Oleh Wu Qiaoxi |
Pemerhati berkata perjanjian baru-baru ini antara Kepulauan Cook dan China mungkin membawa beberapa kesian keselamatan yang negatif kepada rantau itu, malah membuka jalan kepada projek perlombongan laut dalam yang kontroversi.
Perdana Menteri Kepulauan Cook, Mark Brown pada 10-14 Februari melawat China, menandatangani perjanjian "Pelan Tindakan Bersama tentang Perkongsian Strategik Komprehensif" untuk meningkatkan hubungan China-Kepulauan Cook dan untuk mendapatkan geran sekali sahaja sebanyak $4 juta daripada China.
Perjanjian itu, yang dibuat oleh Kepulauan Cook tanpa rundingan terlebih dahulu dengan New Zealand, telah mencetuskan "kebimbangan serius" di New Zealand, menggoyahkan hubungan istimewa yang terjalin lama antara kedua-dua negara.
Mempertahankan perjanjian itu, Brown menggesa negaranya untuk "berdiri atas kaki sendiri" dan bukannya bergantung kepada "abang besar" New Zealand.
![Penunjuk perasaan di Avarua berhimpun pada 18 Februari menentang pakatan Perdana Menteri Mark Brown yang dibuat dengan China, menyatakan kebimbangan mengenai implikasinya terhadap keselamatan serantau. [TVNZ/AFP]](/gc9/images/2025/02/21/49247-cook_protest_1-370_237.webp)
![Penunjuk perasaan di Avarua berhimpun pada 18 Februari menentang pakatan Perdana Menteri Mark Brown yang dibuat dengan China, menyatakan kebimbangan mengenai implikasinya terhadap keselamatan serantau. [TVNZ/AFP]](/gc9/images/2025/02/21/49248-cook_protest_2-370_237.webp)
![Penduduk Kepulauan Cook bimbang perjanjian China dengan Perdana Menteri Brown boleh membenarkan perlombongan laut dalam yang kontroversi dan membahayakan persekitaran marin. [Persatuan Te Ipukarea]](/gc9/images/2025/02/21/49249-cook_ocean-370_237.webp)
Kepulauan Cook pernah menjadi wilayah New Zealand dan mengekalkan hubungan "perkaitan bebas" dengan New Zealand yang memberikannya autonomi dalam hal ehwal dalam dan luar negeri sambil bergantung kepada New Zealand untuk sokongan kewangan dan pertahanan.
Ibu kota Avarua menyaksikan protes pada 17 Februari untuk menyokong supaya kekal dalam perkaitan bebas dengan New Zealand, dan ahli parti pembangkang telah memfailkan usul tidak percaya terhadap Brown. Undian akan berlaku selepas 25 Februari.
'Terperanjat'
Dari segi sejarah, Kepulauan Cook telah bekerjasama rapat dengan New Zealand dalam hal ehwal antarabangsa, terutamanya tentang keputusan keselamatan dan diplomatik.
Walau bagaimanapun, kerajaan Brown menandatangani perjanjian dengan China secara langsung tanpa rundingan terlebih dahulu, yang memeranjatkan New Zealand.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon menekankan kepentingan membincangkan isu pertahanan dan keselamatan secara telus.
Sementara itu, Menteri Luar, Winston Peters mengakui bahawa beliau "terperanjat" dengan perkembangan terkini.
Menurut laporan oleh Washington Post, pegawai New Zealand menyatakan kebimbangan terhadap perlombongan laut dalam, pembinaan pelabuhan dan keselamatan maritim, yang berpotensi menjejaskan kerjasama keselamatan antara New Zealand dan Kepulauan Cook.
Seorang pegawai malah memberi amaran bahawa institusi tentera China mungkin menceroboh kepentingan strategik New Zealand.
Kerajaan Kepulauan Cook telah menilai pengekstrakan nodul dasar laut yang kaya dengan nikel, kobalt dan logam lain, yang merupakan sumber yang dianggap penting untuk industri tenaga baharu. Semasa lawatan itu, kerajaan Brown membincangkan perlombongan laut dalam dengan agensi China.
Nodul ini bersaiz kentang dan mudah diekstrak serta boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, kata penyokong.
Walau bagaimanapun, kumpulan alam sekitar dan saintis memberi amaran bahawa perlombongan laut dalam boleh memusnahkan ekosistem marin dan malah memburukkan lagi perubahan iklim. Sesetengah negara telah menggesa moratorium global atau larangan perlombongan laut dalam untuk mengelakkan kesan yang tidak dapat dipulihkan terhadap alam sekitar.
Pengaruh China
Sejak menandatangani perjanjian keselamatan dengan Kepulauan Solomon pada 2022, China telah meluaskan pengaruhnya dengan pantas di Pasifik Selatan, mencabar dominasi tradisional Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.
Sokongan kewangan China telah lama menembusi Kepulauan Cook.
Menurut badan pemikir Australia Lowy Institute, antara 2008 dan 2022, Kepulauan Cook menerima bantuan $112 juta daripada China, yang kedua selepas $219 juta daripada New Zealand.
Kini, dengan geran tambahan China bernilai $4 juta kepada Kepulauan Cook, hubungan China-Kepulauan Cook terus diperkukuh.
Dalam artikel untuk The Diplomat, saintis politik, Anne-Marie Brady dari University of Canterbury memberi amaran bahawa perjanjian baharu itu membawa implikasi penting untuk keselamatan Pasifik, khususnya untuk New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.
Dia menyifatkannya sebagai detik "katak dalam periuk" untuk New Zealand, yang, selama bertahun-tahun, telah menggalakkan penglibatan China di rantau tersebut.