Oleh Jia Fei-mao |
Sektor kecerdasan buatan (AI) China telah berkembang pesat, menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh digunakan sebagai alat untuk penapisan.
Pelancaran model-model AI China DeepSeek dan Manus bukan sahaja menaikkan pasaran saham China dan Hong Kong, tetapi juga menjadi suatu lambang Beijing untuk mendorong daya saing AI.
Sebuah editorial yang diterbitkan dalam Global Times kendalian kerajaan China pada 19 Februari menghujah bahawa penemuan ulung dan penggunaan AI China yang pesat -- apa yang dipanggil "pecutan China" -- mencabar naratif bahawa pertumbuhan ekonomi China telah memuncak.
Artikel itu seterusnya menegaskan bahawa melalui inisiatif seperti Jalur dan Laluan, kerjasama digital dan projek-projek sumber terbuka antarabangsa, pengaruh AI China akan terus berkembang secara global.
Namun, sisi lain ledakan AI ini adalah pengawalan kandungan yang ketat.
Pemerhati-pemerhati memberi amaran bahawa kerajaan China mungkin menggunakan AI untuk menulis semula sejarah secara sistematik, memadam rekod pelanggaran hak asasi manusia dan menapis kritikan terhadap Parti Komunis China (CCP).
OpenAI pada 13 Mac menghantar surat kepada Rumah Putih yang menyatakan bahawa "disebabkan DeepSeek pada masa yang sama disubsidi oleh kerajaan, dikawal negara dan tersedia secara percuma, kos kepada pengguna-penggunanya adalah privasi dan keselamatan mereka."
Surat itu mencadangkan agar kerajaan AS mempertimbangkan untuk mengharamkan model-model yang dibangunkan oleh DeepSeek dan institusi-institusi lain yang disokong oleh kerajaan China.
Kebebasan maklumat global
Bekas Perwakilan-Perwakilan AS Loretta Sanchez dan Greg Walden juga memberi amaran tentang risiko yang ditimbulkan oleh penguasaan AI China dalam suatu artikel pendapat yang diterbitkan dalam The Hill 12 Mac.
"Pemenang persaingan ini akan mengemudi ekosistem digital global dan memutuskan apa yang diperkuatkan, apa yang dikuburkan dan set nilai mana yang menjadi norma," tulis mereka.
Apabila ditanya mengenai pembunuhan beramai-ramai Dataran Tiananmen, model AI Tencent, Hunyuan, mendakwa bahawa "tiada sesiapa yang mati, dan tiada pembunuhan beramai-ramai berlaku." Sementara itu, Qwen dari Alibaba memadamkan soalan itu tanpa menjawab, tulis penulis, memetik kajian dari The American Edge Project.
AI China mengelak perbincangan Dataran Tiananmen dan enggan mengulas mengenai pemimpin China Xi Jinping, namun secara bebas mengkritik politik AS dan presidennya.
Ini bukan sekadar isu teknikal tetapi suatu "dwistandard" terbina dalam yang direka untuk sejajar dengan naratif CCP, tambah mereka.
Sanchez dan Walden memberi amaran selanjutnya: "Sekiranya alat-alat AI China menjadi pilihan lalai, Parti Komunis Cina akan menggunakan pengaruh geopolitik yang tidak pernah dikuasai sebelum ini, mendapatkan nilai ekonomi yang bertrilion, melemahkan kebebasan bersuara di seluruh dunia, dan membentuk budaya yang ditentukan oleh pengawalan, penapisan dan propaganda -- sambil menulis semula sejarah."
China telah mengetatkan peraturan-peraturan AI, memerlukan kandungan yang dijana AI untuk "mematuhi nilai teras sosialis dan mengelak daripada menghasilkan kandungan yang menghasut subversi kuasa negara, menggulingkan sistem sosialis atau membahayakan keselamatan dan kepentingan negara," Tzeng Yi-suo, penyelidik bersekutu di Institut untuk Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Negara Taiwan, memberitahu Focus.
Kebangkitan AI China bukan sekadar isu teknologi -- ia melibatkan masa depan kebebasan maklumat global, katanya.
Jika AI China menetapkan standard global, penapisan dan pengawasan data boleh melangkaui sempadan negara, menjangkau setiap sudut dunia, kata Tzeng.