Keselamatan

Kapal pengangkut China baharu belayar melalui Selat Taiwan

Fujian, apabila dilancarkan, akan membentuk semula dinamik keselamatan di Selat Taiwan dan Laut China Selatan. Ia adalah kapal pengangkut ke-3 China.

Kapal pengangkut pesawat udara China Fujian (gambar atas) dan kapal pemusnah CNS Hangzhou (gambar bawah) di Laut China Timur pada 11 September. Kapal pemusnah CNS Jinan (152) turut hadir tetapi tidak ditunjukkan dalam gambar-gambar ini. [Staf Bersama Kementerian Pertahanan Jepun]
Kapal pengangkut pesawat udara China Fujian (gambar atas) dan kapal pemusnah CNS Hangzhou (gambar bawah) di Laut China Timur pada 11 September. Kapal pemusnah CNS Jinan (152) turut hadir tetapi tidak ditunjukkan dalam gambar-gambar ini. [Staf Bersama Kementerian Pertahanan Jepun]

Oleh Jia Feimao |

Kuasa tentera laut China semakin berkembang, dengan memberi kesan kepada Taiwan dan negara-negara lain di Laut China Selatan.

Kapal pengangkut pesawat udara China yang terbaru, Fujian, belayar melalui Selat Taiwan pada 11 September ke Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada ujian-ujian lautnya, yang menimbulkan spekulasi ia mungkin akan mula ditugaskan tidak lama lagi.

China mempunyai dua kapal pengangkut yang lebih berusia, iaitu Liaoning dan Shandong.

Imejan yang disiarkan oleh Pejabat Staf Bersama Kementerian Pertahanan Jepun menunjukkan dek penerbangan kosong Fujian, menunjukkan pelayaran itu tertumpu kepada percubaan.

Kapal pengangkut pesawat udara China Fujian, dengan dek penerbangan yang kosong, dilihat semasa penggunaan percubaan dalam tangkapan skrin daripada video WeChat Tentera Pembebasan Rakyat pada 11 September.
Kapal pengangkut pesawat udara China Fujian, dengan dek penerbangan yang kosong, dilihat semasa penggunaan percubaan dalam tangkapan skrin daripada video WeChat Tentera Pembebasan Rakyat pada 11 September.

Pelayaran itu ditumpukan pada "misi penyelidikan dan latihan saintifik," Reuters memetik kata-kata tentera laut China.

"Latihan percubaan dan latihan rentas wilayah ini...tidak ditujukan kepada mana-mana sasaran tertentu," kata tentera laut seterusnya.

Angkatan Maritim Pertahanan Diri Jepun secara visual mengesahkan kapal pengangkut itu kelmarin di Laut China Timur. Ia mengesan Fujian 200km barat laut Kepulauan Senkaku, diiringi dua kapal pemusnah peluru berpandu.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata ia telah memantau kapal-kapal itu dan telah "mengambil langkah-langkah yang sepatutnya," kata Reuters.

Seorang pegawai kanan keselamatan Taiwan memberitahu Reuters bahawa kapal pengangkut itu berkemungkinan menuju ke Laut China Selatan sebagai persediaan untuk memulakan operasi.

"Kapal-kapal tentera laut China yang beroperasi di perairan berkaitan mematuhi sepenuhnya undang-undang domestik China dan undang-undang antarabangsa," kata jurucakap Kementerian Luar Negeri China Lin Jian di taklimat akhbar pada 12 September.

Laut China Selatan menawarkan keadaan yang lebih baik untuk ujian sistematik berbanding dengan Laut China Timur, dan pelayaran menerusi Selat Taiwan adalah laluan yang paling praktikal, kata penganalisis tentera laut Li Jian, menurut satu siaran di akaun Weibo China Central Television (CCTV), penyiar nasional China.

Penggabungan ujian-ujian dengan latihan mempercepatkan kesediaan tempur kapal pengangkut tersebut, katanya.

Kapal pengangkut ke-3 China

Fujian, yang didedahkan pada 2022, merupakan kapal pengangkut pesawat udara ketiga China dan yang pertama dibina dengan sistem pelancaran pesawat udara elektromagnet (EMALS).

Satu dokumentari CCTV yang disiarkan pada 3 Ogos telah pun mempamerkan EMALS kapal pengangkut itu, termasuk pelancaran jet pejuang J-15T. Tian Wei, seorang anak kapal Fujian, berkata dalam program itu: "Apa yang kami perhalusi bukan hanya proses pelancaran lastik Fujian tetapi prosedur-prosedur pelancaran untuk semua kapal pengangkut yang dilengkapi lastik."

Kapal itu memulakan ujian-ujian laut pada tahun lepas tetapi masih belum ditugaskan. Tidak seperti pendahulunya Liaoning dan Shandong, yang menggunakan tanjakan ski-lompat, Fujian menggunakan tiga landasan lastik dan peralatan penangkap, yang membolehkan pelancaran berbilang secara serentak.

China tidak mendedahkan tarikh pelancaran atau pangkalan kapal pengangkut itu. Penganalisis membuat spekulasi ia mungkin akan dlancarkan pada satu tarikh yang simbolik kepada China, seperti 18 September atau 1 Oktober.

Kapal tersebut mungkin berlayar pulang ke Pangkalan Tentera Laut Yulin di pulau Hainan atau di wilayah Fujian, yang betul-betul di seberang Taiwan.

Lebih banyak pesawat udara, lebih cepat dilancarkan

Satu "set lima jenis" pesawat udara yang berasaskan kapal pengangkut termasuk jet-jet pejuang siluman, jet-jet pejuang pelbagai peranan yang dilancarkan lastik, pesawat udara amaran awal yang bersayap tetap, pesawat udara perang elektronik yang bersayap tetap dan helikopter-helikopter antikapal selam, kata pengulas ketenteraan China Zhang Junshe dalam dokumentari itu.

Semua ini, katanya, dijangka ditempatkan sepenuhnya di atas Fujian.

Sistem lastik tersebut meningkatkan kecekapan, kata Su Tzu-yun, pengarah Bahagian Strategi dan Sumber Pertahanan di Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Taiwan.

Jet-jet pejuang yang pernah memerlukan 90 saat untuk dilancarkan kini hanya memerlukan satu minit.

"Ini membolehkan Fujian melancarkan lebih banyak pesawat-pesawat udara dalam setiap masa tertentu, dengan mewujudkan satu rangkaian kuasa tembakan udara yang lebih padat," katanya kepada Focus.

Fujian itu boleh membawa kira-kira 60 buah pesawat udara, termasuk sehingga 40 buah J-15T. Ia mampu melancarkan pesawat udara amaran awal, memanjangkan "zon pertahanan" jarak jauhnya melebihi 600km, menurut penyelidik Taiwan Chieh Chung.

Sebagai perbandingan, Liaoning membawa 24 buah jet pejuang dan Shandong 36 buah.

Lebih banyak kapal pengangkut, lebih luas jangkauan tentera laut

Dengan mempunyai tiga kapal pengangkut, Beijing boleh menempatkan satu di pelabuhan, satu lagi dikerahkan ke Laut China Selatan dan satu lagi beroperasi berhampiran denganrantaian strategik kepulauan pertama, kata Chieh.

Rantaian itu termasuk Jepun, Filipina dan Taiwan.

Fujian itu paling sesuai untuk ditempatkan di timur Taiwan, di luar rantaian pulau, kata Chieh kepada Voice of America pada tahun lepas.

Dari situ, kapal pengangkut itu boleh menyerang pangkalan-pangkalan tentera udara dan tentera laut timur Taiwan dengan peluru-peluru berpandu sementara menghalang AS dan angkatan-angkatan bersekutu daripada campur tangan di Pasifik Barat.

Penganalisis-penganalisis serantau berkata permulaan penugasan kapal pengangkut itu akan mengubah keseimbangan strategik.

"Apabila kapal itu secara rasmi menjadi sebahagian daripada armada tentera laut China yang semakin berkembang, kesannya akan dirasai di seluruh wilayah yang mempunyai pelbagai potensi konflik, termasuk Taiwan," lapor Kyodo News Jepun.

Kerajaan Taiwan menolak tuntutan Beijing ke atas pulau itu.

China menganggap Selat Taiwan sebagai perairan wilayahnya, manakala Taiwan, Amerika Syarikat dan sekutunya menganggapnya sebagai laluan perairan antarabangsa selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *