Oleh Focus |
Kabel bawah laut ialah infrastruktur tersembunyi globalisasi. Ia membawa trafik internet yang sangat besar antara benua dan menyokong segala-galanya daripada urus niaga kewangan hinggalah perkhidmatan awan dan komunikasi ketenteraan.
Seperti yang dinyatakan dalam laporan Center for Strategic and International Studies (CSIS), kabel ini ialah "talian hayat era digital".
Itulah yang menjadikan pengetahuan terperinci tentang dasar laut begitu penting.
Laporan Reuters menunjukkan bahawa kapal penyelidikan China sedang meninjau perairan sensitif yang terletak secara strategik berhampiran Taiwan, Guam dan laluan sempit utama di Indo-Pasifik, mengumpul data yang mempunyai nilai awam dan ketenteraan.
![Kabel internet di atas sebuah bot kabel pada tahun 2025. [Miguel Medina/AFP]](/gc9/images/2026/06/25/56679-afp__20251007__77ze8t3__v1__highres__franceseacommunications-370_237.webp)
Dari segi amalan, pemetaan sebegitu juga boleh mendedahkan laluan tepat dan persekitaran operasi infrastruktur kabel yang kritikal.
Bagi Taiwan dan negara-negara Pasifik yang lebih kecil, risikonya amat ketara.
Ekonomi dan daya tahan negara mereka bergantung pada ketersambunagn tanpa gangguan, namun ramai yang hanya mempunyai tahap kelewahan yang terhad serta keupayaan terhad untuk melindungi rangkaian kabel yang berselerak dengan meluas.
Ancaman infrastruktur digital
Taiwan menawarkan amaran yang paling jelas.
CSIS menyatakan bahawa apabila dua kabel bawah laut yang menyediakan perkhidmatan untuk Matsu terputus pada 2023, mesej tertangguh, video tidak lagi boleh digunakan dan bank berdepan kesukaran memproses transaksi tepat pada masanya.
Insiden itu kecil dari segi kawasan yang terjejas, tetapi ia menunjukkan betapa pantas gangguan kabel boleh bertukar daripada sekadar kesulitan kepada gangguan ekonomi.
Jason Hsu, bekas ahli perundangan Taiwan yang kini berada di badan pemikir Hudson Institute, memberitahu Suruhanjaya Kajian Ekonomi dan Keselamatan AS–China pada Mac bahawa kabel bawah laut merupakan "faktor penting" dalam keupayaan Taiwan untuk berfungsi sebagai sebuah masyarakat yang terhubung.
Beliau berhujah bahawa mensabotaj kabel telah menjadi sebahagian daripada kit peralatan "zon kelabu" Beijing dan memberi amaran bahawa insiden berulang boleh digunakan untuk mengasingkan Taiwan tanpa melampaui ambang peperangan terbuka.
Operasi zon kelabu tidak menggunakan kekerasan, tetapi melelahkan pasukan keselamatan pihak musuh.
Kepentingan serantau yang lebih luas adalah besar.
Ekonomi perkhidmatan didayakan digital Filipina, rangkaian kewangan Jepun dan peranan Australia dalam perdagangan Indo-Pasifik semuanya bergantung pada aliran data yang berterusan.
CSIS memberi amaran bahawa serangan ke atas kabel bawah laut boleh "serta‑merta mengganggu komunikasi dan aktiviti ekonomi global", manakala gangguan singkat sekalipun boleh membawa kepada kelewatan pembayaran, masalah logistik dan ketidakstabilan pasaran yang lebih meluas.
Menjejak ancaman
Perkara yang menjadikan hal ini lebih daripada sekadar kisah infrastruktur umum ialah pertindihan antara laluan kabel dan perairan strategik yang sudah dipetakan oleh China.
Reuters mendapati bahawa kapal seperti Dong Fang Hong 3 telah meninjau kawasan berhampiran Taiwan, Guam dan laluan masuk ke Selat Melaka dalam corak yang selaras dengan kerja pemetaan dasar laut.
Bekas ketua unit kapal selam Australia, Peter Scott, memberitahu Reuters bahawa data ini "berpotensi sangat berharga dalam persediaan ruang pertempuran."
Penganalisis memberi amaran supaya tidak menganggap bahawa pemetaan semata-mata sudah memadai untuk menterjemahkannya kepada kawalan.
Namun begitu, ia boleh memudahkan sistem kabel dikesan, dipantau dan diancam ketika krisis.
Ryan Martinson dari U.S. Naval War College memberitahu Reuters bahawa skala penyelidikan marin China adalah "menghairankan", sambil menambah bahawa ia mengancam untuk menghakis kelebihan Amerika yang telah lama wujud dari segi pengetahuan tentang ruang pertempuran di bawah laut.
Amerika Syarikat dan sekutunya bertindak balas dengan pemantauan yang lebih rapi, alat perundangan yang lebih kukuh dan penegasan yang lebih besar terhadap daya tahan kabel.
CSIS merujuk kepada usaha perundangan dan kawal selia yang semakin meningkat untuk menghalang sabotaj dan menghukum kerosakan yang disengajakan, di samping dorongan yang lebih luas untuk mempelbagaikan laluan serta meningkatkan keupayaan pembaikan.
Itulah pengajaran yang lebih meluas.
Pertikaian di bawah gelombang bukan lagi hanya berkisar tentang kapal selam dan kawalan laut. Ia juga tentang pihak mana yang mampu melindungi nadi digital ekonomi global sebelum krisis menjadikan nadi itu kepada sasaran.
![Seorang juruteknik bekerja di atas kapal pembaikan kabel Sophie Germain pada Oktober 2025. Kabel bawah laut membawa sebahagian besar trafik internet global dan semakin menjadi tumpuan perancangan keselamatan ketika kerajaan berusaha untuk mengukuhkan daya tahan infrastruktur komunikasi kritikal. [Miguel Medina/AFP]](/gc9/images/2026/06/25/56741-afp__20251007__77ze99e__v1__highres__franceseacommunications-370_237.webp)