Keupayaan

Filipina beralih kepada Korea Selatan untuk perkukuh pertahanan

Manila sedang menimbangkan untuk membeli frigat, kapal selam dan pesawat pejuang berkualiti tinggi keluaran Seoul.

Kontrak Industri Aeroangkasa Korea (KAI) untuk membekalkan 12 buah lagi pesawat serangan ringan FA‑50PH kepada Filipina menarik perhatian kerana garis masa penghantarannya yang singkat. [KAI]
Kontrak Industri Aeroangkasa Korea (KAI) untuk membekalkan 12 buah lagi pesawat serangan ringan FA‑50PH kepada Filipina menarik perhatian kerana garis masa penghantarannya yang singkat. [KAI]

Oleh Focus |

Filipina beralih kepada Korea Selatan untuk memperoleh pelbagai aset pertahanan ketika Manila memodenkan angkatan tenteranya di tengah‑tengah ketegangan yang semakin memuncak di Laut China Selatan.

Angkatan Tentera Filipina (AFP) tertarik dengan tawaran Seoul yang merangkumi peralatan berkualiti tinggi, jadual penghantaran yang menepati masa dan statusnya sebagai sekutu Amerika Syarikat, lapor Korea JoongAng Daily pada 15 Januari.

Perubahan ini berlaku ketika geseran maritim semakin memuncak. Kapal-kapal Filipina dan China terlibat dalam purata "12.1 hari interaksi sebulan" antara Ogos 2024 dan Mei 2025, menurut kajian Asia Maritime Transparency Initiative.

China menganggap lebih 80% daripada Laut China Selatan sebagai wilayahnya, walaupun mahkamah antarabangsa menolak hujah itu pada 2016.

HD Hyundai Heavy Industries (HHI) telah memenangi kontrak untuk membina dua buah frigat yang seakan kapal pertama dalam kelasnya, BRP Miguel Malvar, yang dirakam di sini ketika ujian pelayaran di perairan Ulsan, Korea Selatan. [HD HHI]
HD Hyundai Heavy Industries (HHI) telah memenangi kontrak untuk membina dua buah frigat yang seakan kapal pertama dalam kelasnya, BRP Miguel Malvar, yang dirakam di sini ketika ujian pelayaran di perairan Ulsan, Korea Selatan. [HD HHI]

Peningkatan insiden pertembungan mempercepatkan pelaksanaan Re‑Horizon 3 oleh Manila, iaitu fasa terakhir program pemodenan ketenteraan berbilang tahun. Dengan peruntukan berjumlah AS$35 bilion, Re‑Horizon 3 memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan pertahanan laut dan udara negara ketika AFP mengalihkan fokus daripada keselamatan dalaman kepada pertahanan luaran.

Memperkukuh 'rantaian pulau pertama'

Peningkatan keupayaan ini sejajar dengan perubahan lebih luas di peringkat serantau. Strategi Keselamatan Negara 2025 kerajaan Amerika Syarikat menegaskan kepentingan geopolitik "rantaian pulau pertama" sebagai sebahagian usaha mengekang pengaruh serantau China.

Rantaian itu merangkumi Jepun, Taiwan dan Filipina.

Strategi AS menggesa sekutu seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta memperkukuh keupayaan ketenteraan masing‑masing di bawah model perkongsian tanggungjawab.

Pilihan kerjasama Filipina–Korea Selatan

Bagi menyokong inisiatif itu, Akta Peruntukan Am 2026 yang ditandatangani Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. membenarkan "atur cara kewangan asing dan domestik" untuk membantu membiayai perolehan sistem-sistem yang canggih.

"Kerajaan Korea sepatutnya mempertimbangkan pelbagai cara bagi membolehkan negara membangun memperoleh produk pertahanan buatan Korea dengan beban kewangan yang lebih rendah," kata Jang Won‑joon, penganalisis pertahanan yang bernaung di Universiti Kebangsaan Jeonbuk di Jeonju, Korea Selatan, kepada Korea JoongAng Daily.

Seoul boleh mengurangkan lagi beban kewangan Manila dengan menawarkan "program seumpama langganan yang membahagikan kos keseluruhan kepada bayaran tahunan," kata beliau.

"Sejak melancarkan inisiatif pemodenan pertahanan Horizon tiga fasa pada 2012, Manila telah berusaha dalam kerangka itu untuk meningkatkan keupayaan pertahanannya, baik untuk menyamai tahap negara jiran mahupun untuk bertindak balas terhadap pencerobohan Beijing yang semakin meningkat ke dalam ZEE [Zon Ekonomi Eksklusif] Filipina," menurut laporan International Crisis Group yang diterbitkan pada bulan Ogos lalu.

Tentera laut Filipina telah sekian lama menjadi rakan kerjasama pembina kapal HD Hyundai Heavy Industries (HHI), yang telah menyerahkan 10 buah kapal tentera laut kepada armada itu. Baru-baru ini, HD HHI menyerahkan dua buah frigat kelas Miguel Malvar -- BRP Miguel Malvar dan BRP Diego Silang -- masing‑masing pada bulan Mei dan Disember lalu.

Dengan kontrak bernilai AS$578 juta dengan HHI yang ditandatangani Disember lalu, tentera laut itu dijadual menerima dua lagi buah frigat menjelang 2029. Pusat sokongan tentera laut HHI di limbungan kapal Teluk Subic membolehkan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan operasi dilakukan dalam negara, sekali gus mengurangkan kos operasi dan mengukuhkan keputusan Manila untuk teruskan pembelian kapal-kapal HHI. Syarikat itu menyatakan bahawa mereka memberi tumpuan "bukan sekadar menjual kapal sebagai produk berasingan, tetapi sebagai satu sistem yang padum" untuk memastikan armada beroperasi dengan berkesan, menurut Korea JoongAng Daily.

Kemungkinan pembelian kapal-kapal selam dan jet-jet pejuang

Manila juga sedang mempertimbangkan pembelian kapal selam pertamanya, dengan peruntukan sebanyak 110 bilion peso ($1.9 bilion) bagi sekurang‑kurangnya dua buah kapal selam. Ia sedang menilai tawaran daripada Naval Group Perancis dan sebuah lagi kontraktor Korea Selatan, Hanwha Ocean, namun HHI menonjolkan rekod prestasinya bersama tentera laut Filipina. HHI berhujah bahawa bidaannya akan menawarkan integrasi sistem dan penyelenggaraan yang lebih unggul untuk armada sedia ada.

Kejayaan FA‑50 buatan Korea dalam operasi pembanterasan keganasan di Filipina telah meletakkan KF‑21 Boramae, sebuah jet pejuang supersonik yang lebih besar, sebagai pesaing utama bagi projek pesawat pejuang pelbagai peranan seterusnya di negara itu.

Manila telah memohon penghantaran KF‑21 antara 2027 dan 2029, satu garis masa yang akan menjadikan Filipina antara pelanggan eksport terawal untuk platform itu, lapor media Korea Selatan Reportera pada awal Januari.

KF-21 itu mempunyai "kelebihan daya saing dari segi harga dan prestasi" dan boleh "dinarik taraf menjadi serasi siluman" pada masa hadapan, sekali gus menawarkan keupayaan pencegahan jangka panjang yang canggih kepada Manila, kata penganalisis di NH Investment & Securities Rhee Jae-kwang kepada Korea JoongAng Daily.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link