Keselamatan

Filipina temui satu lagi dron bawah air China di Laut Filipina

Penemuan terkini sebuah dron bawah air China mengesahkan corak pemantauan dan pemetaan dasar laut secara haram di perairan Filipina, menimbulkan kebimbangan keselamatan yang serius.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) menyimpan sebuah dron bawah air sepanjang 3.7 meter yang ditemui oleh nelayan di perairan luar wilayah Palawan pada 28 September. Manila mengesyaki bahawa Beijing menggunakan dron tersebut untuk kegiatan pengintipan tanpa kebenaran. [PCG]
Pengawal Pantai Filipina (PCG) menyimpan sebuah dron bawah air sepanjang 3.7 meter yang ditemui oleh nelayan di perairan luar wilayah Palawan pada 28 September. Manila mengesyaki bahawa Beijing menggunakan dron tersebut untuk kegiatan pengintipan tanpa kebenaran. [PCG]

Oleh Shirin Bhandari |

Filipina kini berdepan kebimbangan yang kian meningkat berhubung pencerobohan dron-dron bawah air China yang kian kerap di perairannya — satu perkembangan yang menimbulkan amaran serius terhadap keselamatan dan kedaulatan negara itu.

Pada akhir bulan September, satu rutin perjalanan memancing di perairan luar pantai Linapacan, wilayah Palawan, secara tidak disangka-sangka bertukar menjadi satu isu keselamatan negara apabila nelayan-nelayan tempatan menemui sebuah objek sepanjang 12 kaki (3.7 meter) yang mempunyai tanda pengenalan dalam tulisan cina.

Objek tersebut menunjukkan tanda-tanda yang telah lama terdedah kepada air masin dan kemudiannya dikenal pasti oleh Pengawal Pantai Filipina (PCG) sebagai sebuah dron bawah air. Penemuan itu menonjolkan ancaman yang semakin meningkat daripada aktiviti asing tanpa kebenaran di perairan Filipina.

“Ia dipasang pada rangka logam yang kukuh, seperti komponen biasa yang terdapat pada kenderaan bawah air autonomi yang lebih dikenali sebagai dron bawah air,” kata jurucakap PCG, Komodor Jay Tarriela.

Peranti itu, yang sering digunakan untuk mengukur tahap kemasinan, suhu dan kedalaman laut, memainkan peranan penting dalam pemantauan bawah air serta pemetaan dasar laut.

Walaupun aktiviti-aktiviti seperti ini adalah biasa dalam penyelidikan marin, penggunaan teknologi sedemikian tanpa kebenaran negara tuan rumah melanggar undang-undang maritim antarabangsa.

Penemuan itu menunjukkan kemungkinan berlakunya aktiviti-aktiviti pengintipan dan pengumpulan data secara haram oleh kuasa asing.

“Unit-unit yang ditemui menunjukkan keupayaan untuk memproses data secara autonomi, menyimpan maklumat, dan menghantar data melalui satelit, dengan satu kes mendedahkan komunikasi sulit ke tanah besar China semasa operasi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PCG.

1 demi 1 dron yang mencurigakan

Penemuan dron bawah air tersebut merupakan sebahagian daripada corak berulang yang melibatkan penemuan serupa oleh PCG sejak tahun 2022. Sekurang-kurangnya lima kenderaan bawah air telah ditemui di pelbagai wilayah di Filipina. Antara item terdahulu yang ditemui termasuk modul komunikasi berteknologi tinggi, pek bateri, serta logo yang dikaitkan dengan perusahaan milik kerajaan China.

PCG telah menyerahkan setiap peranti tersebut kepada tentera laut Filipina untuk analisis forensik. China mungkin menggunakan dron-dron ini sebagai sebahagian daripada kempen pemantauan dan pemetaan meluas yang menyasarkan laluan maritim Filipina serta infrastruktur data kritikal, menurut corak yang dapat diperhatikan.

Analisis forensik mengaitkan beberapa dron terdahulu dengan kontraktor pertahanan China, menurut pengesahan Tarriela. Beberapa unit didapati mempunyai kad modul identiti pelanggan (SIM) China Telecom, sistem komunikasi sulit dan pemancar penerima satelit yang dikaitkan dengan syarikat-syarikat berpangkalan di Beijing.

PCG memuji tindakan pantas nelayan-nelayan tempatan yang melaporkan penemuan dron tersebut. Ia kekal “berwaspada dalam melindungi wilayah maritim kami dan menjaga sumber rezeki para nelayan,” kata Komandan PCG, Laksamana Ronnie Gil Gavan.

“Kejadian ini menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat secara berterusan serta pendekatan menyeluruh seluruh negara bagi menghalang aktiviti tanpa kebenaran di perairan kita,” tambah Gavan.

Wilayah penting

Kekerapan penemuan dron-dron yang membimbangkan ini berlaku ketika ketegangan antara China dan Filipina semakin meningkat, terutamanya di kawasanLaut China Selatan, di mana kedua-dua negara mempunyai tuntutan-tuntutan wilayah yang bertindih.

Wilayah itu, yang penting bagi perkapalan antarabangsa, turut mempunyai simpanan minyak dan gas yang bernilai tinggi. Penganalisis berpendapat bahawa dron-dron tersebut merupakan sebahagian daripada strategi peluasan kuasa China secara lebih meluas di Laut China Selatan.

Awal tahun ini, agensi perisikan Filipina telah mendedahkanaktiviti-aktiviti pengintipan China di kemudahan ketenteraan di seluruh negara. Mereka telah menahan beberapa warganegara China yang disyaki mengumpul maklumat sensitif mengenai ketibaan kapal perang Amerika Syarikat di pangkalan tentera laut Teluk Subic.

Rocio Gatdula, seorang ahli ekonomi pertahanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan ketua pengarang Georgetown Security Studies Review, mengemukakan pandangannya tentang apa yang mungkin sedang dicari oleh China di perairan tersebut.

“Matlamat China mungkin termasuklah memetakan topografi bawah air Filipina bagi menyokong operasi kapal selam dan tentera laut, mengumpul risikan untuk tujuan ketenteraan, navigasi dan sumber asli, serta mengukuhkan tuntutan wilayah melalui pemantauan dan kehadiran,” katanya dalam satu temu bual bersama USNI News.

Rampasan dron baru-baru ini menunjukkan potensi China untuk menjejaskan keupayaan Angkatan Tentera Filipina dalam memahami situasi semasa serta membuka ruang kepada pencerobohan maritim pada masa hadapan.

"Melabur dalam sokongan teknikal untuk menganalisis dron-dron yang ditemui akan menyokong keupayaan Manila untuk menentang pencerobohan, menambah baik sistem amaran awal, dan mengukuhkan langkah pencegahan terhadap pencerobohan maritim China yang berterusan," tambah Gatdula.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *