Keupayaan

Kapal perang AS buat kunjungan pertama ke pangkalan tentera laut Kemboja yang diubah suai oleh China

USS Cincinnati berlabuh semasa lawatan 5 hari yang bertujuan untuk meluaskan pertukaran ketenteraan dengan angkatan tentera Kemboja.

Kapal tempur pesisir USS Cincinnati (LCS-20) Tentera Laut AS tiba untuk persinggahan pelabuhan di Pangkalan Tentera Laut Ream di wilayah Preah Sihanouk, Kemboja, pada 24 Januari. [Suy Se/AFP]
Kapal tempur pesisir USS Cincinnati (LCS-20) Tentera Laut AS tiba untuk persinggahan pelabuhan di Pangkalan Tentera Laut Ream di wilayah Preah Sihanouk, Kemboja, pada 24 Januari. [Suy Se/AFP]

Oleh AFP dan Focus |

Sebuah kapal perang Amerika Syarikat telah membuat persinggahan pelabuhan di pangkalan tentera laut Kemboja buat kali pertama sejak pengubahsuaian China yang telah menimbulkan kebimbangan di Washington.

Amerika Syarikat berkata Pangkalan Tentera Laut Ream, di luar pantai selatan Kemboja, boleh memberikan China kedudukan strategik utama di Teluk Thailand berhampiran dengan Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang dituntut oleh Beijing hampir keseluruhannya.

Persinggahan pelabuhan bersejarah

Kapal tempur pesisir USS Cincinnati (LCS-20) berlabuh pada 24 Januari di salah satu jeti pangkalan itu, 150 meter dari sepasang kapal perang China.

"Ini adalah satu keistimewaan dan penghormatan kepada kami untuk berada di sini sebagai kapal tentera laut AS pertama yang berlabuh di tepi jeti di Pangkalan Tentera Laut Ream, dan kami berharap ini adalah permulaan tradisi serta persahabatan yang berkekalan," kata Andrew J. Recame, pegawai pemerintah kapal itu, kepada para wartawan.

Anggota tentera laut Kemboja berbaris dalam formasi ketika mereka menyambut kapal tempur pesisir USS Cincinnati (LCS-20) Tentera Laut AS untuk persinggahan pelabuhan di Pangkalan Tentera Laut Ream di wilayah Preah Sihanouk, Kemboja, pada 24 Januari. [Suy Se/AFP]
Anggota tentera laut Kemboja berbaris dalam formasi ketika mereka menyambut kapal tempur pesisir USS Cincinnati (LCS-20) Tentera Laut AS untuk persinggahan pelabuhan di Pangkalan Tentera Laut Ream di wilayah Preah Sihanouk, Kemboja, pada 24 Januari. [Suy Se/AFP]

Pangkalan Ream berkata dalam satu kenyataan bahawa lawatan lima hari AS itu akan "menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara" dan ia menunjukkan "komitmen Kemboja dalam melaksanakan dasar terbuka, telus dan kesanggupan berkerjasama dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa."

Kenyataan itu menyatakan bahawa lawatan tersebut akan merangkumi pertukaran dalam hal-hal keselamatan maritim dan penyelarasan operasi yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara itu.

Kira-kira 100 orang anak kapal dari USS Cincinnati mengambil bahagian dalam pertukaran dengan angkatan tentera Kemboja semasa lawatan itu, termasuk penganjuran satu perlawanan bola sepak persahabatan, menurut media tempatan.

Kecurigaan terhadap China

Para pemimpin Kemboja telah berulang kali menafikan bahawa pangkalan itu hanyalah untuk penggunaan oleh mana-mana kuasa asing tunggal, susulan laporan media AS pada tahun 2022 yang mengatakan kemudahan baharu di Ream, pangkalan yang pada asalnya dibina sebahagiannya dengan dana AS, akan khusus untuk tentera laut China.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan delegasi daripada Tentera Pembebasan Rakyat China telah merasmikan pangkalan yang telah diubah suai itu pada bulan April lalu.

Hun Manet menafikan kemudahan baharu yang dipertingkat itu adalah untuk kegunaan "eksklusif" Beijing, dengan mengatakan kapal-kapal dari negara-negara lain akan dibenarkan untuk berlabuh.

Dua minggu selepas perasmiannya, dua buah kapal perang Jepun merupakan kapal pertama yang berlabuh di pangkalan itu.

Beijing sejak tahun 2022 telah menyumbang kepada pembaharuan pangkalan tersebut.

Kebimbangan negara-negara di Barat mengenai pangkalan itu bermula sejak tahun 2019, apabila Wall Street Journal melaporkan draf perjanjian rahsia yang membenarkan kapal-kapal perang China berlabuh di sana.

Pada akhir tahun 2023, kapal-kapal perang China pertama kali berlabuh di jeti itu yang sepanjang 363 meter di satu-satunya pesisir pantai Kemboja di selatan negara itu antara Thailand dan Vietnam.

Sebuah kapal perang AS berlabuh di pelabuhan komersial Sihanoukville pada Disember 2024 dalam persinggahan pelabuhan tentera Amerika pertama di Kemboja dalam tempoh lapan tahun, apabila kapal tempur pesisir varian Kemerdekaan USS Savannah (LCS-28) melawat negara itu.

Rundingan AS-Kemboja

Dalam lawatan ini, Laksamana Samuel Paparo, komander Pemerintah Indo-Pasifik AS, menaiki USS Cincinnati dan mengadakan rundingan dengan Menteri Pertahanan Kemboja Tea Seiha dan panglima angkatan tentera Kemboja Vong Pisen, menurut kenyataan Tentera Laut AS.

Kenyataan itu menyatakan lawatan itu menunjukkan kerjasama yang semakin erat dan persahabatan yang semakin meluas antara tentera-tentera laut AS dan Kemboja, sambil menambah bahawa kedua-dua negara "berganding bahu untuk menegakkan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka."

Lawatan AS baru-baru ini ke Kemboja, termasuk persinggahan pelabuhan USS Cincinnati, berfungsi sebagai tanda keyakinan terhadap kedaulatan Kemboja, kata Paparo.

"Sejak tahun 2006, terdapat 37 lawatan pelabuhan ke Kemboja," kata Paparo. "Kami mempunyai cita-cita yang lebih tinggi daripada sekadar menerima lawatan pelabuhan tahunan dan sedang bekerjasama untuk memupuk lebih banyak lawatan-lawatan pelabuhan dan latihan-latihan maritim."

"Bersama-sama, kita membina keupayaan kita, membina kebolehkendalian melalui lensa saling menghormati ini," kata warga Kemboja itu dalam mengungkap kata-kata Paparo.

Amerika Syarikat telah menunjukkan minat untuk meluaskan kerjasama ketenteraan dengan Kemboja, termasuk rancangan untuk menghidupkan semula latihan ketenteraan bersama Angkor Sentinel, yang telah digantung oleh Kemboja pada tahun 2017.

Kemboja telah lama menjadi salah satu sekutu paling kuat China di Asia Tenggara, dan Beijing telah meluaskan pengaruhnya ke atas Phnom Penh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Di bawah bekas pemimpin Hun Sen, bapa Hun Manet, China telah membelanjakan berbilion-bilion dolar dalam projek-projek infrastruktur, manakala lawatan tentera laut AS baru-baru ini telah menandakan pemulihan hubungan antara Washington dan Phnom Penh.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link