Oleh Li Hsien-chih |
Bekas penggubal undang-undang Cheng Li-wun memenangi lebih daripada separuh undi dalam pilihan raya kepimpinan Kuomintang (KMT) baru-baru ini, menjadikan beliau wanita kedua yang pernah mempengerusikan parti itu.
Walaupun tewas dalam tiga pemilihan presiden berturut-turut kepada Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah, KMT masih mempunyai pengaruh yang kuat di Taiwan. Satugabungan yang diketuai KMT mengawal parlimen, sekali gus membendung agenda DPP.
KMT, yang diasaskan di China lebih daripada satu abad yang lalu, melarikan diri ke Taiwan pada tahun 1949 selepas tewas dalam perang saudara China. Tidak seperti DPP, parti tersebut menganggap Taiwan sebahagian daripada China dan menyokong penyatuan semula suatu hari nanti.
Beijing tidak pernah menolak penggunaan kekerasan untuk menguasai Taiwan. Kerajaan China menegaskan bahawa kedua-dua belah Selat Taiwan adalah di bawah "satu China", dengan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan yang sah.
![Penunjuk-penunjuk perasaan Taiwan memegang papan tanda semasa perhimpunan yang dianjurkan oleh parti pembangkang KMT menentang Presiden Lai Ching-te di Taipei pada 26 April. [I-Hwa Cheng/AFP]](/gc9/images/2025/10/31/52596-afp__20250426__43kh8pp__v1__highres__taiwanpoliticsprotest-370_237.webp)
Bekas ahli DPP
Cheng, 55, memulakan kerjayanya di DPP sebelum menyertai KMT pada tahun 2005.
Beliau mewakili kedua-dua parti dalam pelbagai jawatan di parlimen.
Cheng bertanding untuk jawatan pengerusi KMT atas platform "menggalakkan keamanan merentasi Selat Taiwan."
Dia berjanji untuk menamatkan rentetan kekalahan KMT dalam pemilihan presiden, mendapatkan semula kuasa pada tahun 2028 dan membolehkan semua orang Taiwan "dengan bangga dan yakin mengatakan, 'Saya orang Cina.'"
Pemilihan Cheng secara meluas dilihat sebagai titik perubahan bagi partinya yang semakin berusia dan sumber ketidakpastian baharu dalam dasar rentas selat.
Campur tangan dari China
Tetapi semasa kempen itu, dakwaan-dakwaan meluas tentangcampur tangan dari China timbul.
Satu siasatan oleh Mirror Weekly pada akhir Oktober melaporkan kewujudan limpahan video-video pendek dan penyampai-penyampai maya yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan yang mempromosikan Cheng di media sosial.
Dengan memetik daripada sumber tanpa nama, laporan itu mengatakan Angkatan Ruang Siber Tentera Pembebasan Rakyat China kemungkinan besar menyelaras operasi itu dan menyalurkannya kepada ahli-ahli perniagaan dan rangkaian parti Taiwan untuk mempengaruhi undi perwakilan.
“Para penyiasat menemukan kira-kira 1,000 video TikTok dan YouTube yang berkaitan dengan pemilihan kepimpinan KMT, dengan separuh daripada akaun YouTube berdaftar di luar Taiwan,” jelas Ketua Pengarah Biro Keselamatan Negara, Tsai Ming-yen, kepada penggubal-penggubal undang-undang.
Akta Keselamatan Negara mahupun Akta Antipenyusupan tidak secara eksplisit merangkumi pilihan raya intra-parti, tambah beliau.
Justin Wu, jurucakap DPP, menggesa KMT untuk berwaspada terhadap penyusupan oleh angkatan tentera China dan tidak menjadi "rakan subahat dalam peperangan kognitif PKC [Parti Komunis China]."
Cheng menggelarkan dakwaan itu sebagai "pelabelan politik murahan yang memandang rendah kebijaksanaan pengundi."
Tahniah daripada Xi
Kurang daripada 24 jam selepas kemenangan Cheng, pemimpin China Xi Jinping menghantar mesej tahniah.
Xi menggesa kedua-dua pihak untuk "memajukan penyatuan semula negara" berdasarkan Konsensus 1992, lapor Xinhua.
Di bawah konsensus itu, KMT dan PKC mengesahkan bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada China. DPP enggan menyokongnya.
Dalam jawapannya kepada Xi, Cheng menekankan bahawa kedua-dua belah Selat adalah di bawah negara China dan membayangkan "masa depan yang gemilang untuk memberikan nafas baru kepada negara."
Penganalisis hubungan rentas Selat berkata, Beijing menggunakan pertukaran tersebut untuk menonjolkan KMT sebagai rakan politik dalam usaha memajukan penyatuan semula.
Platform mesra Beijing Cheng
Seorang penyokong tegar Beijing kini mempengerusikan KMT,
Dalam kempennya, Cheng menyokong pemulihan Konsensus 1992 dan menekankan bahawa kedua-dua belah Selat adalah "di bawah satu China."
Beliau juga mempromosikan slogan "Kerjasama antara yang kuat -- satu tambah satu lebih besar daripada dua."
Jika Beijing menunjukkan niat baik, beliau akan "bersedia untuk bertemu Xi Jinping seratus kali," kata Cheng.
Chen Shih-min, seorang profesor sains politik di Universiti Nasional Taiwan, menyifatkan Cheng Li-wun sebagai "yang paling pro-China dan pro-penyatuan semula" daripada enam calon pengerusi, menurut BBC Bahasa Cina.
Pilihan raya itu "telah menukar KMT daripada biru kepada merah," kata wartawan Taiwan-Jepun Akio Yaita dalam rancangan berita Taiwan, yang bermaksud pertukaran daripada warna rasmi KMT kepada warna PKC.
Angkatan PKC kini mungkin campur tangan secara lebih langsung dalam politik Taiwan dan "percanggahan serta konflik rentas selat akan menjadi pertempuran yang lebih sengit," katanya.
Kemungkinan tindak balas
Walaupun KMT mengawal parlimen, pendirian yang terlalu pro-Beijing boleh mencetuskan tindak balas awam, kata pemerhati-pemerhati domestik.
Dalam satu tinjauan pendapat Taiwan pada tahun 2023, hanya 3% responden mengenal pasti diri mereka sebagai "rakyat China secara am".
Sebaik sahaja memegang jawatan, cabaran segera Cheng ialah persediaan untuk pilihan raya tempatan tahun 2026. Mengendalikan isu rentas selat akan menjadi ujian besar, kata penganalisis-penganalisis.
"Mengendalikan kapal ini tidak akan mudah, tetapi sekurang-kurangnya kita mesti mengelakkan bongkah ais yang jelas," kata Pai Chiao-yin, setiausaha agung kaukus KMT di Majlis Bandaraya Kaohsiung, menggesa pengerusi wanita baharu itu untuk tidak mengasingkan pengundi-pengundi tengah.
Sokongan orang ramai terhadap KMT sebenarnya jatuh daripada 25.2% kepada 21.9% beberapa hari sebelum pilihan raya -- penurunan sebanyak 3.3 mata, menurut suatu tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Yayasan Demokrasi Taiwan dari 13 hingga 15 Oktober dan diterbitkan pada 21 Oktober.
Sama ada penerimaan Cheng terhadap China boleh mendapat kelulusan majoriti, dan bagaimana Taiwan mengimbangi kedaulatan dengan keselamatan, akan membentuk masa depan hubungan rentas selat.
![Cheng Li-wun, yang dipilih sebagai pengerusi parti pembangkang Kuomintang (KMT) di Taiwan, menyeru keperluan keamanan di Selat Taiwan dan menekankan 'Kami semua orang Cina' di Taipei pada 18 Oktober. [Cheng Li-wun/Facebook]](/gc9/images/2025/10/31/52619-564180891_1344624687026250_8885019446576912690_n-370_237.webp)