Keselamatan

Senator Filipina desak tentangan 'berterusan' terhadap China semasa kunjungan ke Pulau Thitu

Senator Risa Hontiveros menyeru rondaan bersama dan hubungan pertahanan Filipina yang lebih kukuh bersama rakan kongsi 'sehaluan' semasa melawat Pulau Thitu, yang turut dituntut oleh China.

Senator Filipina Risa Hontiveros mengibarkan bendera Filipina di Pulau Thitu di Laut China Selatan pada 21 Februari. Hontiveros menyeru hubungan pertahanan yang lebih kukuh dan tentangan 'berterusan' terhadap tuntutan wilayah China semasa kunjungan ke kubu Filipina yang dipertikaikan itu. [Jam Sta Rosa/AFP]
Senator Filipina Risa Hontiveros mengibarkan bendera Filipina di Pulau Thitu di Laut China Selatan pada 21 Februari. Hontiveros menyeru hubungan pertahanan yang lebih kukuh dan tentangan 'berterusan' terhadap tuntutan wilayah China semasa kunjungan ke kubu Filipina yang dipertikaikan itu. [Jam Sta Rosa/AFP]

Oleh AFP dan Focus |

PULAU THITU, Filipina -- Seorang senator Filipina menyeru hubungan pertahanan yang lebih luas dan tentangan "berterusan" terhadap tuntutan China di Laut China Selatan semasa melawat salah satu wilayah kecil Manila di perairan yang dipertikaikan itu pada 21 Februari.

Pulau Thitu, dikenali sebagai Pag-asa di Filipina, didiami kira-kira 400 rakyat Filipina, kebanyakannya nelayan bersama keluarga mereka. China mendakwa mereka menetap di sana secara haram. Pulau ini terletak kira-kira 450km di sebelah barat Palawan, dalam rangkaian kepulauan Spratly yang dipertikaikan — sekumpulan lebih 700 pulau kecil, batu karang dan atol yang dipercayai kaya dengan sumber asli.

Senator Risa Hontiveros, pengkritik lantang China, memberitahu AFP pada 21 Februari bahawa beliau percaya rakyat Filipina tidak bersedia untuk melepaskan "mana-mana bahagian Laut Filipina Barat," menggunakan istilah pilihan Manila bagi perairan di pesisir barat negara itu.

Tentangan 'berterusan' didesak

"Kita memerlukan tentangan diplomatik dan politik yang berterusan," kata Hontiveros selepas perjalanan udara selama lebih dua jam bersama para wartawan tempatan.

Sebuah kapal Pengawal Pantai China kelihatan ketika penduduk menunggang motosikal di Pulau Thitu, Filipina, di Laut China Selatan pada 21 Februari. [Jam Sta Rosa/AFP]
Sebuah kapal Pengawal Pantai China kelihatan ketika penduduk menunggang motosikal di Pulau Thitu, Filipina, di Laut China Selatan pada 21 Februari. [Jam Sta Rosa/AFP]

Sambil mengalu-alukan pengukuhan hubungan perjanjian Filipina dengan Amerika Syarikat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Hontiveros berkata Manila berharap dapat menarik lebih banyak "negara yang sehaluan" ke dalam pakatan tersebut. "Kita perlu terus membangunkan hubungan keselamatan dan pertahanan kita dengan (negara lain), termasuk rondaan bersama," katanya.

Seorang wartawan AFP yang terbang ke Pulau Thitu menaiki pesawat kedua melihat kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantai China meronda berhampiran pulau itu.

Hontiveros, yang menyedari simbol pada skrin telefon bimbitnya bertukar kepada aksara Cina sebelum mendarat, berkata beliau membawa barangan keperluan dan perkhidmatan perubatan untuk menyokong pembangunan pulau tersebut.

Kedutaan China di Manila tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Kunjungan Hontiveros berlaku ketika pegawai-pegawai di Manila membincangkan cara mempertahankan Kumpulan Pulau Kalayaan, yang merangkumi Pulau Thitu. Para senator bertelagah dengan kedutaan China dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sementara pegawai-pegawai kanan lain pula menyatakan hasrat mereka untuk mengukuhkan kehadiran di pulau tersebut.

Presiden Pro Tempore Senat Panfilo "Ping" Lacson berkata beliau ingin mengunjungi semula Pulau Thitu sekiranya pengangkutan dan jadual Senat mengizinkan, sambil menyatakan pulau itu masih mempunyai "kekurangan" dari segi infrastruktur, terutamanya dalam bidang pendidikan. Kunjungan terakhir beliau ke sana adalah pada tahun 2021.

Kebimbangan pencerobohan dan serangan China

Sambil menekankan keperluan untuk pendirian yang tegas, Lacson berkata adalah 'menjadi tanggungjawab kita, terutamanya Angkatan Tentera, untuk melindungi dan mempertahankan Pag-asa daripada pencerobohan dan, dalam senario terburuk, penyerangan,' lapor Philippine Daily Inquirer pada 21 Februari.

Polis Nasional Filipina (PNP) pula menyatakan pihaknya mempunyai anggota di Pulau Thitu dan akan menumpukan perhatian pada keselamatan dalaman, keselamatan awam serta ketenteraman, sementara pihak tentera mengetuai pertahanan luaran. Ketua PNP, Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr. berkata pasukannya sedang menyelaras dengan tentera, pengawal pantai, pihak berkuasa pulau dan agensi-agensi lain dalam perancangan perlindungan dan tindak balas kecemasan, lapor Inquirer awal bulan Februari ini.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan konflik antara AS dan China melibatkan negara jiran Taiwan, Hontiveros berkata Filipina sepatutnya 'berasa sangat bimbang,' sambil menekankan jarak kedudukan rantaian pulau Batenes di utara yang amat hampir dengan Taiwan.

China menganggap pulau yang mempunyai pemerintahan sendiri itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan telah mengancam untuk merampasnya melalui kekerasan.

"Ramai rakyat kita bekerja di sana [di Taiwan]," kata Hontiveros. "Lebih-lebih lagi kita harus bersikap proaktif untuk... mendesak penyelesaian konflik secara aman."

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link