonomi dan keselamatan di Canberra pada 29 Jun. [David Gray/ AFP]](/gc9/images/2026/07/03/56803-afp__20260629__b8lp6zt__v1__highres__australiavanuatudiplomacy-370_237.webp)
"Kami telah memuktamadkan perjanjian seimbang yang akan melindungi keselamatan kolektif dan masing-masing serta kedaulatan kami," kata beliau.
Tentera laut China telah berlabuh di pelabuhan Vanuatu berulang kali.
Beijing juga membiayai peluasan dermaga di Luganville yang dahulunya merupakan pangkalan tentera A.S. terbesar di Pasifik Selatan, seterusnya mencetuskan kebimbangan di Canberra dan Washington bahawa China mahu membina pangkalan tentera laut.
China dan Vanuatu sebelum ini berkata dermaga tersebut adalah untuk kegunaan kapal persiaran.
Perjanjian Nakamal mengikat Vanuatu untuk menolak penenteraan infrastruktur, kata Napat.
Infrastruktur ketenteraan
Perjanjian tersebut, yang dilihat oleh AFP, menyatakan bahawa "Vanuatu tidak boleh membenarkan kawasannya digunakan untuk sebarang pangkalan atau infrastruktur ketenteraan."
Australia akan membantu Vanuatu membangunkan infrastruktur pelabuhan, digital, penerbangan dan tenaga, dengan Vanuatu bersetuju untuk memastikan infrastruktur sedemikian bebas daripada "campur tangan asing" atau penenteraan.
Perjanjian ini mengiktiraf Australia sebagai "rakan kerjasama kepolisan utama yang lama" dan berkata Vanuatu akan mengutamakan permintaan kepolisan kepada ahli lain daripada blok serantau Forum Kepulauan Pasifik.
China telah membentuk kerjasama kepolisan dengan Vanuatu pada tahun 2023 dan telah mendermakan kelengkapan termasuk dron, bot peronda dan kenderaan kepada pasukan polis Vanuatu.
Perjanjian ini menetapkan bahawa Australia dan Vanuatu akan mempertingkatkan bantuan dalam "latihan dan kelengkapan polis, kepolisan, keselamatan maritim, keselamatan siber, kerjasama perisikan dan infrastruktur."
Perjanjian Vanuatu ini ialah yang terkini dalam siri perjanjian yang dimeterai Australia dengan negara pulau Pasifik, dalam usaha mengekang pengaruh keselamatan China yang semakin meluas.
Polis China telah mengekalkan kehadiran mereka di Kepulauan Solomon sejak menandatangani perjanjian keselamatan rahsia pada tahun 2022.
Vanuatu berkata negara itu sedang merundingkan perjanjian ekonomi dengan China secara berasingan, yang telah membina jalan dan bangunan kerajaan di negara Pasifik Selatan lebih daripada sedekad.
Persaingan untuk mendapatkan pengaruh
Perjanjian Nakamal tidak menghalang Vanuatu daripada bekerjasama dengan China untuk membina infrastruktur, tetapi menetapkan bahawa negara Pasifik itu akan mendapatkan nasihat Australia apabila melibatkan pihak ketiga.
Mantan diplomat Australia di Pasifik, James Batley, berkata persaingan untuk mendapatkan pengaruh antara Beijing dengan Canberra akan berterusan.
"Dasar berkecuali Vanuatu sejak sekian lama bermakna negara itu tidak akan mengetepikan hubungannya dengan China dengan begitu mudah. China juga tidak akan menghentikan usahanya untuk menjejaskan kepentingan Australia di Vanuatu," beritahu beliau kepada AFP.
Anna Naupa, penyelidik keselamatan Pasifik di Universiti Kebangsaan Australia, berkata perjanjian ini ialah "pencapaian yang signifikan" selepas tempoh ketidakpastian yang berpanjangan.
Pegawai daripada kedua-dua negara memarap perjanjian ini pada bulan Ogos lepas di Vanuatu, tetapi Vanuatu membangkitkan pelbagai kebimbangan tentang kedaulatan yang mengambil masa hampir setahun untuk diselesaikan.
Vanuatu mahukan akses yang lebih baik untuk warganegaranya ke Australia bagi tujuan perjalanan dan kerja, serta bersetuju untuk membezakan warganegara Vanuatu kelahiran luar negara yang memperoleh pasport melalui skim pelaburan kontroversi.
Pekerja dari Vanuatu membuat sumbangan yang signifikan kepada sektor horikultur Australia, kata Naupa kepada AFP.
![Perdana Menteri Australia Anthony Albanese (Kiri) menyambut ketibaan Perdana Menteri Vanuatu Jotham Napat sebelum mesyuarat di Canberra pada 29 Jun. [David Gray/AFP]](/gc9/images/2026/07/03/56802-afp__20260629__b8ln6fu__v2__highres__australiavanuatudiplomacy-370_237.webp)