Oleh Focus dan AFP |
Di sebalik ketegangan yang semakin memuncak antara China dan Filipina berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan, penemuan terbaharu dron bawah laut yang dipercayai milik China menimbulkan kebimbangan besar berkaitan keselamatan negara.
Lima dron bawah laut yang ditemui oleh nelayan Filipina berupaya mengumpul maklumat yang boleh dimanfaatkan dalam "peperangan bawah laut", menurut kenyataan tentera negara itu pada 15 April. Sekurang-kurangnya satu daripada peranti tersebut dikesan pernah menghantar isyarat ke China.
Pendedahan ini menyusul selepas berbulan-bulan konfrontasi antara Filipina dan China di Laut China Selatan, dan muncul ketika Manila bersiap untuk mengadakan latihan ketenteraan berskala besar bersama sekutu perjanjiannya, Amerika Syarikat, bulan ini.
Lima dron bawah air itu ditemukan antara tahun 2022 hingga 2024 di lokasi yang dianggap "penting dari segi strategik" untuk pertahanan dan keselamatan negara dan untuk navigasi maritim antarabangsa, menurut pegawai tentera Filipina pada 15 April.
![Polis Kebangsaan Filipina baru-baru ini memeriksa dron bawah air yang ditemukan oleh nelayan tempatan di perairan Pulau Masbate pada 30 Disember lalu. [Polis Kebangsaan Filipina Kasurog Bicol/Facebook]](/gc9/images/2025/04/22/50096-underwater_drone-370_237.webp)
![Gambar tanpa tarikh ini menunjukkan sebuah dron bawah laut yang mempunyai tanda tulisan Cina, ditemui di perairan tengah Filipina pada 30 Disember lalu. [Edaran/Pejabat Wilayah Polis Negara Filipina Wilayah 5]](/gc9/images/2025/04/22/50097-hy-119-370_237.webp)
"Mereka mempunyai keupayaan untuk menerima, memproses, menyimpan dan menghantar data melalui komunikasi satelit ke stesen di darat, ke kapal induk, atau ke dron lain," jelas Laksamana Muda Roy Trinidad, yang juga merupakan jurucakap tentera laut Filipina untuk isu Laut China Selatan, menurut Agensi Berita Filipina.
Pengumpulan data mereka mempunyai tujuan "melebihi navigasi," kata Trinidad, sambil menambah bahawa peranti itu digunakan untuk memetakan rupa bumi di bawah air dan mengumpulkan data batimetri, penting untuk strategi ketenteraan bawah laut.
Berasal dari China
Pegawai Filipina mengesahkan bahawa salah satu daripada lima dron yang dirampas -- model "HY-119" berwarna kuning yang ditemui berhampiran Pulau Masbate pada 30 Disember -- berasal dari China.
"Dron selam ini buatan China," kata ketua Kumpulan Maritim Polis Kebangsaan Filipina, Jonathan Cabal, semasa pendengaran Senat pada 15 Januari, menurut Philstar.com.
"Tiada dron bawah laut seperti itu digunakan dalam sektor komersial tempatan. Atas sebab itu, pihak berkuasa menganggap peranti ini bukan keluaran komersial, sebaliknya dibangunkan untuk tujuan ketenteraan atau penyelidikan saintifik."
Brig. Jeneral Andre Dizon, komander polis Masbate, menarik perhatian terhadap keupayaan komunikasi satelit dron itu yang membolehkannya menghantar serta menerima data dan mesej suara, menurut laporan Naval News bertarikh 3 Januari.
"Berdasarkan tanda yang ditemukan, oerabtu ini merupakan sistem navigasi dan komunikasi bawah laut buatan China," jelas Dizon.
Laporan Naval News pada Januari turut menyatakan bahawa dron tersebut ialah geluncur “Sea Wing” hasil pembangunan Institut Oseanologi China. Peranti itu mampu menyelam melebihi kedalaman 6.4 kilometer dan berpotensi digunakan untuk mengesan serta menjejak kapal selam, sekali gus memperkukuh keupayaan armada bawah laut China.
Walaupun pihak berkuasa Filipina belum menamakan China secara rasmi sebagai pihak yang menghantar dron-dron tersebut, pelbagai bukti jelas menunjukkan kaitan yang kukuh ke arah itu.
Salah satu dron dilaporkan mempunyai kad SIM yang kali terakhir berhubung dengan rangkaian di tanah besar China, manakala beberapa yang lain membawa tanda tulisan Cina.
Penilaian oleh pegawai-pegawai Filipina menunjukkan kebarangkalian antara 55% hingga 80% bahawa dron-dron itu dihantar oleh China, berdasarkan komponen dan saluran komunikasinya.
Trinidad turut melaporkan penemuan pemancar iridium dengan nombor siri yang dikaitkan dengan syarikat HWA Create, yang berpangkalan di Beijing dan memberi tumpuan kepada penyelesaian dalam bidang pertahanan, sektor awam, kerajaan dan industri.
Sementara itu, sebuah lagi dron didapati dilengkapi sensor kekonduksian, suhu dan kedalaman (CTD), selain pek bateri yang tertera nama “China Electronics Technology Group (CETG).”
CETG merupakan syarikat milik kerajaan yang berperanan dalam integrasi teknologi maklumat untuk kegunaan awam dan ketenteraan. Sensor CTD ini pula membekalkan data penting dalam kajian sifat fizikal lautan.
Penempatan strategik
Lokasi penemuan dron yang meliputi kawasan dari Luzon di utara hingga Mindanao di selatan — termasuk dua berhampiran Selat Balintang di selatan Taiwan dan beberapa lagi di luar pantai utara Luzon — menyerlahkan corak penempatan yang menyasarkan laluan maritim penting dan titik kawalan strategik seperti Pulau Masbate dan Mindanao.
Sebaran geografi yang luas ini mengukuhkan lagi kebimbangan pihak berkuasa Filipina terhadap usaha risikan jangka panjang secara tersembunyi yang menyasarkan perairan negara.
Kedutaan China setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Timbalan Setiausaha Jabatan Tenaga merangkap jurucakap Majlis Maritim Negara, Alexander Lopez, memberi amaran bahawa aktiviti bawah laut sedemikian mungkin mencerminkan usaha untuk memperkukuh pengaruh di kawasan pertikaian.
"Mereka ingin menunjukkan tahap kesungguhan untuk memasuki wilayah maritim kita," ujarnya dalam laporan April.
Walaupun data seperti bacaan batimetri boleh digunakan bagi tujuan penyelidikan, Trinidad menegaskan bahawa data sebegini juga memainkan peranan penting dalam operasi kapal selam, pengelakan sonar dan peperangan dasar laut — bidang yang amat sensitif bagi negara maritim seperti Filipina
"Ini melibatkan soal keselamatan negara," tegas Ketua Majoriti Senat, Francis Tolentino pada April. Beliau menyeru rakyat agar lebih peka. Menurut laporan Agensi Berita Filipina, China didakwa menggunakan dron-dron ini untuk mengumpul data bawah laut bagi tujuan ketenteraan.
Tolentino menekankan kepentingan mempertahankan hak kedaulatan Filipina di Laut Filipina Barat melalui usaha diplomatik dan undang-undang.