Oleh Shirin Bhandari |
Jerman berpotensi menjadi rakan perjanjian kehadiran angkatan ketenteraan ketujuh bagi Filipina dan yang kedua dari Eropah selepas Perancis, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr., ketika Manila terus mengembangkan rangkaian kerjasama pertahanannya di seluruh Eropah dan Indo-Pasifik.
Filipina bersedia memeterai perjanjian kehadiran angkatan ketenteraan dengan Jerman apabila kedua-dua kerajaan bersedia, walaupun tiada rundingan segera yang dirancang, kata Marcos pada 16 Jun selepas perbincangan keselamatan dengan Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier di Manila.
Lawatan Steinmeier itu merupakan lawatan negara pertama ke Filipina oleh seorang ketua negara Jerman dalam tempoh 63 tahun.
"Dengan ketidakstabilan yang sedang berlaku dalam landskap geopolitik ketika ini, jalan terbaik ke arah kestabilan adalah melalui perkongsia dan rangkaian perikatan yang luas," kata Marcos dalam sidang media bersama dengan Steinmeier.
![Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos semasa mesyuarat mereka di Manila pada 16 Jun. [Ezra Acayan/Pool/AFP]](/gc9/images/2026/06/26/56779-afp__20260616__b78k6g3__v1__highres__philippinesgermanydiplomacy-370_237.webp)
Filipina mempunyai perjanjian kehadiran angkatan ketenteraan dengan Amerika Syarikat, Australia, Jepun, New Zealand, Perancis dan Kanada, yang menyediakan rangka kerja undang-undang bagi penganjuran latihan ketenteraan sementara oleh tentera asing di negara itu. Perlembagaan Filipina melarang tentera asing menubuhkan pangkalan atau menjalankan aktiviti ketenteraan di negara tersebut tanpa perjanjian yang diluluskan.
Peranan Jerman di Indo-Pasifik
Lawatan Steinmeier itu mencerminkan penglibatan Jerman yang semakin meningkat dalam aspek keselamatan dan ekonomi di seluruh Indo-Pasifik.
"Situasi di Laut China Selatan … masih tegang dan perkara ini amat membimbangkan kami," kata Steinmeier, menurut Associated Press, sambil menekankan kepentingan ekonomi rantau Indo-Pasifik.
Laut China Selatan menjadi laluan bagi perdagangan global bernilai bertrilion-trilion dolar setiap tahun dan merupakan antara laluan kapal tersibuk di dunia.
Pelanggaran undang-undang maritim antarabangsa menjejaskan kebebasan pelayaran dan menjadi "punca kebimbangan besar di Eropah," kata Steinmeier, sambil menambah bahawa sekatan terbaru di Selat Hormuz menekankan risiko tersebut.
Steinmeier berjanji bahawa Jerman akan terus menyokong pengawal pantai Filipina, yang menjadi barisan hadapan pertahanan negara itu dalam pertembungan dengan kapal-kapal China di Laut China Selatan.
Marcos mengucapkan terima kasih kepada Steinmeier atas sokongan Jerman terhadap Keputusan Timbang Tara 2016, yang membatalkan tuntutan China ke atas lebih daripada 80% Laut China Selatan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut. Beijing tidak menyertai proses timbang tara itu dan menolak keputusan berkenaan.
Jerman merupakan rakan dagang ke-12 terbesar Filipina pada tahun 2025, dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara mencecah $5.39 bilion.
Sekurang-kurangnya 40 syarikat Jerman beroperasi di Filipina, manakala lebih daripada 45,000 rakyat Filipina, kebanyakannya jururawat tinggal di Jerman.
Perkongsian ekonomi
Lawatan itu menghasilkan perjanjian pajakan bernilai berjuta-juta dolar antara Lufthansa Technik Philippines dan Pihak Berkuasa Penukaran dan Pembangunan Pangkalan untuk membina hab penyelenggaraan pesawat seluas 157,000 meter persegi di Clark.
Fasiliti tersebut dijangka menggaji kira-kira 1,200 pekerja apabila operasi bermula pada tahun 2028.
Perjanjian itu akan "menyumbang kepada keselamatan ekonomi untuk Filipina dan melatih rakyat Filipina dalam industri khusus," di samping mencerminkan penumpuan yang semakin meningkat antara pembangunan ekonomi dan keselamatan strategik di Indo-Pasifik, kata Gary Ador Dionisio, profesor sains politik di De La Salle-College of Saint Benilde di Manila, kepada South China Morning Post.
Clark, bekas pangkalan tentera A.S., merupakan sebahagian daripada Koridor Ekonomi Luzon, inisiatif infrastruktur Filipina-A.S.-Jepun yang menyelaraskan pelaburan merentasi hab komersial, pengangkutan dan perindustrian.
Pelaburan itu memperkukuh peranan Clark yang semakin meningkat sebagai hab ekonomi dan pintu masuk strategik dalam Koridor Ekonomi Luzon.
Perjanjian kerjasama pertahanan yang ditandatangani oleh Manila dan Berlin pada tahun lalu merangkumi keselamatan siber, persenjataan, logistik dan operasi mengawal keamanan PBB. Perjanjian itu menyediakan rangka kerja bagi sebarang perjanjian kehadiran angkatan ketenteraan pada masa hadapan.
![Pesawat diselenggara di sebuah fasiliti penyelenggaraan Lufthansa Technik Philippines. Hab penyelenggaraan yang dirancang di Clark dijangka menarik pelaburan Jerman ke Filipina sambil menyokong perkembangan pesat industri penerbangan negara Asia itu. [Lufthansa Technik Philippines]](/gc9/images/2026/06/26/56780-lufthansa-370_237.webp)