Ekonomi

Monopoli mineral China semakin ketat: Industri Indo-Pasifik terhimpit mencari alternatif.

Sekatan eksport terbaru China terhadap mineral kritikal telah mengganggu rantaian bekalan di seluruh Asia dan menunjukkan kesediaan negara tersebut untuk menjadikan pergantungan global sebagai alat geopolitik.

Foto yang diambil pada 12 Oktober lalu menunjukkan para pengunjung sedang melihat kotak penyimpanan aloi titanium untuk penyelidik bulan Chang'e di Pameran Industri Bahan Termaju China Ke-9 2024 di Qingdao. China baru-baru ini melaksanakan sekatan eksport terhadap beberapa logam kritikal, termasuk aloi titanium. [CFOTO/NurPhoto melalui AFP]
Foto yang diambil pada 12 Oktober lalu menunjukkan para pengunjung sedang melihat kotak penyimpanan aloi titanium untuk penyelidik bulan Chang'e di Pameran Industri Bahan Termaju China Ke-9 2024 di Qingdao. China baru-baru ini melaksanakan sekatan eksport terhadap beberapa logam kritikal, termasuk aloi titanium. [CFOTO/NurPhoto melalui AFP]

Oleh Focus |

China telah melaksanakan sekatan eksport baharu ke atas mineral kritikal, memperluaskan larangan yang telah dikenakan pada bulan Disember lalu ke atas teknologi magnet nadir bumi lalu mengakibatkan rantau itu tercari - cari alternatif lain.

Larangan terbaharu itu, yang diumumkan pada 4 April, menyasarkan elemen penting seperti dysprosium, terbium dan samarium -- bahan penting dalam teknologi daripada telefon pintar dan motor kenderaan elektrik (EV) kepada senjata tepat dan turbin angin.

Pengetatan kawalan eksport ini telah menimbulkan keresahan di Barat serta di pusat perindustrian Asia, terutamanya Jepun, Korea Selatan dan India.

Negara-negara yang yang bergantung pada mineral tersebut kini berhadapan dengan kenaikan kos, gangguan jadual dan peningkatan kerentanan.

Foto yang diambil pada 16 April lalu menunjukkan seorang pekerja mengendalikan peluru 155mm di kilang amunisi di Pennsylvania. Pengeluaran peluru tersebut memerlukan mineral kritikal dan logam nadir. [Charly Triballeau/AFP]
Foto yang diambil pada 16 April lalu menunjukkan seorang pekerja mengendalikan peluru 155mm di kilang amunisi di Pennsylvania. Pengeluaran peluru tersebut memerlukan mineral kritikal dan logam nadir. [Charly Triballeau/AFP]
China merupakan pengeluar utama bagi 29 daripada 50 mineral yang dikenal pasti sebagai kritikal oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat, termasuk logam nadir, grafit dan litium. [Agensi Tenaga Antarabangsa/CSIS]
China merupakan pengeluar utama bagi 29 daripada 50 mineral yang dikenal pasti sebagai kritikal oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat, termasuk logam nadir, grafit dan litium. [Agensi Tenaga Antarabangsa/CSIS]
China menguasai hampir 90% kapasiti pemprosesan logam nadir dunia dan memproses lebih 90% grafit dunia menjadi bahan anod bateri. [Agensi Tenaga Antarabangsa/CSIS]
China menguasai hampir 90% kapasiti pemprosesan logam nadir dunia dan memproses lebih 90% grafit dunia menjadi bahan anod bateri. [Agensi Tenaga Antarabangsa/CSIS]

China telah lama menguasai pasaran mineral kritikal.

Selama bertahun-tahun, negara tersebut telah mengukuhkan kedudukannya secara senyap, terutamanya dalam proses hiliran -- penulenan dan pemprosesan. Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, China menghasilkan 60% unsur logam nadir dunia pada 2023 tetapi menguasai hampir 90% daripada pemprosesan mineral tersebut.

Penguasaannya lebih ketat bagi bahan tertentu: negara itu memproses lebih 90% galium dunia dan memegang kedudukan dominan dalam rantaian bekalan grafit dan germanium.

China "telah menguasai proses penulenan yang sukar secara teknikal dan berbahaya kepada alam sekitar," lapor Reuters pada 4 April.

Malah negara kaya sumber seperti Australia dan Republik Demokratik Congo sering mengeksport bahan mentah mereka ke China untuk pemprosesan akhir.

Peningkatan ancaman

Jumlah kecil mineral kritikal dan penguasaan China terhadap pemprosesan hiliran membolehkan Beijing mengawal bekalan dan permintaan global melalui amalan bukan pasaran, menurut laporan DevTech yang diterbitkan pada bulan Februari.

"China telah berulang kali menunjukkan kesediaannya untuk menjadikan mineral ini sebagai senjata," Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) memberi amaran pada bulan yang sama.

Nadir bumi di bawah sekatan baharu adalah penting untuk magnet berprestasi tinggi yang digunakan dalam telefon pintar, EV dan sistem pertahanan. Syarikat seperti Apple, Tesla, Lockheed Martin dan Boeing sangat bergantung pada unsur-unsur yang baru disekat.

Jepun antara negara pertama yang meluahkan kebimbangan terhadap pergantungannya kepada China.

Dalam laporan Sustainability Times April 2025, pegawai Jepun menggambarkan "perang tidak kelihatan" berhubung galium, komponen strategik dalam semikonduktor dan pengeluaran bateri. Jepun merupakan pengguna galium terbesar dunia.

Antara bulan Ogos 2023 dan bulan Ogos 2024, import galium Jepun dari China menurun hampir 85% berikutan sekatan eksport China, memaksa pengeluar mencari alternatif.

Gergasi teknologi Korea Selatan -- termasuk Samsung, LG dan SK On -- juga sangat bergantung kepada rantaian bekalan mineral China.

Walaupun Seoul telah melancarkan inisiatif untuk mendapatkan bahan dari Australia dan Afrika serta meningkatkan kitar semula domestik, penganalisis memberi amaran bahawa peralihan tersebut akan perlahan dan mahal.

India, yang hanya menghasilkan 2,900 tan metrik nadir bumi pada tahun 2024, terdedah kepada risiko. Aspirasi negara tersebut untuk menjadi hab global kenderaan elektrik dan elektronik kini berhadapan dengan cabaran baharu.

Kemungkinan China memperluaskan sekatan termasuk teknologi pemprosesan litium atau galium -- yang diusulkan pada awal tahun 2025 -- boleh menghalang perkembangan sektor pembangunan bateri India yang baharu muncul.

Alat strategik

Perkara yang menjadikan sekatan ini sangat kuat adalah impak luar wilayahnya. Mesej Beijing adalah jelas: negara tersebut bersedia menggunakan kawalan aliran mineralnya sebagai alat strategik.

Kerajaan bertindak balas dengan segera. Jepun sedang mempercepatkan penyimpanan stok dan mempelbagaikan rantaian bekalan. India sedang mengembangkan perkongsian nadir bumi dengan Australia dan Vietnam. Korea Selatan sedang melabur dalam penapisan dan kitar semula domestik.

Dengan China mengekalkan kedudukan unggul bukan sahaja dalam perlombongan tetapi juga dalam penulenan dan standard teknologi, cabaran bagi seluruh dunia jelas: menjamin masa depan yang kurang bergantung pada pembekal tunggal yang semakin tegas.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *