Oleh Focus dan AFP |
Sebuah kapal penyelidikan China yang sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan membawa kepentingan tentera laut dan menjalankan pengumpulan data ketenteraan kini sedang belayar dan menjalankan tinjauan dasar laut dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Kepulauan Cook, sebagai sebahagian daripada misi penyelidikan kolaboratif yang diluluskan oleh kerajaan.
Kapal itu, Da Yang Hao, merupakan sebahagian daripada perkongsian saintifik marin yang disokong kerajaan dengan Pihak Berkuasa Mineral Dasar Laut Kepulauan Cook (SBMA), agensi yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti-aktiviti mineral dasar laut.
SBMA berkata misi itu bertujuan untuk memetakan dasar lautan dan mengumpulkan sampel bagi memperkukuh kapasiti penyelidikan tempatan. "Pasukan kami secara aktif mengambil bahagian dalam semua aktiviti untuk membina pengetahuan dan keupayaan kami dalam penyelidikan marin," ujar jurucakap SBMA.
Kaya dengan mineral-mineral penting
Kawasan dasar laut yang luas di sekitar Kepulauan Cook kaya dengan nodul polimetalikyang mengandungi kobalt, nikel dan mangan. Ini adalah mineral-mineral kritikal yang diperlukan untuk kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi pertahanan. Negara tersebut, yang mendakwa sebagai salah satu pihak mempunyai deposit terbesar di dunia, telah menandatangani perjanjian kerjasama perlombongan laut dalam dengan China awal tahun ini.
![Kapal penyelidikan China, Da Yang Hao, berlabuh di Kepulauan Cook pada 8 November, semasa penyelidikan potensi kegiatan perlombongan laut dalam bagi negara Pasifik itu. [Johnny Beasley/AFP]](/gc9/images/2025/11/11/52727-afp__20251108__83fu463__v1__highres__cookschinaclimateminingoceansenvironment-370_237.webp)
Dengan bekalan global mineral ini terdedah kepada ketegangan perdagangan, kedua-dua China dan Amerika Syarikat telah meningkatkan minat mereka dalam sektor perlombongan laut dalam Kepulauan Cook yang baru dibangunkan. Washington menandatangani perjanjiannya sendiri pada bulan Ogos untuk meneruskan penyelidikan dasar laut dengan negara Pasifik itu.
Ketibaan kapal Da Yang Hao berlaku kurang daripada sebulan selepas ekspedisi laut dalam yang disokong oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS yang dijalankan berasingan, yang telah meneroka habitat laut dalam Kepulauan Cook di atas kapal penyelidikan Nautilus.
Kajian Cina yang mencurigakan
Kerjasama terbaru ini bertepatan dengan peningkatan penelitian terhadap aktiviti-akitiviti penyelidikan maritim China. Data saintifik yang dikumpul oleh kapal China, termasuk Da Yang Hao, berkemungkinan menyokong operasi tentera laut Beijing, lapor The New York Times pada bulan Julai.
Data sedemikian boleh membantu merancang laluan kapal selam China atau menjejaki kapal selam AS yang lebih tersembunyi di seluruh Pasifik.
Pada tahun 2021, Palau menuduh kapal yang sama memasuki EEZnya tanpa kebenaran.
Kerajaan Kepulauan Cook sedia maklum tentang laporan sedemikian, kata pesuruhjaya SBMA, Beverly Stacey-Ataera kepada Cook Islands News pada bulan November.
"Semua penyelidikan marin yang dijalankan di perairan Kepulauan Cook tertakluk kepada proses kelulusan kerajaan," katanya. "Kami sedia maklum tentang laporan yang anda rujuk dan telah menyemaknya dengan teliti."
Walaupun Persatuan Penyelidikan Sumber Mineral Lautan China, yang mengendalikan Da Yang Hao, menegaskan bahawa kerjanya adalah saintifik, para penganalisis dan pencinta alam sekitar tetap berwaspada.
Hubungan kapal-kapal dengan ketenteraan China
Banyak kapal penyelidikan China dikendalikan oleh institusi gabungan kerajaan yang mempunyai hubungan ketenteraan, dan data yang mereka kumpulkan mengenai arus laut dalam dan keadaan rupa bumi "boleh digunakan untuk tujuan perlombongan komersial dan ketenteraan, seperti navigasi kapal selam," kata kumpulan alam sekitar tempatan Te Ipukarea Society pada bulan September.
Data pengesanan menunjukkan kapal penyelidikan China beroperasi di perairan yang dianggap penting secara strategik oleh Beijing, termasuk kawasan di luar pantai timur Taiwan dan berhampiran Guam. Menurut Starboard Maritime Intelligence, yang mempunyai pejabat di New Zealand dan Washington, kapal-kapal ini sering bergerak dalam garis selari atau grid ketat, corak yang menurut para penganalisis mencadangkan pemetaan dasar laut yang sistematik yang boleh membantu operasi ketenteraan.
Pada bulan Februari 2024, kapal Da Yang Hao telah menjalankan pengesanan bagi beberapa laluan selari di sepanjang pantai timur Taiwan selama lima hari, sebahagian daripada apa yang digambarkan oleh para penganalisis sebagai usaha China yang lebih luas untuk memetakan dasar laut Pasifik bagi tujuan saintifik dan strategik.
![Kapal penyelidikan China, Da Yang Hao, tiba di Pelabuhan Avatiu, Kepulauan Cook, pada 8 November, sebagai sebahagian daripada misi untuk menyokong penyelidikan mengenai kemungkinan kegiatan perlombongan laut dalam. [Johnny Beasley/AFP]](/gc9/images/2025/11/11/52726-afp__20251108__83fu39e__v2__highres__topshotcookschinaclimateminingoceansenvironment-370_237.webp)
Policy Link