Keupayaan

AS akan perluas penempatan peluru berpandu di Filipina walaupun dibantah China

Baik Washington mahupun Manila tidak mendedahkan sistem peluru berpandu yang akan datang, namun sistem canggih AS telah muncul di kepulauan itu sejak dua tahun yang lepas.

Sebuah pelancar peluru berpandu Berkeupayaan Jarak Sederhana Tentera AS (Typhon) tiba di utara Luzon, Filipina, pada 8 April 2024, semasa penempatan pertama sistem itu ke negara tersebut. Typhon merupakan sebahagian daripada kerjasama pertahanan yang diperluas AS-Filipina bertujuan mempertingkatkan keselamatan serantau. [Kapten Ryan DeBooy/Tentera AS]
Sebuah pelancar peluru berpandu Berkeupayaan Jarak Sederhana Tentera AS (Typhon) tiba di utara Luzon, Filipina, pada 8 April 2024, semasa penempatan pertama sistem itu ke negara tersebut. Typhon merupakan sebahagian daripada kerjasama pertahanan yang diperluas AS-Filipina bertujuan mempertingkatkan keselamatan serantau. [Kapten Ryan DeBooy/Tentera AS]

Oleh Liz Lagniton |

Amerika Syarikat merancang untuk meningkatkan penempatan peluru berpandu canggih dan sistem tanpa pemandu di Filipina pada tahun ini, memperdalam pengukuhan ketenteraan yang dikritik Beijing berulang kali sebagai "mengganggu kestabilan."

Komitmen tersebut mucul dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 16 Februari selepas Dialog Strategik Dua Hala ke-12 di Manila, di mana pegawai-pegawai kanan mengesahkan semula Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 negara itu dan berjanji untuk "meneruskan dan bekerja untuk meningkatkan jumlah penempatan peluru berpandu AS yang canggih dan sistem tanpa pemandu ke Filipina."

Tiada satu pihak pun memperincikan apakah sistem tambahan yang mungkin dihantar, tetapi pengumuman itu menguatkan lagi siri penempatan berprofil tinggi AS sejak dua tahun yang lalu.

Pada April 2024, Tentera AS menempatkan sistem peluru berpandu Typhon ke utara Luzon. Platform berpusat di darat itu boleh melancarkan peluru berpandu krus Tomahawk dan pemintas Standard Missile-6, memberikannya julat jarak melebihi 1,600km.

Pegawai-pegawai pertahanan AS dan Filipina kelihatan di Manila semasa Dialog Strategik Dua Hala ke-12 pada 16 Februari, di mana mereka menegaskan semula komitmen terhadap memperkukuh kerjasama pertahanan dan keutamaan bersama. [Jabatan Pertahanan Negara Filipina]
Pegawai-pegawai pertahanan AS dan Filipina kelihatan di Manila semasa Dialog Strategik Dua Hala ke-12 pada 16 Februari, di mana mereka menegaskan semula komitmen terhadap memperkukuh kerjasama pertahanan dan keutamaan bersama. [Jabatan Pertahanan Negara Filipina]

Keupayaan ini dilaporkan membolehkan kemungkinan sistem itu untuk membedil sasaran-sasaran komersial dan tentera di tanah besar China, satu faktor yang menyebabkan Beijing meningkatkan gesaannya supaya ia dikeluarkan segera.

Pada tahun lepas, Marin AS mengerahkan Sistem Interdiksi Ekspedisi Kapal Tentera Laut-Marin (NMESIS), sebuah pelancar peluru berpandu antikapal, ke Pulau Batan di wilayah Batanes, berhampiran Selat Bashi di selatan Taiwan.

Kedua-dua Typhon dan NMESIS kekal di Filipina, menurut Duta Filipina ke Washington Jose Manuel Romualdez. Pegawai-pegawai pertahanan AS dan Filipina telah membincangkan tentang kemungkinan penempatan pelancar "dinaiktaraf" yang akhirnya boleh dimiliki Manila, katanya.

Sistem yang sedang dipertimbangkan ialah platform paling sofistikated yang mana ia boleh dikerah ke Filipina dengan matlamat jangka panjang yang membolehkan Manila akhirnya memiliki versinya sendiri, beliau memberitahu Associated Press.

'Semata-mata untuk pencegahan'

"Ia semata-mata untuk pencegahan," kata Romualdez, menambah bahawa penempatan tersebut tidak bertujuan untuk bermusuh dengan mana-mana negara, lapor Associated Press.

Latihan ketenteraan terbesar rakan sekutu tersebut, Balikatan, dijadualkan pada bulan April, boleh memberlkan peluang untuk pengerahan tambahan.

Kenyataan bersama Washington dan Manila menekankan bahawa Perjanjian Pertahanan Bersama merangkumi serangan bersenjata di mana-mana sahaja di Pasifik -- termasuk Laut China Selatan -- terhadap kapal terbang, angkatan tentera, dan kapal awam salah satu negara tersebut, seperti kapal pengawal pantai.

Kedua-dua kerajaan mengecam apa yang mereka gambarkan sebagai "aktiviti haram, paksaan, agresif dan penipuan" China di perairan yang dipertikaikan dan menekankan sokongan mereka untuk kebebasan pelayaran dan penerbangan.

Konfrontasi tegang di laut

Konfrontasi antara kapal-kapal China dan Filipina bertambah tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini di perairan yang menjadi pertikaian.

Manila menuduh pengawal pantai dan militia maritim Beijing menghalang pelayaran, menggunakan meriam air dan merempuh kapal Filipina semasa misi membekalkan semula kelangkapan. China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk kawasan yang jatuh dalam Zon Ekonomi Eksklusif Filipina.

Lebih daripada negara-negara pesisir Asia Tenggara yang lain, Filipina di bawah pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr. telah mencabar secara terbuka tuntutan maritim China dan memperkukuh ikatan pertahanan dengan Washington.

Angkatan Tentera Filipina mengalu-alukan pelan penempatan itu, menggelar sistem AS tersebut sebagai "satu pemberhenti jurang yang baik [dan] pengisian yang hebat semasa menunggu program kemodenan kami."

Langkah tersebut sejajar dengan matlamat Setiausaha Pertahanan Gilbert Teodoro Jr. untuk memajukan "pencegahan yang boleh dipercayai" bertujuan menyokong kestabilan serantau, Laksamana Muda Roy Vincent Trinidad, jurucakap tentera laut untuk Laut Filipina Barat, berkata, menurut Philippine Star.

Trinidad menyatakan bahawa latihan Balikatan akan datang pada bulan April akan membenarkan anggota tentera menjalani latihan dengan sistem peluru berpandu moden dalam "persekitaran pelbagai domain," lapor Daily Tribune. Latihan tersebut menekankan penggunaan laut mengikut undang-undang di tengah-tengah peningkatan ketegangan maritim, beliau berkata.

Kerjasama AS-Filipina diperluas

Melangkaui pengerahan peluru berpandu, Washington dan Manila bersetuju untuk memperluas latihan bersama, mempercepat bantuan keselamatan dan melabur lebih lanjut di kawasan yang diliputi oleh Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat (EDCA). Washington telah memperuntukkan tambahan $144 juta dalam tahun fiskal 2026 untuk infrastruktur berkaitan EDCA.

Dialog tersebut menggariskan rancangan-rancangan untuk mempertingkat kerjasama pertahanan siber dan mengadakan perjumpaan "2+2" kali kelima antara menteri-menteri pertahanan dan luar negeri pada lewat tahun ini di Amerika Syarikat.

Filipina berada di kedudukan penting di sepanjang apa yang digelar "rantaian pulau pertama" yang bermula dari Jepun dan melalui Taiwan ke utara Luzon. Akses AS ke tapak-tapak dalam kawasan tersebut boleh menjadi strategik secara signifikan dalam mana-mana perang di Selat Taiwan dan langkah untuk menentang tuntutan China yang dipertikaikan iaitu tuntutan lebih daripada 80% daripada Laut China Selatan.

Kedua-dua kerajaan AS dan Filipina menegaskan semula akan kepentingan keamanan dan kestabilan merentas Selat Taiwan serta menentang sebarang bentuk kekerasan terhadap integriti wilayah mana-mana negara.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link