Diplomasi

Filipina desak untuk muktamadkan kod Laut China Selatan

Sebagai pengerusi ASEAN pada 2026, Manila berusaha untuk mengukuhkan sokongan berdasarkan undang-undang antarabangsa di tengah-tengah ketegangan maritim yang kembali memuncak.

Menteri-menteri luar negeri dan para pegawai kanan ASEAN bergambar bersama di Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri kumpulan tersebut di Cebu City, Filipina, pada 29 Januari. [Jam Sta Rosa/Pool/AFP]
Menteri-menteri luar negeri dan para pegawai kanan ASEAN bergambar bersama di Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri kumpulan tersebut di Cebu City, Filipina, pada 29 Januari. [Jam Sta Rosa/Pool/AFP]

Oleh Liz Lagniton |

Filipina sedang meningkatkan usaha untuk memuktamadkan Tatakelakuan untuk Laut China Selatan (COC) yang telah lama tergantung ketika negara itu memegang kepengerusian ASEAN yang bergilir pada 2026.

Rundingan telah menghadapi kelewatan bertahun-tahun disebabkan perselisihan pendapat mengenai piawaian undang-undang, mekanisme penguatkuasaan dan tuntutan-tuntuan maritim yang saling bersaing melibatkan China dan beberapa negara Asia Tenggara. China menuntut lebih daripada 80% daripada Laut China Selatan sebagai wilayahnya.

Kod yang dicadangkan itu bertujuan untuk mewujudkan peraturan-peraturan untuk menguruskan pertikaian dan mengurangkan risiko di Laut China Selatan -- satu lorong perkapalan yang digunakan untuk satu pertiga daripada perdagangan global. Bagaimanapun, selepas perbincangan selama dua dekad, ASEAN dan China masih mempunyai perselisihan faham mengenai skop, status undang-undang dan pelaksanaannya.

Desakan berasaskan UNCLOS

COC harus berasaskan undang-undang antarabangsa, Manila sebagai pengerusi ASEAN memberi penekanan.

Setiausaha Luar Negeri Filipina Ma. Theresa Lazaro menyampaikan ucapan semasa Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Cebu City, Filipina, pada 29 Januari. [Jacqueline Hernandez/Pool/AFP]
Setiausaha Luar Negeri Filipina Ma. Theresa Lazaro menyampaikan ucapan semasa Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Cebu City, Filipina, pada 29 Januari. [Jacqueline Hernandez/Pool/AFP]

Filipina akan mendesak rujukan eksplisit kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) dalam teks itu, kata Setiausaha Luar Negeri Filipina Ma. Theresa Lazaro.

"Isu UNCLOS tersebut adalah sesuatu yang kami tegaskan, bukan sahaja Filipina, tetapi negara anggota ASEAN yang lain," Lazaro memberitahu Reuters pada 22 Januari. Beliau menambah bahawa Manila mahu kod itu terikat di bawah undang-undang tetapi mengakui bahawa ini memerlukan "perbincangan yang lebih lanjut dan mendalam" di kalangan rakan kongsi ASEAN dan China.

UNCLOS merupakan asas undang-undang untuk keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap 2016 yang membatalkan tuntutan-tuntutan China terhadap sebahagian besar daripada 80% Laut China Selatan.

Walaupun China menolak keputusan itu atas sebab keputusan itu di luar bidang kuasa mahkamah, UNCLOS kekal sebagai titik rujukan pertikaian dalam rundingan COC.

Manila lebih cenderung mengendalikan pertikaian melalui saluran diplomatik daripada menerusi pertukaran pendapat secara awam, kata Lazaro di tengah-tengah kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh para pegawai China dan Filipina baru-baru ini berikutan konfrontasi di laut.

Di tengah-tengah rundingan ini, Filipina telah mengukuhkan hubungan keselamatannya dengan Amerika Syarikat, Jepun, Australia dan Kanada. Negara-negara ini menyokong keputusan 2016 tersebut dalam kebebasan pelayaran -- satu pendirian yang dikritik Beijing sebagai "penglibatan pihak luar."

Tekanan tarikh akhir

Rangka kerja untuk tatatertib serantau bermula dengan Deklarasi mengenai Tatalaku Pihak yang tidak mengikat pada tahun 2002, yang menetapkan prinsip-prinsip umum untuk menguruskan pertikaian tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan.

Rundingan rasmi mengenai kod yang mengikat akhirnya bermula pada 2017. Kemajuan sejak itu tidak konsisten.

Proses membuat keputusan berasaskan konsensus ASEAN juga mempengaruhi kadar perbincangan. Negara anggota mempunyai keutamaan strategik dan hubungan ekonomi mereka sendiri dengan China, rakan dagang terbesar ASEAN. Perspektif mereka yang berbeza merumitkan persetujuan dalam penggunaan kata yang sensitif.

China secara konsisten lebih mengutamakan rundingan terus dengan negara secara berasingan dan menegaskan kod itu tidak seharusnya melibatkan pelaku-pelaku yang tidak berada di rantau tersebut.

Pada 2023, ASEAN dan China bersetuju dengan garis panduan untuk mempercepatkan rundingan, termasuk penganjuran mesyuarat yang lebih kerap, dan penetapan matlamat untuk memuktamadkan kod itu dalam tempoh tiga tahun.

Tahun lepas, Enrique Manalo, setiausaha luar negeri Filipina ketika itu, berkata pihak-pihak itu "komited secara politik" untuk memenuhi tarikh akhir itu.

Manila baru-baru ini mengesahkan komitmen tersebut seiring dengan masa. Semua pihak kekal terlibat dalam menangani isu penting dan "setiap pusingan perbincangan membawa kita lebih dekat kepada dokumen yang akan mempunyai makna sebenar di lapangan," kata Lazaro kepada Japan Times pada 18 Januari. Matlamat Manila, tambahnya, adalah kod yang bukan sahaja tepat pada masanya tetapi "berkesan dan substantif."

Dalam mencerminkan keyakinan ini, Dax Imperial, jurucakap bagi kepengerusian ASEAN Filipina, menyatakan dalam taklimat pada 27 Januari bahawa semua pihak "sangat bersungguh-sungguh" berusaha untuk memuktamadkan rundingan dalam garis masa 2026 untuk mengekalkan momentum.

Rundingan itu dibuat di tengah-tengah pertembungan maritim yang berterusan di Laut China Selatan.

Keraguan terhadap impak COC

Kelewatan dalam memuktamadkan COC mungkin telah mengurangkan impaknya, Dr. Fitriani, penganalisis kanan di Institut Dasar Strategik Australia yang dikenali dengan satu nama, memberitahu GMA News Online.

"Memang bagus sekiranya dimuktamadkan tetapi bagaimana dengan pelaksanaannya?" soalnya, sambil menyatakan negara-negara mungkin bergantung pada "manuver mini-lateral" dan "kerjasama para pengawal pantai di kalangan negara yang berfikiran sama," bersama-sama dengan hubungan kerjasama dengan pelaku-pelaku luar.

Pada 29 Januari, para diplomat tertinggi Asia Tenggara bersidang di Cebu City untuk rundingan COC pertama yang dianjurkan di bawah kepengerusian Filipina. Isu-isu serantau seperti Burma dan pertikaian sempadan muncul dalam agenda, tetapi Laut China Selatan kekal menjadi tumpuan utama berikutan lonjakan baru-baru ini dalam konfrontasi maritim antara angkatan-angkatan tentera China dan Filipina di perairan Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Manila menganggap perbincangan COC sebagai keutamaan kerana kekerapan tersebut.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link