Diplomasi

Manila, Beijing bertikam lidah mengenai keputusan Laut China Selatan

Pertikaman lidah yang baru antara Jabatan Luar Negeri Filipina dan kedutaan China menjelang ulang tahun ke-10 keputusan itu menekankan jurang perundangan yang berterusan antara kedua-dua pihak.

Para penunjuk perasaan membawa bendera Filipina semasa satu perhimpunan di Manila pada 11 Jun 2024. Keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016 kekal menjadi punca pergeseran diplomatik antara Manila dan Beijing hampir sedekad kemudian. [Ted Aljibe/AFP]
Para penunjuk perasaan membawa bendera Filipina semasa satu perhimpunan di Manila pada 11 Jun 2024. Keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016 kekal menjadi punca pergeseran diplomatik antara Manila dan Beijing hampir sedekad kemudian. [Ted Aljibe/AFP]

Oleh Shirin Bhandari |

Kedutaan China di Manila dan kerajaan Filipina saling mengeluarkan kenyataan pedas pada akhir Jun mengenai kesahan keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016, membangkitkan semula pertikaian perundangan yang sudah lama wujud hanya beberapa minggu sebelum ulang tahun ke‑10 pada 12 Julai.

Pertikaman lidah itu bermula selepas Jabatan Luar Negeri (DFA) Filipina pada 22 Jun menegaskan semula bahawa keputusan tersebut adalah muktamad dan mengikat di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS). Kedutaan China pada keesokan harinya menolak keputusan itu sebagai tidak sah dan terbatal.

Mahkamah antarabangsa itu menolak tuntutan China ke atas lebih daripada 80% Laut China Selatan.

Perselisihan perundangan

China, yang tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara yang dimulakan oleh Filipina pada tahun 2013, secara konsisten mengecam keputusan yang dibuat pada Julai 2016 itu.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr., berucap pada Dialog Shangri-La di Singapura pada 31 Mei. Teodoro kemudiannya menuduh kedutaan China di Manila menunjukkan 'ketidakikhlasan dan talam dua muka' apabila menolak keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016. [Jam Sta Rosa/AFP]
Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr., berucap pada Dialog Shangri-La di Singapura pada 31 Mei. Teodoro kemudiannya menuduh kedutaan China di Manila menunjukkan 'ketidakikhlasan dan talam dua muka' apabila menolak keputusan timbang tara Laut China Selatan 2016. [Jam Sta Rosa/AFP]

Kedutaan itu menolak keputusan berkenaan sebagai "manipulasi politik yang diselindungkan dengan rupa bentuk perundangan."

Beijing menegaskan semula ia tidak menerima sebarang mekanisme penyelesaian pertikaian pihak ketiga mengenai kedaulatan wilayah dan penetapan sempadan maritim. China menuntut rundingan secara langsung dengan negara-negara di rantau itu.

Kesan politik

Kenyataan kedutaan itu "memberikan pandangan sekilas tentang niat sebenar Parti Komunis China dalam berurusan dengan negara kami," kata Setiausaha Pertahanan Gilberto Teodoro Jr.

Kenyataan Teodoro dibuat kurang daripada dua minggu selepas Kementerian Luar Negeri China mengenakan sekatan terhadap beliau dan ahli keluarganya. Isteri dan anak beliau disekat daripada memasuki tanah besar China, Hong Kong dan Macau. Beijing menuduh ketua pertahanan itu berulang kali mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan kepentingan China, tanpa menyatakan kenyataan mana yang dimaksudkan.

DFA menempelak bahawa tribunal telah pun memutuskan bahawa kes itu berkaitan tafsiran dan pelaksanaan UNCLOS, dan bukannya mengenai kedaulatan wilayah atau penetapan sempadan maritim.

Keputusan itu telah menjadi "bahagian yang tidak dapat disangkal berdasarkan korpus undang-undang antarabangsa," menurut DFA. Keputusan berkenaan memberikan kepastian dari segi perundangan, dan keputusan timbang tara di bawah UNCLOS memanfaatkan semua negara dengan memperjelas undang-undang antarabangsa serta menyokong tadbir urus lautan secara aman.

Pertikaian itu tidak menjejaskan hubungan lebih luas antara China dan Filipina, menurut Istana Malacañang. Jurucakap Presiden, Claire Castro, berkata Filipina masih menganggap hubungannya dengan China sebagai baik. Presiden Ferdinand Marcos Jr. kekal komited terhadap mempertahankan hak maritim negara melalui saluran diplomasi, tambahnya.

Konteks serantau

Pertukaran kenyataan terbaru ini berlaku ketika Filipina, selaku pengerusi Persatuan Negara‑Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun ini, terus mendorong agar Kod Kelakuan yang mengikat secara sah untuk Laut China Selatan antara ASEAN dengan China.

Menurut Setiausaha Luar Negeri Ma. Theresa Lazaro, lebih baik Filipina tidak mempunyai apa-apa perjanjian berbanding perjanjian yang gagal mendukung undang-undang antarabangsa, termasuk keputusan timbang tara 2016 tersebut.

Menteri-menteri luar negeri ASEAN dijadualkan bermesyuarat di Manila pada akhir Julai ini, di mana pertikaian Laut China Selatan menjadi salah satu agenda utama, susulan berlalunya tarikh akhir pada bulan Julai yang ditetapkan sendiri oleh Filipina mendesak bagi memuktamadkan teks Kod Kelakuan tersebut.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link