Sains & Teknologi

India rancang 'koridor-koridor nadir bumi' untuk kurangkan pergantungan kepada China

New Delhi berhasrat untuk melombong dan memproses mineral kritikalnya sendiri, sekaligus menyekat keupayaan Beijing untuk melumpuhkan ekonominya.

Gambar menunjukkan persidangan pada bulan Oktober di New Delhi mengenai lelongan mineral kritikal yang dianjurkan oleh Kementerian Perlombongan India. [Kementerian Perlombongan India/X]
Gambar menunjukkan persidangan pada bulan Oktober di New Delhi mengenai lelongan mineral kritikal yang dianjurkan oleh Kementerian Perlombongan India. [Kementerian Perlombongan India/X]

Oleh Zarak Khan |

India telah mengumumkan rancangan untuk mewujudkan "koridor-koridor nadir bumi" khusus bagi memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikalnya. Inisiatif tersebut bertujuan untuk menyekat dominasi global China dan mengurangkan pergantungan berterusan New Delhi terhadap Beijing bagi input perindustrian utama.

Langkah tersebut, yang didedahkan pada awal bulan Februari seiring dengan pembentangan Belanjawan Kesatuan 2026-27, mencerminkan kepentingan mendesak India untuk menjamin akses kepada sumber strategik yang penting bagi pembuatan termaju, teknologi tenaga bersih dan pertahanan nasional.

Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman memberitahu Parlimen pada 1 Februari bahawa kerajaan akan membangunkan koridor-koridor tersebut bagi "memperkukuh asas pembuatan domestik India dan mengurangkan pergantungan terhadap import mineral kritikal."

Membina keupayaan

"Hari ini, kita berhadapan dengan persekitaran luaran di mana perdagangan dan amalan pelbagai hala terancam. Sementara itu, akses kepada sumber dan rantaian bekalan terganggu," kata beliau dalam ucapan belanjawannya, sambil menekankan keadaan geopolitik yang tidak menentu.

Di bawah pelan terperinci yang dikeluarkan pada 3 Februari, kerajaan India menyatakan bahawa negara itu akan mewujudkan koridor nadir bumi di Odisha, Kerala, Andhra Pradesh dan Tamil Nadu.

Dengan memiliki rizab mineral yang banyak, negeri-negeri tersebut akan berfungsi sebagai hab-hab bagi perlombongan, pemprosesan, penyelidikan dan pembuatan.

Pegawai menyifatkan koridor-koridor tersebut sebagai kerangka kerja menyeluruh yang dirangka untuk memanfaatkan asas kekayaan mineral India, di samping mewujudkan ekosistem bersepadu bagi pengeluaran berasaskan nilai tambah.

Koridor-koridor tersebut akan melengkapi skim pembuatan Magnet Kekal Nadir Bumi (REPM) yang diluluskan baru-baru ini, yang menerima peruntukan belanjawan sebanyak 72.8 bilion INR (AS $875 juta) pada bulan November.

Mencabar China

Magnet kekal nadir bumi sangat diperlukan bagi aplikasi-aplikasi kejuruteraan termaju, termasuk motor kenderaan elektrik, penjana turbin angin, peralatan elektronik pengguna, sistem aeroangkasa, peralatan pertahanan dan penderia ketepatan.

Inisiatif India ini menyusul berlatarbelakangkan penguasaan China selama berdekad-dekad dalam unsur-unsur nadir bumi.

Walaupun mineral-mineral ini tidak terhad dari segi geologi, pemprosesannya terkenal dengan kerumitan, boleh merosakkan alam sekitar serta menelan kos yang tinggi.

Beijing telah menggunakan kelebihan kawalannya terhadap kapasiti perlombongan dan penulenan untuk mengekalkan hampir keseluruhan monopoli dalam rantaian bekalan global, sekaligus menjadikan pembeli asing seolah-olah tebusan kepada kuasanya.

Sejak bulan April, China telah memperketat kawalan terhadap beberapa jenis unsur-unsur nadir bumi. China telah memperkenalkan keperluan pelesenan eksport bagi sesetengah produk dan teknologi terpilih.

Pada bulan Oktober, Kementerian Perdagangan China mengumumkan keperluan pelesenan baharu bagi teknologi berkaitan nadir bumi, termasuk untuk entiti-entiti luar negara. Ia memetik alasan "melindungi keselamatan dan kepentingan negara."

China berhasrat untuk menambah lima lagi jenis unsur, termasuk holmium, erbium, thulium, europium dan iterbium, kepada rejim pelesenannya.

Para pegawai India semakin kerap menyifatkan dominasi pasaran China sebagai satu kerentanan strategik bagi India.

Antara tahun 2022 dan 2025, India telah mengimport antara 85% hingga 90% daripada keperluan REPMnya dari China, menurut data kerajaan, sekaligus menyerlahkan skala pergantungan negara tersebut.

Bagi mengekang kebergantungan terhadap import, India telah menetapkan sasaran untuk mencapai kapasiti pengeluaran domestik sebanyak 6,000 tan metrik magnet kekal nadir bumi setiap tahun.

Insentif fiskal

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kerajaan mencadangkan insentif, termasuk pemansuhan duti kastam ke atas import pasir monazit, yang merupakan input utama bagi pengeluaran magnet kekal, lapor Bloomberg pada 1 Februari dengan memetik dokuman belanjawan tersebut.

Pelan itu secara teori akan memberi insentif kepada industri India untuk memproses monazit.

Syarikat-syarikat yang sedang berkembang ini seterusnya dapat memproses anggaran 13.15 juta tan rizab monazit India, yang mengandungi 7.23 juta tan oksida nadir bumi dan membentuk asas sumber domestik yang signifikan.

Sejajar dengan langkah-langkah industri, New Delhi telah menubuhkan mekanisme institusi seperti Stok Simpanan Mineral Kritikal Nasional dan Misi Mineral Kritikal Nasional (NCMM), yang bertujuan untuk melindungi negara daripada gangguan bekalan serta menuntut semula autonomi dalam rantaian bekalan teknologi kritikal.

Rishabh Jain, seorang felo di Majlis Tenaga, Alam Sekitar dan Air yang berpangkalan di New Delhi, berkata inisiatif tersebut menandakan "peralihan penting daripada dasar nasional dan reformasi kawal selia kepada pelaksanaan di peringkat negeri melalui penambahan nilai tempatan," yang dibina berasaskan NCMM dan skim pengeluaran magnet baru-baru ini.

"Dengan mengukuhkan rantaian bekalan di negeri-negeri yang kaya dengan mineral, kita akhirnya merapatkan jurang kritikal antara perlombongan huluan dan pembuatan hiliran," kata Jain kepada Hindustan Times dalam sebuah artikel bertarikh 1 Februari.

Kerjasama global

Strategi nadir bumi India mencerminkan pengakuannya terhadap "kebergantungan melampau kepada China" serta keperluan untuk mempelbagaikan rantaian bekalan. Ia kini berusaha untuk menjajarkan langkahnya dengan negara-negara lain yang turut berasa tidak senang dengan kawalan China terhadap mineral kritikal.

New Delhi kini sedang mengusahakan pemindahan teknologi, pelaburan, dan kerjasama dengan ekonomi-ekonomi utama seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah, dan Jepun.

Selain itu, India merupakan sebahagian daripada Kerjasama Keselamatan Mineral (MSP), satu gabungan 14 buah negara yang diterajui oleh AS yang bertujuan untuk memangkin pelaburan awam dan swasta dalam rantaian bekalan mineral kritikal yang berdaya tahan.

Adakah anda menyukai artikel ini?

Policy Link