Oleh AFP and Focus |
AHMEDABAD, India -- India dan Jerman sedang mencari peluang untuk mengukuhkan kerjasama industri pertahanan, kata Perdana Menteri Narendra Modi pada 12 Januari selepas menyambut kehadiran Chanselor Friedrich Merz di negeri asalnya di Gujarat.
Merz berkata Berlin juga mahukan kerjasama keselamatan yang lebih erat dengan New Delhi, termasuk "kerjasama yang lebih mendalam antara industri pertahanan masing-masing" untuk mengurangkan kebergantungan tradisional India kepada Rusia untuk peralatan ketenteraan.
Jerman sedang meningkatkan fokus strategiknya kepada India, negara yang paling ramai penduduk, semasa perubahan corak pertumbuhan global mendefinisikan semula keutamaan ekonomi. Ramalan terkini Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi menunjukkan bahawa ekonomi India akan mengatasi China secara signifikan tahun ini, menyerlahkan pengaruh New Delhi yang berkembang dalam perdagangan antarabangsa dan strategi pelaburan.
Kedua-dua negara mengumumkan beberapa perjanjian dan deklarasi bersama selepas pertemuan kedua-dua pemimpin yang bertujuan untuk meningkatkan perdagangan tahunan mereka yang berjumlah $50 bilion.
![Perdana Menteri India Narendra Modi (kanan) dan Chanselor Jerman Friedrich Merz menerbangkan layang-layang di Festival Layang-Layang Antarabangsa di Ahmedabad, India, pada 12 Januari. [Shammi Mehra/AFP]](/gc9/images/2026/01/14/53499-afp__20260112__92dn79f__v1__highres__indiagermanypoliticsdiplomacy-370_237.webp)
Pengumuman-pengumuman tersebut merangkumi kerjasama industri pertahanan, semikonduktor dan mineral kritikal.
Kedua-dua negara "sedang berkerjasama pada rangkaian bekalan yang selamat, dipercayai dan teguh serta MoU [memoranda persefahaman] untuk isu-isu yang akan memperkuat perkongsian kami," kata Modi.
Perjumpaan antara pemimpin-peminpin India dan Jerman berlaku pada masa kedua-dua negara menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan daripada dua kuasa ekonomi terbesar dunia, China dan Amerika Syarikat.
Merz berkata Berlin "komited kepada aturan antarabangsa di mana kita boleh hidup secara bebas dan selamat, kerana dunia kini sedang mengalami proses penjajaran semula."
"Ia semakin ditentukan oleh kuasa politik yang hebat dan pemikiran dari segi pola pengaruh, disebabkan itulah kita perlu berganding bahu untuk menghadapi hari-hari yang mencabar," tambahnya.
"Sebab itulah kami juga mahu hubungan semakin rapat dalam konteks polisi keselamatan, seperti mengadakan latihan bersama antara angkatan-angkatan tentera laut dan tendera udara masing-masing untuk keselamatan di Indo-Pasifik."
'Kepentingan strategik'
"Ia adalah kepentingan strategik tertentu yang memperdalam kerjasama antara industri-industri keselamatan kami. Ini memperkuatkan kedua-dua pihak dan membantu India mengurangkan kebergantungan terhadap Rusia, contohnya," kata Merz.
Russia merupakan pembekal senjata utama India sejak berdekad-dekad.
"Sepanjang dua dekad yang lalu, Moscow membekalkan 65% daripada pembelian senjata India'," Deutsche Welle melaporkan pada 2024.
Bimbang akan keadaan mudah diserang, India telah cuba mengurangkan kebergantungan terhadap Rusia pada tahun-tahun kebelakangan ini dengan mempelbagaikan import dan menggalakkan sektor pembinaan tempatan.
Sekarang ia mengambil kira Perancis, Israel dan Amerika Syarikat sebagai pembekal-pembekal senjata utama yang lain.
Urusniaga bagi kapal-kapal selam Jerman
Berlin dan New Delhi telah berunding mengenai kemungkinan satu urusniaga bagi Thyssenkrupp Marine Systems dari Jerman membina enam buah kapal selam untuk tentera laut India dengan kerjasama Mazagon Dock Shipbuilders yang dikendalikan oleh kerajaan India.
Walaupun masih dalam rundingan, urusniaga itu akan membolehkan India menggantikan armada kapal selam buatan Rusia yang sudah uzur dan merangkumi terma mengenai peralihan teknologi untuk membantu industri pertahanan tempatannya.
Kedua-dua pihak sedang meneroka bidang penumpuan lain dalam sektor pertahanan ketika New Delhi melabur berbilion dolar untuk menaik taraf angkatan-angkatan tentera laut dan udaranya bagi beberapa tahun yang akan datang.
Terdapat 300,000 warga India dan orang yang berasal dari India di Jerman, termasuk 60,000 orang pelajar -- kebanyakannya dalam bidang sains kritikal, kejuruteraan dan lain-lain bidang kajian teknologi yang penting.
Baru-baru ini, ramai pekerja India telah mengisi jawatan dan mengatasi masalah kekurangan profesional bertauliah dalam bidang teknologi maklumat, perbankan dan kewangan di Jerman.
"India berbesar hati kerana [Merz] telah memilih negara kami sebagai negara pertama yang dilawati di Asia," kata Modi.
Kedua-dua pemimpin tersebut bersetuju untuk "mengeratkan kerjasama dalam pertahanan, angkasa dan bidang lain yang kritikal serta bersifat teknologi yang berkembang," katanya.
Lawatan Merz's ke India, yang pertama ke negara Asia sejak pelantikannya pada tahun lepas, berlangsung terlebih dahulu daripada sidang kemuncak India-Kesatuan Eropah yang dijadualkan pada hujung Januari, di mana para pemimpin berharap dapat melihat perkembangan dalam perjanjian perdagangan bebas yang telah lama tertangguh.
Tarikan India
Para pembuat dasar Jerman mempunyai sebab untuk menyokong India, kerana China telah membina sektor pembuatan senjata sejak berdekad lama, menuntut lebih daripada 80% Laut China Selatan sebagai wilayahnya dan menyokong pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.
Dalam era ini yang berlakunya penjajaran semula geopolitik, peningkatan ketidaktentuan China telah menyebabkan banyak warga Jerman melihat langkah mengalihkan perniagaan ke arah negara demokrasi terbesar sebagai "pergerakan bijak," satu komentar diterbitkan oleh Frankfurter Allgemeine Zeitung pada 13 Januari 13 berkata.
Tarikan India bergantung kepada tenaga buruhnya yang besar, "berusia muda dan penuh tenaga," sesuatu yang potensi tetapi sering terlepas pandang dan sekiranya digunakan baik, dapat memandu pertumbuhan jangka panjang, tambah komentar tersebut.
![Perdana Menteri India Narendra Modi (kanan) dan Chanselor Jerman Friedrich Merz melambai ke arah orang ramai sebaik tiba di Festival Layang-Layang Antarabangsa di Ahmedabad, India, pada 12 Januari. [Shammi Mehra/AFP]](/gc9/images/2026/01/14/53498-afp__20260112__92d827t__v2__highres__indiagermanypoliticsdiplomacy-370_237.webp)