Ekonomi

Perkongsian strategik dengan Taiwan memacu dorongan India terhadap kebebasan cip

India mempunyai saiz populasi dan kumpulan bakat yang diperlukan untuk mempercepatkan pengeluaran cip, kata seorang eksekutif teknologi India.

Jurutera-jurutera mengendalikan peralatan fabrikasi wafer di kemudahan CG Semi OSAT di Sanand, Gujarat, India, pada 10 September, ketika India berusaha untuk membina ekosistem semikonduktor yang lengkap dan memecahkan penguasaan rantaian bekalan global. [Sam Panthaky/AFP]
Jurutera-jurutera mengendalikan peralatan fabrikasi wafer di kemudahan CG Semi OSAT di Sanand, Gujarat, India, pada 10 September, ketika India berusaha untuk membina ekosistem semikonduktor yang lengkap dan memecahkan penguasaan rantaian bekalan global. [Sam Panthaky/AFP]

Oleh AFP dan Focus |

NEW DELHI -- Apabila Perdana Menteri Narendra Modi mengisytiharkan "kemasukan lewat" India ke dalam perlumbaan semikonduktor global, beliau meletakkan harapan kepada perintis seperti Vellayan Subbiah untuk mewujudkan hab inovasi cip.

Pengerusi CG Power, yang menyelia kemudahan semikonduktor yang baru dilancarkan di India barat, dilihat sebagai salah satu pejuang domestik awal sektor strategik ini dalam ekonomi utama yang paling pesat berkembang di dunia.

"Terdapat lebih banyak penjajaran antara kerajaan, penggubal-penggubal dasar dan peniaga-peniaga daripada apa yang pernah saya lihat sepanjang tempoh kerja saya," kata Subbiah, 56, kepada AFP.

"Terdapat persefahaman tentang ke mana India perlu pergi, dan kepentingan untuk mempunyai perkilangan kami sendiri."

Peralatan fabrikasi wafer yang dikendalikan oleh jurutera-jurutera di kemudahan CG Semi OSAT di Sanand, Gujarat, India, ditunjukkan pada 10 September. [Sam Panthaky/AFP]
Peralatan fabrikasi wafer yang dikendalikan oleh jurutera-jurutera di kemudahan CG Semi OSAT di Sanand, Gujarat, India, ditunjukkan pada 10 September. [Sam Panthaky/AFP]

Memandangkan dinamik perdagangan global terus beralih dan membawa ketidaktentuan, Modi telah menggandakan sikap berdikari dalam teknologi-teknologi kritikal.

New Delhi, yang bermula usaha memacu pada 2021, telah pada tahun ini meluluskan 10 projek semikonduktor bernilai kira-kira $18 bilion secara keseluruhan, termasuk dua loji reka bentuk 3-nanometer.

Pengeluaran komersil dijangka bermula menjelang akhir tahun, dengan ramalan pasaran melonjak daripada $38 bilion pada 2023 kepada hampir $100 bilion menjelang 2030.

Subbiah, yang CG Powernya merupakan salah satu konglomerat terkemuka India, meramalkan "lebih $100 bilion, ataupun lebih," akan mengalir ke dalam industri merentasi rantaian nilai dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.

Perkongsian awam-swasta "simbiosis" adalah "sangat menarik," katanya.

'Keupayaan untuk memecut'

Cip-cipdilihat sebagai kunci kepada pertumbuhan dan sumber pengaruh geopolitik.

India berkata ia mahu membina "ekosistem menyeluruh" dan memecahkan penguasaan rantaian bekalan global di beberapa kawasan.

Kerajaan telah memujuk syarikat gergasi tempatan seperti Tata, bersama pemain-pemain asing seperti Micron, untuk mendorong reka bentuk, perkilangan dan pembungkusan dalam usaha sama.

CG Semi, usaha sama dengan CG Power, merancang untuk melabur hampir $900 juta dalam dua kilang pemasangan dan ujian, serta untuk memacukan syarikat reka bentuknya.

"Kami berniat untuk mereka bentuk cip, supaya kami boleh memiliki (harta intelek) juga -- yang sangat penting untuk India," kata Subbiah, seorang jurutera awam terlatih dengan sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Michigan.

Namun, pengkritik-pengkritik berkata India telah lewat lebih daripada sedekad bermula, dan masih jauh di belakang pemimpin-pemimpin cip di Taiwan, Belanda, Jepun dan China.

"Mula-mula kita perlu menyedari terdapat jurang," kata Subbiah, sambil menyatakan TSMC Taiwan telah mendahului 35 tahun.

Kerjasama Taiwan-India

Dorongan untuk mewujudkan ekosistem berdikari diperkukuh dengan mengeratkan hubungan dengan Taiwan. Setiausaha Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India, S. Krishnan menghadiri pameran perdagangan SEMICON Taiwan pada bulan September untuk membangunkan kerjasama ini.

Berikutan kejayaan gergasi Taiwan seperti Foxconn dan Pegatron di India, kerjasama ini telah mencapai satu pencapaian penting. Tata Electronics bekerjasama dengan Powerchip Semiconductor Manufacturing Corporation untuk menubuhkan kilang fabrikasi wafer 12 inci (300mm) pertama di India, yang terletak di Dholera, negeri Gujarat.

Kerjasama ini penting untuk mempelbagaikan rantaian nilai global berteknologi tinggi. Krishnan menekankan potensi India, sambil menyatakan bahawa negara itu berperanan sebagai “pasaran besar” dan “sumber tenaga kerja,” menurut Taipei Times.

India mempunyai tenaga kerja muda yang besar, dengan 566 juta penduduk di bawah umur 25 tahun. Aset utama ini adalah penting untuk mencapai matlamat nasional untuk memastikan setiap peranti di dunia dilengkapi cip buatan India.

Bersaing dengan China atas kos

"Dua puluh peratus daripada bakat global dalam reka bentuk semikonduktor berasal dari India," kata Modi pada bulan September.

Tetapi memikat bakat yang mencari peluang di luar negara kembali ke India tetap menjadi cabaran, walaupun selepas perubahan terbaru pada program visa pekerja H-1B US, yang banyak digunakan oleh orang India.

India, ekonomi kelima terbesar di dunia, masih bergelut dengan inersia birokrasi dan kekurangan peluang dalam bidang yang canggih.

Subbiah mengakui bahawa perusahaannya sendiri menggaji kira-kira 75 orang ekspatriat.

"Itu bukan cara yang kami mahu berkembang. Kami mahu berkembang bersama dengan orang India," katanya, menggesa dasar-dasar untuk menarik kembali bakat luar negara. "Macam mana kita membawa balik golongan ni?"

New Delhi kini meliputi sehingga 50% kos untuk semua unit fabrikasi cip, tanpa mengira nod cip, dengan sokongan yang sama untuk ujian dan pembungkusan.

Situasi geopolitik dan keperluan untuk sokongan antarabangsa yang kuat menjadikan laluan ini lebih sukar berbanding dengan tahun 2021, apabila New Delhi mula-mula mendesak untuk bergantung pada cip diri sendiri.

Namun Subbiah kekal optimis untuk jangka masa panjang.

"Hanya akan ada dua ekosistem yang benar-benar kos rendah di dunia: satu di China, dan satu lagi akan berada di India," katanya.

"Anda akan melihat pusat graviti bergerak ke arah ekosistem ini, jadi jika anda mula memikirkan aturan tempoh 25, 30 tahun, ia pasti akan berlaku."

"3-4 tahun yang akan datang adalah penting untuk memajukan matlamat semikonduktor India," Sujay Shetty, pengarah urusan semikonduktor di PwC India, memberitahu CNBC pada bulan September.

Tempoh ini akan menentukan sama ada negara itu boleh beralih daripada pengumuman yang dipacu insentif kepada logi-loji fabrikasi yang beroperasi sepenuhnya dan berdaya tahan teknologi, katanya.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *