Oleh AFP dan Focus |
TOKYO -- Bilangan pelancong mencecah rekod tertinggi ke Jepun pada tahun 2025, kata para pegawai, namun penurunan mendadak dalam bilangan pelawat China pada bulan Disember menonjolkan kesan ketegangan yang kian meningkat dalam hubungan dengan Beijing.
Jepun mencatatkan 42.7 juta ketibaan tahun lepas, menurut kementerian pengangkutan, mengatasi rekod 2024 iaitu hampir 37 juta apabila yen yang lemah meningkatkan daya tarikan destinasi tersebut yang ada dalam "senarai impian".
Walau bagaimanapun, bilangan pelancong dari China bulan lalu menurun kira-kira 45% berbanding dengan tahun sebelumnya kepada kira-kira 330,000 orang.
Cadangan Perdana Menteri Sanae Takaichi pada bulan November bahawa Tokyo boleh campur tangan secara ketenteraan dalam sebarang serangan ke atas Taiwan telah mencetuskan tindak balas diplomatik yang keras daripada China, yang menggesa rakyatnya untuk mengelakkan perjalanan ke Jepun.
![Pelawat-pelawat asing yang masuk ke Jepun mengikut sumber, 2013–2025. Jumlah ketibaan memecah rekod pada tahun 2025, walaupun para pelancong dari China menurun pada akhir tahun tersebut. [Data daripada Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun/Fokus]](/gc9/images/2026/01/22/53598-tourism-370_237.webp)
Pengumuman pada 20 Januari itu menekankan bahawa amaran itu telah memberi kesan terhadap bilangan pelawat.
China telah lama menjadi sumber pelancong terbesar ke Jepun, tetapi kedudukan itu kini telah berubah di tengah-tengah ketegangan hubungan politik.
Korea Selatan muncul sebagai sumber utama pelawat, dengan 9.46 juta ketibaan pada tahun 2025, diikuti oleh tanah besar China, yang tidak termasuk Hong Kong, iaitu 9.1 juta dan Taiwan dengan 6.76 juta, menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun.
Tertarik dengan yen yang lemah, para pelancong China membelanjakan sejumlah $3.7 bilion pada suku ketiga.
Berikutan dengan amaran perjalanan Beijing, Li Benjing, seorang pekerja di sebuah agensi pelancongan kecil di Tokyo yang menyasarkan para pelancong China, memberitahu AFP bahawa firma itu telah menyaksikan penurunan jualan sebanyak 90%.
"Impaknya terhadap perniagaan kami sangat besar," katanya.
Walau bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Yasushi Kaneko berkata ia merupakan "pencapaian penting" apabila jumlah pelawat keseluruhan telah melebihi 40 juta buat kali pertama.
"Walaupun bilangan pelancong China pada bulan Disember menurun, kami telah menarik bilangan pelancong yang mencukupi dari pelbagai negara dan wilayah lain untuk mengimbanginya," kata beliau, sambil menambah bahawa terdapat peningkatan yang "mendadak" di kalangan pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
"Kami juga berharap dan ingin memastikan para pelawat China akan kembali kepada kami secepat mungkin," tambahnya.
Peningkatan keseluruhan ini sebahagiannya berpunca daripada dasar kerajaan untuk mempromosikan tarikan dari lereng Gunung Fuji yang megah hingga ke kuil-kuil dan bar-bar sushi di bahagian yang lebih terpencil di kepulauan itu.
Kerajaan itu telah menetapkan sasaran yang tinggi untuk mencecah 60 juta orang pelancong setiap tahun menjelang 2030.
Lambakan pelancong
Agensi pelancongan terbesar Jepun, JTB, meramalkan bahawa jumlah orang pelancong keseluruhan tahun ini akan "berkurangan sedikit" berbanding dengan tahun 2025 disebabkan oleh penurunan permintaan dari China dan Hong Kong.
Namun, pendapatan daripada pelancongan dijangka meningkat disebabkan oleh kenaikan harga barangan seperti penginapan dan disebabkan oleh perbelanjaan yang tinggi di kalangan pengunjung.
Disebabkan peningkatan jumlah pengunjung tetap ke Jepun, tempat-tempat yang ingin dikunjungi pelancong beralih dari bandar-bandar besar ke kawasan luar bandar, kata JTB.
Pihak berkuasa mengatakan mereka mahu membahagikan bilangan para pelancong dengan lebih sama rata di seluruh negara, memandangkan aduan-aduan tentang kesesakan di kawasan popular seperti Kyoto semakin meningkat.
Seperti kawasan tarikan pelancong global lain misalnya Venice di Itali, terdapat penolakan yang semakin meningkat daripada penduduk-penduduk di ibu kota lama itu.
Bandar yang kaya dengan tradisi tersebut, yang masa perjalanan hanya beberapa jam dari Tokyo dengan kereta api berkelajuan tinggi, terkenal dengan para penghibur geisha yang berpakaian kimono dan kuil Buddha yang semakin sesak.
Penduduk-penduduk tempatan telah mengadu tentang para pelancong biadap yang mengganggu geisha dengan kegilaan dalam bergambar, dan juga pembuangan sampah di merata-rata serta menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Di tempat lain, pegawai-pegawai yang berang telah mengambil langkah untuk mengawal pelancongan, termasuk memperkenalkan yuran masuk dan had harian ke atas bilangan pendaki yang mendaki Gunung Fuji.
Pekerja-pekerja telah mendirikan penghadang di luar sebuah kedai serbaneka pada tahun 2024 untuk menghalang para pelancong daripada berdiri di jalan raya bagi mengambil gambar pemandangan gunung berapi yang dilitupi salji yang telah menjadi tular.
![Para pelancong memakai kimono semasa mereka mengambil gambar di luar sebuah kuil di Kyoto, Jepun, pada 11 Disember. [Alberto Pezzali/NurPhoto melalui AFP]](/gc9/images/2026/01/22/53594-afp__20251227__pezzali-notitle251211_nplii__v1__highres__dailylifeinkyoto-370_237.webp)