Oleh Cheng Chung-lan |
Ketika ketegangan terus meningkat di Selat Taiwan, media Jepun telah mendedahkan dua imej satelit dari dalam China yang menunjukkan gambaran luar biasa tentang perancangan strategik Beijing untuk menawan Taiwan.
Pada penghujung Mei, NTV News menghasilkan satu siri khas yang meneroka kemungkinan pencerobohan China ke atas Taiwan, termasuk taktik Beijing yang berpotensi dilakukan dan implikasi yang lebih luas terhadap Jepun.
Laporan itu menyertakan bukti satelit, ulasan pakar dan penyiasatan lapangan yang menimbulkan kebimbangan bagaimana seandainya konflik sebenar terjadi.
Imej satelit, yang diambil oleh Google pada April 2024, menunjukkan pembinaan yang membimbangkan.


Secara ketaranya, ia mendedahkan bahawa China telah membina satu replika yang hampir sama dengan Pejabat Daerah Presiden Taipei -- dikenali sebagai Zon Khas Bo'ai -- di Gurun Alxa di Mongolia Dalam. Apabila dibandingkan dengan susun atur bandar Taipei terdapat persamaan yang ketara dari segi grid jalan, kedudukan jalan raya dan bangunan sekitarnya.
Untuk mengesahkan ketepatan replika tersebut, wartawan NTV berjalan melalui Taipei, bermula dari Liberty Square, kira-kira 0.8km dari Pejabat Presiden.
Mereka melepasi mercu tanda tempatan seperti tadika, kedai sarapan dan tapak pelancongan sebelum tiba di zon utama, yang menempatkan Pejabat Presiden, Kementerian Luar, Yuan Kehakiman dan bangunan utama kerajaan yang lain, semuanya terletak dalam sebaris.
Laporan itu mendapati jalan sebenar di Taipei adalah sepanjang 973 meter, manakala replika berukuran 971 meter -- terdapat perbezaan dua meter.
Model fizikal berskala penuh nampaknya dibina bukan sahaja untuk melatih tentera tetapi juga untuk melatih senario pertempuran bandar dunia sebenar sehinggalah ke perincian terkecil.
Kemudahan ini direka untuk membantu askar membiasakan diri dengan kedudukan jalan di sekitar Pejabat Presiden," kata Chung Chih-tung, seorang penyelidik di Institut Penyelidikan Pertahanan dan Keselamatan Nasional Taiwan, dalam laporan itu.
"Matlamatnya adalah untuk menawan Pejabat Presiden dengan cepat dan melumpuhkan kerajaan pusat."
Berkeluasan 250,000 meter persegi, Liberty Square ialah satu-satunya kawasan lapang di tengah Taipei yang cukup besar untuk menempatkan tentera udara, yang menjadikannya sasaran ideal untuk serangan pantas.
Pasukan payung terjun China boleh mendarat di plaza dan mara di sepanjang jalan utama ke arah Pejabat Presiden, melancarkan serangan pantas dan menangkap presiden, kata Chung.
Perancangan ini menunjukkan bahawa Beijing mungkin melakukan strategi "kejut-dan-lumpuh" --iaitu rampas pusat arahan ibu negara terlebih dahulu, kemudian paksa rundingan untuk pengambilalihan.
"Pejabat Presiden menjadi keutamaan China untuk serangan" kata Chung, sambil menekankan bahawa imej satelit mengesahkan penilaian yang telah lama dibuat itu.
'Zon kelabu' militia
Ini bukan kali pertama China melakukan simulasi serangan ke atas Taipei. Sedekad yang lalu, latihan ketenteraan China juga telah dilakukan di bangunan yang menyerupai Pejabat Presiden.
Walau bagaimanapun, pembinaan semula keseluruhan blok jalan baru-baru ini menunjukkan penekanan yang lebih besar kepada realisme dan perancangan pertempuran yang terperinci.
Selain simulasi darat, laporan itu juga meneliti penempatan maritim China di sepanjang pantai tenggaranya.
Imej satelit kedua merakam armada bot nelayan yang besar di luar Pulau Shangchuan di wilayah Guangdong, yang mungkin berfungsi sebagai pangkalan hadapan untuk militia maritim China.
Semasa siasatan lapangan, wartawan NTV memerhatikan pelabuhan tempatan yang dipenuhi dengan pelbagai bot nelayan, sesetengahnya dipasang dengan meriam air gred industri sama seperti yang digunakan oleh kapal pengawal pantai. Peralatan sebegini jarang dipasang pada bot nelayan biasa dan biasanya ditemui pada kapal separa tentera atau tentera laut.
Bot-bot ini, walaupun secara luarannya nampak seperti kapal penangkap ikan, ia berfungsi sebagai "kapal militia," dedah nelayan tempatan.
Kapal-kapal ini adalah sebahagian daripada militia maritim China -- dibiayai kerajaan, dengan kru dilatih dan diarahkan oleh pihak berkuasa pertahanan negara. Menyamar sebagai kapal-kapal awam, sebaliknya mereka boleh melakukan pengawasan serta operasi serangan.
Pada peringkat awal operasi Taiwan, China mungkin mengerahkan militia maritim yang bertopengkan 'aktiviti awam' untuk mengganggu pertahanan Taiwan," kata Bonji Ohara, seorang penyelidik kanan di Yayasan Keamanan Sasakawa, dalam laporan itu.
Taktik ini mengeksploitasi kekaburan undang-undang, beroperasi dalam "zon kelabu" yang sengaja mengaburkan garis antara tindakan ketenteraan dan tindakan awam bertujuan mengelak daripada memberikan Amerika Syarikat justifikasi undang-undang yang jelas untuk campur tangan, tambah Ohara.
“China boleh mendakwa ini bukan operasi oleh Parti Komunis atau kerajaan pusat,” jelas Ohara. "Jika ia bukan serangan tentera, maka Amerika Syarikat tidak mempunyai sebab untuk menghantar tenteranya."
Dengan menggunakan kaedah mengelirukan itu, China boleh melancarkan tindakan serangan secara berkesan tanpa mengisytiharkan perang secara rasmi, melengahkan masa dan inisiatif, terus membuat penafian antarabangsa dan meminimumkan risiko tindak balas kolektif.
Keselamatan negara
Daripada ibu kota olok-olok di padang pasir kepada kapal-kapal militia yang menyamar di sepanjang pantainya, strategi Taiwan China nampaknya mengikut laluan dwi-landasan: serangan kilat konvensional yang menyasarkan teras politik Taipei, dan operasi rahsia zon kelabu yang bertujuan untuk menyusup, membuat provokasi dan menggugat kestabilan.
Di Jepun, "kontingensi Taiwan" tidak lagi dilihat sebagai isu serantau yang tidak berkenaan tetapi sebagai kebimbangan negara yang semakin mendesak.
Penganalisis memberi amaran mengenai gangguan kepada pengimportan tenaga, penggubal undang-undang menggesa penyimpanan sumber yang lebih banyak dan rancangan pemindahan sudah dirangka untuk puluhan ribu penduduk di Okinawa.
Dari pihak kerajaan, media mahupun masyarakat awam, kesedaran semakin meningkat bahawa apa yang berlaku di Taiwan boleh memberi kesan secara langsung kepada ekonomi, keselamatan dan cara hidup Jepun.