Oleh Chen Meihua |
Dalam peningkatan ketara kuasa lembutnya menerusi kempen terhadap Taiwan, China telah mula menyelaraskan usahanya dalam "Barisan Bersatu" untuk menyasarkan generasi muda, dengan pegawai-pegawai Taiwan mendedahkan bahawa strategi baharu Beijing bertujuan untuk "bermula dari zaman kanak-kanak."
Anjakan strategik ini dilaporkan melibatkan jangkauan ideologi yang sistematik terhadap golongan belia Taiwan merentas semua kumpulan umur, yang dipermudah melalui platform-platform seperti Xiaohongshu (RedNote) dan Douyin, versi TikTok China.
"Barisan Bersatu" merujuk kepada operasi politik, ekonomi dan maklumat yang diselaraskan oleh Parti Komunis China (PKC) untuk memecah belah, mengasimilasikan dan menekan masyarakat Taiwan untuk mencapai matlamat penyatuan semula Beijing.
Menarik perhatian remaja
Kehadiran RedNote yang semakin berkembang di Taiwan amat perlu diberi perhatian, dengan hampir 3 juta penguna aktif di Taiwan, menurut laporan BBC pada 30 Mei. Ini mewakili hampir 13% penduduk Taiwan, dengan majoritinya adalah remaja.
![Bintang ping pong Taiwan Lin Yun-ju (dua dari kiri) dilihat memakai skaf merah, satu simbol Komunis, semasa lawatan sekolah di China pada 3 Jun. Imej tersebut mencetuskan kontroversi di Taiwan selepas rakaman itu muncul. [Weibo]](/gc9/images/2025/06/13/50791-red_scarf-370_237.webp)
Kajian yang dikeluarkan pada bulan Januari oleh Academia Sinica Taiwan mendapati bahawa dalam kalangan pengguna-pengguna bawah 18 tahun, pelajar sekolah menengah rendah mempunyai kadar penggunaan yang tertinggi pada 57.87%.
Douyin secara halus menyampaikan naratif seperti "penyatuan semula mempunyai sedikit kesan" atau menggunakan isu-isu dalaman Taiwan untuk menggambarkan "kegagalan demokrasi," yang bertujuan untuk menghakis keyakinan terhadap demokrasi, dedah kajian itu.
Chiu Chui-cheng, menteri Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan, menekankan keperluan untuk berjaga-jaga.
China mungkin menggunakan platform-platform ini untuk urusan Barisan Bersatu, kata Chui pada Mei. Beliau menggesa sekolah-sekolah untuk mengukuhkan pendidikan mengenai literasi media dan meningkatkan kesedaran tentang risiko pemesejan politik tersembunyi dan pelanggaran privasi data.
'Satu alat propaganda politik'
"Saya suka selebriti-selebriti China di RedNote. Ia juga mempunyai ciri untuk melihat siaran-siaran daripada orang berdekatan, dan terdapat banyak jenis pempengaruh untuk dipilih," kata Li Xiaoling, graduan sekolah menengah yang berusia 18 tahun kepada Focus.
Li, yang bercakap dengan nama samaran, menceritakan bagaimana dia menjadi terpesona dengan rancangan-rancangan bakat China dan media sosial China pada 2021, terutamanya Douyin dan RedNote.
Di sebalik hiburan itu terdapat agenda politik yang diselitkan, amaran penganalisis.
RedNote adalah "satu alat propaganda politik yang menyamar sebagai hiburan," Sung Kuo-cheng, seorang penyelidik di Universiti Chengchi Nasional, memberitahu Focus.
Beliau menyifatkan kesannya sebagai secara halus dan berterusan dalam membentuk persepsi pengguna, suatu bentuk "pembasuhan otak yang kronik."
Sebaik sahaja pengguna-pengguna tenggelam dalam naratif yang sejajar dengan rangka kerja ideologi PKC, seperti imej ideal "China Indah," mereka mula merasakan pertalian dengan China, kata Sung.
"Anda tidak lagi melihatnya sebagai musuh," katanya.
Pegawai-pegawai China sendiri telah menyatakan penggunaan media sosial sebagai satu alat propaganda.
Zhang Weiwei, pengarah Institut China di Universiti Fudan, memuji populariti RedNote dalam kalangan belia Taiwan dalam suatu ucapan yang dibuat pada pertengahan Mei di Universiti Wuhan China.
Ia telah menyebabkan mereka "kian dipengaruhi oleh tanah besar," katanya.
"Masa untuk menyelesaikan isu Taiwan kini menjadi semakin matang," kata Zhang, sambil ketawa secara provokatif, "Tidak akan ada pilihan raya yang seterusnya di Taiwan!"
“Saya percaya, selepas penyatuan semula dengan Taiwan, pemerintahan Taiwan akan menjadi lebih mudah daripada pemerintahan Hong Kong,” tegas Zhang.
Naratif propaganda
Tidak semua belia Taiwan gagal mengenali risiko ini.
Chen Shujuan, seorang pelajar universiti yang berusia 20 tahun, menggunakan versi antarabangsa TikTok.
"Jika RedNote telah lama menanamkan ideologi dan nilai politik tertentu, ia boleh mempengaruhi pengguna secara halus," mengurangkan penentangan terhadap idea penyatuan semula dengan China, katanya dengan nama samaran.
Sementara itu, Gao Zhengping, seorang graduan baru yang berusia 28 tahun, menyatakan ketiadaan minat dengan RedNote dan Douyin.
Pengguna-pengguna sekolah rendah dan menengah Taiwan, "yang fikiran mereka belum matang, mungkin mendapati nilai - nilai mereka mudah dipengaruhi," tanpa disedari menerima mesej Barisan Bersatu, katanya.
Malah tokoh-tokoh terkemuka turut terlibat dalam kontroversi itu.
Lin Yun-ju yang berusia 24 tahun, pemain pingpong yang sangat popular dari Taiwan, baru-baru ini melawat sebuah sekolah rendah di wilayah Shandong, China.
Lin dilaporkan terpaksa memakai skaf merah, yang melambangkan Komunisme, dan menyanyikan "I Love You China" bersama dengan kanak-kanak tempatan, yang berpakaian serupa.
Rakaman Lin tersebar dengan cepat di media sosial China, dengan tontonan Weibo melebihi 10 juta dalam beberapa hari.
Sung menyifatkan kejadian itu sebagai kes "pencerobohan Barisan Bersatu." Ia adalah suatu bentuk "pemasangan perangkap" dan "rampasan politik" yang direka untuk "memerangkap seseorang yang tidak bersedia dan menarik mereka ke dalam naratif propaganda China," katanya.