Oleh Hua Ziliang |
Ketegangan telah tercetus sekali lagi di Scarborough Shoal selepas pesawat-pesawat China dan Filipina terlibat dalam kebuntuan udara yang tegang di Laut China Selatan baru-baru ini.
Sebuah pesawat rondaan Filipina dan helikopter tentera China pada 18 Februari terlibat dalam kebuntuan selama 30 minit di perairan berhampiran Scarborough Shoal (dikenali sebagai Panatag Shoal oleh Filipina).
Pesawat China itu menghampiri secara agresif dari atas, pada suatu ketika sedekat dalam jarak tiga meter sahaja.
Juruterbang Filipina memberi amaran kepada pesawat China, memberitahu bahawa kelakuannya "sangat berbahaya."
![Kapal-kapal yang dikenal pasti oleh Pengawal Pantai Filipina sebagai militia maritim dilihat di dalam lagun Scarborough Shoal, di Laut China Selatan semasa penerbangan peninjauan udara pada 18 Februari. [ Jam Sta Rosa/AFP]](/gc9/images/2025/03/05/49367-afp__20250218__36y294p__v1__highres__philippineschinamaritime_optimized_5000-370_237.webp)
![Peta yang menunjukkan pulau-pulau dan terumbu-terumbu yang diduduki oleh China, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Taiwan di Laut China Selatan. [John Saekia/AFP]](/gc9/images/2025/03/05/49368-afp__20241126__36mf6kf__v1__jpegretina__southchinasea__1___1_-370_237.webp)
Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China kemudian menuduh Filipina "menceroboh ruang udara China secara haram dan memutarbelitkan kebenaran."
Kedua-dua pihak menyiarkan rakaman-rakaman video pertembungan itu.
Scarborough Shoal, atol karang terbesar di Laut China Selatan, terletak di bahagian timur Kepulauan Zhongsha.
Ia meliputi kawasan seluas 150 km persegi dan terletak kira-kira 230 km dari Teluk Subic di Filipina dan 880 km dari Pulau Hainan di China.
Perairan sekitarnya kaya dengan perikanan dan berkemungkinan juga mengandungi rizab minyak dan gas.
Selain itu, Scarborough Shoal terletak di laluan masuk utara Laut China Selatan, yang menyaksikan perdagangan maritim yang dianggarkan bernilai $3.4 trilion setiap tahun.
Ia terletak dalam 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Namun demikian, China menuntut "hak sejarah" ke atas beting tersebut dan enggan mengiktiraf penghakiman antarabangsa mengenai perkara itu.
Ketegangan yang semakin meningkat
Sejak kebuntuan Scarborough Shoal pada tahun 2012, China secara benarnya telah mengawal kawasan itu, meningkatkan rondaan oleh pengawal pantai dan tenteranya.
Pada September 2023, Pengawal Pantai Filipina telah menayangkan rakaman yang menunjukkan pegawai-pegawainya memotong "penghalang terapung" yang dipasang oleh China di sekitar beting, dan menuduh Beijing menghalang nelayan-nelayan Filipina daripada memasuki kawasan itu.
Pada Januari tahun ini, Manila menuduh China mengerahkan sebuah kapal pengawal pantai yang besar ke ZEE Filipina, mengakibatkan suatu lagi kebuntuan maritim yang singkat.
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. telah mengguna pakai Strategi Laut China Selatan serampang empat mata untuk menangani pengembangan berterusan China, menurut Aaron Jed Rabena, seorang penyelidik di Pusat Asia Universiti Filipina.
Pertama, ia melibatkan pelaksanaan "strategi pendedahan awam" dengan menghebahkan secara aktif aktiviti-aktiviti China di Laut China Selatan untuk menarik perhatian media antarabangsa dan meningkatkan tekanan diplomatik, kata Rabena.
Kedua, pelan strategi itu menyertakan langkah-langkah ketenteraan dan undang-undang dengan mempromosikan perundangan seperti Akta Zon Maritim untuk memasukkan Scarborough Shoal dan pulau-pulau lain di bawah kedaulatan Filipina.
Ketiga, ia bertujuan untuk mengeratkan kerjasama antara pakatan-pakatannya dengan memperluaskan latihan ketenteraan bersama dan mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.
Keempat, ia membuat seruan untuk memberikan tekanan diplomatik pelbagai hala untuk mempromosikan kesahihan timbang tara Laut China Selatan dan mengasingkan China.
China telah bertindak balas dengan menyempadankan garis pangkal wilayah baharu di sekitar Scarborough Shoal, merangkumkan lebih banyak kawasan Laut China Selatan ke dalam wilayah yang dituntutnya dan memuncakkan konflik.
Wu Shicun, presiden pengasas Institut Kebangsaan China untuk Kajian Laut China Selatan, mencadangkan di Persidangan Keselamatan Munich bahawa Beijing mempunyai "alat-alat yang lebih pelbagai" yang boleh digunakan, lapor South China Morning Post pada 18 Februari.
Sekiranya Filipina memulakan satu lagi kes tuntutan timbang tara antarabangsa, China boleh mengambil tindakan balas yang lebih agresif, seperti sekatan ekonomi atau ugutan ketenteraan, kata Wu.
Sokongan antarabangsa
Sejak ketegangan di Laut China Selatan meningkat, Amerika Syarikat dan sekutunya semakin menunjukkan sokongan kepada Filipina.
Berikutan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat-Filipina dalam bulan Januari, Perancis telah mengerahkan kapal pengangkut pesawatnya, Charles de Gaulle, untuk menjalankan latihan bersama dengan tentera Filipina pada akhir bulan Februari.
Kumpulan pengangkut Perancis kemudiannya berlabuh di Teluk Subic, di mana kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk memperdalam pakatan mereka.
Sementara itu, menteri-menteri pertahanan dari Jepun dan Filipina bertemu di Manila dalam bulan Februari dan mengumumkan penubuhan dialog strategik.