Keselamatan

Latihan tembakan secara langsung China di Laut China Selatan dilihat sebagai tindak balas kepada garis dasar maritim baharu Vietnam

Beijing menjalankan latihan tembakan secara langsung dan rondaan kesediaan tempur sebagai mesej yang jelas kepada Vietnam. Sementara itu, Vietnam sedang mendekati negara seperti New Zealand.

Detasmen frigat Tentera Laut Teater Selatan PLA China melancarkan suar umpan semasa latihan tempur pada November 2022. [Kementerian Pertahanan China]
Detasmen frigat Tentera Laut Teater Selatan PLA China melancarkan suar umpan semasa latihan tempur pada November 2022. [Kementerian Pertahanan China]

Oleh Wu Qiaoxi |

China menjalankan latihan tembakan ketenteraan secara langsung di Teluk Tonkin dari 24 hingga 27 Februari dalam satu langkah yang dilihat secara meluas sebagai tindak balas kepada garis dasar maritim Vietnam yang baru diisytiharkan.

Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) turut menghantar tentera-tentera laut dan udara ke Scarborough Shoal pada 27 Februari untuk rondaan kesediaan tempur.

PLA kemudiannya mengeluarkan video baharu rondaan di platform microblogging China Weibo sebagai pertunjukkan kekerasan, hanya seminggu selepas kebuntuan tegang di udara antara China dan Filipina di kawasan yang sama.

Sebelum ini, pada 21 Februari, Kementerian Luar Vietnam mengumumkan garis dasar maritim yang baru digariskan di Teluk Tonkin, meliputi 14 titik koordinat dari perairan luar wilayah Quang Ninh ke wilayah Quang Tri.

Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon (kiri) dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh (kanan) berjabat tangan semasa pertemuan di Hanoi pada 26 Februari. Kedua-dua negara menaiktarafkan hubungan diplomatik mereka kepada perkongsian strategik komprehensif, meningkatkan kerjasama pertahanan dan keselamatan. [Nhac Nguyen/AFP]
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon (kiri) dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh (kanan) berjabat tangan semasa pertemuan di Hanoi pada 26 Februari. Kedua-dua negara menaiktarafkan hubungan diplomatik mereka kepada perkongsian strategik komprehensif, meningkatkan kerjasama pertahanan dan keselamatan. [Nhac Nguyen/AFP]

Kerajaan Vietnam berkata bahawa garis dasar baharu itu menyediakan asas undang-undang tambahan untuk "melindungi dan menguatkuasakan kedaulatan Vietnam."

Bagi pihaknya, Pentadbiran Keselamatan Maritim China menyatakan bahawa latihan ketenteraan di Teluk Tonkin tertumpu di bahagian utara teluk, berhampiran dengan China.

Ketegangan yang semakin meningkat

Pertikaian kedaulatan antara China dan Vietnam tertumpu pada Kepulauan Spratly, Kepulauan Paracel dan perairan yang berdekatan dengannya.

Walaupun kedua-dua negara telah mengekalkan kestabilan yang relatif di Teluk Tonkin sejak perjanjian tahun 2000, pengumuman China mengenai garis dasar maritim baharu pada awal tahun lepas telah mendorong Vietnam untuk mengemukakan cadangan persempadanan yang disemak semula kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai, memetik Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut 1982 dalam menentukan sempadan maritim.

Beberapa siri tindakan daripada kedua-dua pihak telah meningkatkan ketegangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Dalam bulan Februari, satu laporan daripada Kementerian Sumber Asli China menuduh Vietnam melakukan penambakan tanah berskala besar di Terumbu Barque Canada di Kepulauan Spratly sejak tahun 2022, yang mengembangkan terumbu tersebut 10 kali ganda kepada 1.94 km persegi dan pengorekan terusan yang mampu menampung kapal perang besar.

Kementerian Luar China mengecam kegiatan-kegiatan ini dalam taklimat berita, memanggilnya pengembangan terumbu yang "diduduki secara haram".

Walau bagaimanapun, penambakan tanah yang dijalankan oleh China sendiri lebih meluas, yang mana 16 pulau buatan telah dibina sepanjang dekad yang lalu.

Menurut laporan oleh Pusat untuk Kajian Strategi dan Antarabangsa, China bertanggungjawab ke atas 65% kemusnahan terumbu karang di Laut China Selatan, yang tertinggi di kalangan semua negara yang terlibat.

Strategi diplomatik

Walaupun pertikaian kedaulatan semakin meningkat, Vietnam terpaksa menahan diri dalam tindak balasnya kerana hubungan ekonominya yang rapat dengan Beijing.

China ialah rakan dagangan terbesar Vietnam, dengan kerjasama yang semakin meningkat dalam sektor infrastruktur dan pelaburan.

Pada 19 Februari, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam meluluskan pinjaman dari China yang berjumlah $8 bilion untuk membina landasan kereta api sepanjang 390.9km merentasi sembilan wilayah, dari Lao Cai ke Haiphong melalui Hanoi.

Sementara itu, syarikat-syarikat China sedang mengalihkan operasi mereka ke Vietnam untuk memintas perang perdagangan Amerika Syarikat-China. Menurut Financial Times, pelaburan baharu China kini merangkumi hampir satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Vietnam.

Strategi diplomatik Vietnam adalah untuk mencari keseimbangan yang halus dengan mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan negara-negara lain.

Baru-baru ini, Vietnam menaiktarafkan hubungannya dengan New Zealand kepada perkongsian strategik komprehensif.

Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon sedang mempertimbangkan untuk mengerahkan kapal tentera laut ke Laut China Selatan akhir tahun ini untuk meningkatkan kerjasama dengan Vietnam dan menyumbang kepada kestabilan, keselamatan dan keamanan di rantau Indo-Pasifik, lapor New Zealand Herald pada 26 Februari.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *