Keselamatan

Tokyo memperkukuh hubungan keselamatan, ekonomi dengan Manila di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dengan Beijing

Di tengah-tengah ketegangan maritim dan perubahan perikatan, langkah-langkah terbaru Jepun di Filipina menandakan pembentukan strategi serantau yang lebih luas.

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (Kiri) dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. (Kanan) berjabat tangan sebelum memulakan mesyuarat mereka di Manila pada 29 April. [Rolex dela Pena/Pool/AFP]
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba (Kiri) dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. (Kanan) berjabat tangan sebelum memulakan mesyuarat mereka di Manila pada 29 April. [Rolex dela Pena/Pool/AFP]

Oleh Focus dan AFP |

Jepun sedang mengukuhkan kehadiran strategiknya di rantau Asia Tenggara melalui jalinan keselamatan dan ekonomi yang lebih mantap dengan Filipina, ketika kedua-dua negara berhadapan dengan kebimbangan yang kian meningkat terhadap ketegasan China yang semakin memuncak di kawasan-kawasan maritim yang dipertikaikan.

Pada 29 April, kunjungan rasmi pertama Shigeru Ishiba selaku Perdana Menteri Jepun ke Manila telah mencatatkan kemajuan penting dalam hubungan kerjasama Tokyo-Manila, dengan pengumuman beberapa inisiatif baharu bagi memperkasa kerjasama pertahanan dan pembangunan ekonomi.

Semasa sidang akhbar bersama dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr., Ishiba menekankan pendirian bersama terhadap tindakan-tindakan paksaan di perairan yang dipertikaikan di rantau itu.

"Saya berharap kedua-dua negara kita akan terus berhubung rapat antara satu sama lain untuk menentang cubaan mengubah status quo di Laut China Timur dan Laut China Selatan melalui kekerasan atau paksaan," jelas Ishiba.

Komander fregat Jepun JS Noshiro, Tetsunobo Hori (kanan) menyambut Kapten Tentera Laut Filipina Salvador Buangan di pangkalan tentera laut Subic, Filipina, 26 Mac. Kedua-dua negara telah bersetuju untuk memulakan rundingan mengenai satu perjanjian pertahanan yang dipanggil Perjanjian Perolehan dan Perkhidmatan Silang. [Ted Aljibe/AFP]
Komander fregat Jepun JS Noshiro, Tetsunobo Hori (kanan) menyambut Kapten Tentera Laut Filipina Salvador Buangan di pangkalan tentera laut Subic, Filipina, 26 Mac. Kedua-dua negara telah bersetuju untuk memulakan rundingan mengenai satu perjanjian pertahanan yang dipanggil Perjanjian Perolehan dan Perkhidmatan Silang. [Ted Aljibe/AFP]

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, walaupun keputusan tribunal antarabangsa pada tahun 2016 mendapati dakwaan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang.

Pakatan keselamatan maklumat

Kedua-dua Tokyo dan Manila mempunyai pertikaian maritim dengan China: Jepun di Laut China Timur dan Filipina di Laut China Selatan.

Kebimbangan bersama terhadap tuntutan wilayah China telah mendorong kedua-dua negara menjalinkan hubungan lebih erat antara satu sama lain dan dengan Amerika Syarikat.

Lawatan itu bertepatan dengan penyertaan Jepun dalam latihan ketenteraan bersama dengan angkatan-angkatan tentera Filipina dan AS, menandakan peningkatan dalam penyelarasan keselamatan negara-negara tersebut di rantau Indo-Pasifik.

Di Manila, para pegawai Jepun dan Filipina mengumumkan permulaan rundingan mengenai perjanjian pemerolehan dan perkhidmatan silang, yang akan membolehkan pertukaran sokongan logistik dan bekalan antara angkatan tentera mereka.

Jepun dan Filipina telah memulakan perbincangan mengenai perjanjian keselamatan maklumat yang mungkin dicapai, yang akan membolehkan perkongsian maklumat sulit dan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan, kata Ishiba.

Langkah-langkah ini dibina berdasarkan Perjanjian Akses Timbal Balik yang ditandatangani oleh kedua-dua negara pada Julai lalu, yang akan membolehkan penempatan tentera di wilayah masing-masing. Filipina telah mengesahkan perjanjian itu manakala Jepun sedang menunngu kelulusan perundangannya.

'Sekutu yang teguh'

Jepun telah menjadi pembiaya utama usaha Filipina untuk memodenkan kapal peronda Laut China Selatan dan keupayaan pengawasan maritim. Penaiktarafan ini telah menjadi semakin diperlukan di tengah-tengah konfrontasi berulang antara kapal-kapal pengawal pantai China dan Filipina di perairan yang dipertikaikan.

Marcos memuji apa yang disifatkannya sebagai "zaman keemasan" dalam hubungan Manila-Tokyo, mengakui peranan Jepun dalam meningkatkan keupayaan pertahanan Filipina. Beliau menggelar Jepun sebagai "rakan kongsi yang boleh dipercayai dan teguh" di rantau ini.

Speaker Dewan Rakyat Filipina Ferdinand Martin Romualdez mengulangi kenyataan itu, menekankan "peranan yang amat diperlukan Jepun dalam menyokong pembangunan kita" dan menggelar negara itu "sekutu yang teguh, rakan yang dipercayai dan rakan kongsi yang penting."

Pembangunan ekonomi

Jepun berjanji untuk memberi sokongan untuk membantu Filipina mencapai status berpendapatan sederhana tinggi, satu matlamat pembangunan yang dilihat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.

Ishiba berkata Jepun akan memanfaatkan "kekuatan Jepun yang unik" dalam menyokong pertumbuhan merentas pelbagai sektor, termasuk telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan pengurangan risiko bencana.

Tokyo akan terus menggalakkan penglibatan sektor swasta, kata jurucakap Kementerian Luar Jepun, Toshihiro Kitamura. Jepun memanfaatkan modal swasta dan berhasrat untuk terus memperkukuh pelaburan daripada lebih 1,600 syarikat Jepun di Filipina, jelas beliau.

Selain strategi ekonomi yang menyeluruh dan pengerahan sektor swasta, para pegawai mengetengahkan sektor-sektor khusus seperti pertanian sebagai bidang kerjasama yang berpotensi.

Ishiba, bekas menteri pertanian, menyatakan bahawa Marcos mempunyai minat yang kuat dalam sektor tersebut dan menzahirkan harapan untuk kerjasama yang lebih mendalam dalam pembangunan pertanian.

Rakan kongsi yang dipercayai

Di seluruh Asia Tenggara, Jepun masih dilihat sebagai rakan kongsi ekonomi dan politik yang dipercayai.

Suatu tinjauan oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak yang diterbitkan pada awal tahun ini mendapati bahawa 67.4% daripada responden "bimbang terhadap pengaruh ekonomi serantau China yang semakin meningkat" -- lebih daripada dua kali ganda berbanding 32.6% yang mengalu-alukannya.

Para responden menganggap kuasa ekonomi yang semakin meningkat dari sebuah negara tunggal, menurut laporan tersebut, sebagai risiko kepada keselamatan ekonomi serantau.

Dengan kepentingan ekonomi dan strategik Asia Tenggara yang terus berkembang, pelaburan jangka panjang Tokyo di rantau ini -- yang berasaskan rasa hormat bersama dan perkongsian yang semakin matang -- kelihatan semakin mantap untuk terus diperkukuhkan.

Menurut tinjauan ISEAS, Jepun kekal sebagai kuasa besar yang paling dipercayai di rantau ASEAN, dengan tahap kepercayaan keseluruhan ASEAN-10 sebanyak 66.8%, meningkat sebanyak 58.9% pada 2024.

"Jepun mengekalkan statusnya sebagai sebuah negara yang boleh dipercayai, dengan rakyat di ASEAN menghargai kebolehpercayaannya dalam mengekalkan komitmen ekonomi dan rasa pertalian budaya yang dikongsi bersama," jelas pengulas Veeramalla Anjaiah dalam artikel yang diterbitkan oleh Eurasia Review pada 27 Februari.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link

Captcha *